Selasa, 6 Ogos 2019 | 11:03am
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melepaskan peserta konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang selepas Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di Dataran Pahlawan. - Foto BERNAMA

Adunan 'rojak' pelbagai budaya serlah keunikan Malaysia

MALAM Sabtu lalu, kemeriahan sambutan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di Bandar Hilir di Melaka, seolah-olah mengulangi detik bersejarah pengisytiharan kemerdekaan yang berlangsung di lokasi sama pada 63 tahun lalu.

Bezanya, majlis sambutan bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu, diraikan dalam suasana Malaysia hari ini, yang pasti sudah jauh berubah dan pesat membangun.

Pertunjukan bunga api, persembahan artis dan tarian kebudayaan menyemarakkan sambutan dihadiri lebih 10,000 pengunjung di Melaka malam itu. Ia cukup berbeza jika dibandingkan perit getir pemimpin terdahulu dalam memperjuangkan kebebasan untuk sebuah negara yang merdeka.

Di lokasi sama pada 20 Februari 1956, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj bersama rombongan yang tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam selepas berunding dengan Inggeris di London, diarak dan diiringi kumpulan pemuda bermotosikal bersama puluhan kereta ke padang Bandar Hilir, tepatnya di atas padang Dataran Pahlawan hari ini.

Ketika itu, Perdana Menteri pertama itu memulakan ucapan terima kasih atas sokongan padu rakyat, seterusnya mengumumkan Persekutuan Tanah Melayu akan mencapai kemerdekaan dengan rasminya pada 31 Ogos 1957.

Malah, laungan keramat ‘Merdeka’ juga dilaporkan antara yang pertama disebut pada ketika itu yang dibanjiri lebih 100,000 penduduk yang datang dari seluruh Semenanjung.

Bercerita dalam konteks Merdeka, Dr Mahathir dalam program townhall Semarak Merdeka di hadapan lebih 2,000 penuntut universiti di Hotel Hatten, pada petang hari sama sempat berkongsi pengalaman dijajah bangsa asing.

Negarawan tersohor itu malah membangkitkan rasa ‘selesa’ rakyat, terutama orang Melayu pada ketika itu yang dilihatnya cukup senang dengan kehadiran semula British di Tanah Melayu, selepas pengunduran tentera Jepun dari negara ini secara rasmi pada 1945.

Dr Mahathir berkata, rakyat ketika itu menganggap British datang dengan cara baik, namun tidak sedar negara ini kembali dijajah menerusi pengisytiharan Malayan Union. Kesannya Raja Melayu tidak lagi berkuasa mutlak melainkan hanya pada bidang berkaitan agama dan adat istiadat Melayu.

Hanya selepas timbul kesedaran bahawa penjajah asing mempunyai niat tersembunyi, Perdana Menteri berkata, barulah rakyat bangun, bergerak dalam politik, membentuk parti politik serta mengiktiraf Datuk Onn Jaafar sebagai pemimpin yang dilantik untuk menolak rancangan Malayan Union.

Menelusuri sejarah silam, Dr Mahathir berkata, British mulanya sempat meneruskan Malayan Union selama dua tahun, sebelum kuasa rakyat bangkit hingga membuka jalan ke arah kemerdekaan negara.

Hari ini, selepas hampir 62 tahun kita mengecapi nikmat merdeka, sedar atau tidak rakyat masih lagi dibelenggu penjajahan alaf baharu dari segi pembentukan minda, ekonomi, budaya dan gaya hidup yang berpaksi kepada Barat.

Sekalipun penjajahan baharu ini kadangkala menentang norma dan budaya masyarakat Timur, sedar atau tidak pengaruh media sosial mulai meresap sedikit demi sedikit dalam kehidupan seharian masyarakat.

Pun begitu, di sebalik sebarang bentuk perselisihan, perbezaan pendapat, mahupun pergeseran yang kadang kala timbul antara kaum, satu perkara yang patut rakyat Malaysia banggakan adalah keunikan serta kepelbagaian rencah budaya, bahasa dan gaya hidup. Lebih tepat 'rojak' itulah yang menjadikan negara ini aman damai selama 62 tahun ini.

Tidak hairan, jika menelusuri laman Youtube, kita dapat saksikan betapa rakyat luar negara berlumba-lumba untuk membuat ulasan kemajuan, kemakmuran serta keunikan Malaysia yang seolah-olah tiada di tempat lain.

Usahkan makanan tempatan, pembangunan dan budaya yang ada di Malaysia, hinggakan kini pelancong sendiri lebih handal menikmati raja buah, durian khususnya 'Musang King' berbanding rakyat tempatan!

Inilah uniknya Malaysia. Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih!

Penulis adalah wartawan Berita Harian Melaka

Berita Harian X