Khamis, 8 Ogos 2019 | 11:01am
PROTON Saga 2019 diperkenalkan sempena majlis perasmian Proton Saga 2019 di MATIC. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

PROTON bukti tiada yang mustahil

ADA pelbagai cerita syarikat global yang hebat pada satu ketika, sebelum bergelut menghadapi persaingan atau perubahan permintaan pengguna, namun kemudiannya berjaya bangkit semula. Marvel antaranya yang dikenali hari ini menerbitkan pelbagai filem blockbuster, pada asalnya adalah syarikat komik terbesar dunia dengan francais adiwira Captain America dan Spiderman.

Pada 1990-an, Marvel terpaksa memfailkan kebankrapan selepas pasaran komik merudum. Ia juga disebabkan pengurusannya yang lemah di samping ketandusan inovasi serta kreativiti. Marvel Entertainment Group kemudiannya menjalin usaha sama dengan Toy Company pada 1997 untuk menubuhkan Marvel Enterprises dalam usaha membuat kebangkitan semula.

Pengurusan Marvel Enterprises membuat keputusan untuk mempelbagaikan perniagaan dan mengubah pendekatan daripada industri berasaskan kertas dan dakwat semata-mata kepada perfileman.

Bermula daripada itu, pelbagai filem hebat berjaya dihasilkan termasuk francais Avengers yang amat digilai di seluruh dunia, sekali gus menjadikan Marvel salah satu jenama paling popular pada peringkat global ketika ini.

Dalam industri automotif pula, General Motors (GM) pada penghujung dekad lalu menghadapi kerugian besar dan terpaksa memfailkan kebankrapan. Akibatnya, puluhan ribu pekerja diberhentikan. Jualan begitu rendah dan masa depan syarikat kelihatannya suram.

Pada 2008 dan 2009, GM mendapat suntikan tunai AS$51 bilion daripada Kerajaan Amerika Syarikat (AS) demi menjamin kelangsungan operasinya. Bagi menstruktur semula perniagaan, GM terpaksa melupakan jenama yang gagal mencatatkan prestasi baik seperti Pontiac, Saturn dan Hummer.

Langkah ini menyaksikan GM kembali bangkit daripada kebankrapan. Malah, Kerajaan AS juga menjual semua sahamnya menjelang 2013, sekali gus membuktikan campur tangan itu berjaya mencetuskan pemulihan mengagumkan dan membantu menyelamatkan sehingga 1.2 juta pekerja.

Di Malaysia, dilema yang sama pernah dihadapi pengeluar kereta nasional, PROTON Holdings Bhd.

Angka jualan yang merudum dari tahun ke tahun, persepsi pengguna yang agak kurang baik dan pelbagai masalah bermula di peringkat pengurusan hinggalah perkhidmatan selepas jualan menyebabkan PROTON bergelut untuk bersaing, malah di dalam pasaran negara sendiri.

Ada beberapa usaha dilakukan bagi memulihkan prestasi PROTON, termasuk mencari rakan kongsi strategik. Antara rundingan yang pernah dilakukan adalah bersama Volkswagen, namun menemui jalan buntu. Pada Januari 2012, PROTON diambil alih oleh konglomerat DRB-HICOM dalam satu urus niaga bernilai RM1.2 bilion dengan Khazanah Nasional Bhd.

PROTON masih lagi berdepan kesukaran untuk mengembalikan kegemilangannya, malah penguasaannya dalam pasaran jualan kenderaan tempatan merosot sehingga dipintas jenama bukan nasional seperti Honda.

Pada 2016, kerajaan memberikan pinjaman RM1.5 bilion kepada PROTON dengan beberapa syarat, termasuk kerjasama mandatori dengan syarikat automotif asing.

Beberapa syarikat menunjukkan minat termasuk Suzuki, Groupe PSA, Renault dan Geely. Ia akhirnya dimuktamadkan dengan penyertaan Zhejiang Geely Holding Group, selepas firma China itu membeli 49.9 peratus dalam PROTON daripada DRB-HICOM.

Rakan strategik baharu PROTON tidak menunggu lama untuk memulihkan syarikat ini. Pengenalan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 adalah pencetus pertama kepada usaha ini. Model yang amat dinanti-nantikan itu secara tidak langsung membawa persepsi baharu kepada imej PROTON. Tidak menghairankan apabila DRB-HICOM melaporkan PROTON sudah kembali mencatat keuntungan dalam laporan kewangannya baru-baru ini.

Terkini, PROTON kembali memperoleh semula kedudukannya di tempat kedua dalam pasaran automotif tempatan, dengan jualan yang konsisten sepanjang tahun ini. Malah, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong mengakui bahawa kembalinya PROTON ke kedudukan berkenaan adalah lebih awal daripada yang disasarkan.

Perkembangan ini sudah pastilah menggembirakan banyak pihak. Lupakan saja persepsi bahawa PROTON dikatakan bukan lagi syarikat kereta nasional. PROTON masih lagi sebuah jenama nasional dan tetap membawa nama Malaysia ke mana saja.

Tanda-tanda kebangkitan awal PROTON ini membuktikan bahawa sesuatu jenama atau produk yang dianggap tiada masa depan boleh bangkit dengan ada strategi atau rakan perniagaan yang tepat. Kepada kakitangan PROTON, teruskan berusaha gigih. Kepada pengurusan, keluarkan lebih banyak model yang menepati permintaan pengguna pada harga yang betul.

Penulis adalah Penolong Pengarang Bisnes Berita Harian

Berita Harian X