Sabtu, 10 Ogos 2019 | 11:00am
Foto fail menunjukkan pemandangan udara bandar Kuching, Sarawak. - Foto BERNAMA

Kesalingbergantungan Sarawak, Pusat

Pada majlis makan malam Mesyuarat Penyelarasan Negeri di Lawas, Isnin lalu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, mengumumkan peruntukan besar untuk pelbagai projek pembangunan strategik di Bumi Kenyalang.

Yang menarik, peruntukan berjumlah RM4.5 bilion itu dikeluarkan dari ‘poket sendiri’ melalui Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) yang turut ditubuhkan atas inisiatif beliau.

Ia jelas memperlihatkan kukuhnya rizab kewangan dimiliki Sarawak, sekali gus berupaya membawa projek pembangunan ke segenap pelosok negeri, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Penubuhan DBOS ternyata mencapai objektifnya dalam menyediakan sumber pembiayaan alternatif, ketika Kerajaan Pusat sibuk bermain ‘tarik tali’ dalam menyediakan dana pembangunan menepati keperluan negeri ini.

Ini sekali gus mengelak kebergantungan Sarawak terhadap peruntukan kewangan daripada Kerajaan Pusat dalam merencanakan agenda pembangunan dan sosioekonomi mengikut acuan sendiri.

Bagi Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Sarawak, negeri ini tidak hanya memiliki rizab yang cukup sihat, malah pelbagai sumber ekonomi baharu.

Selama 17 tahun berturut-turut juga, pengurusan kewangan menerima pengiktirafan ‘Clean Bill of Health’ daripada Ketua Audit Negara, selain penarafan kredit memberangsangkan oleh Moody’s dan Standard and Poor’s.

Prestasi dagangan negeri ini pula berada dalam kelompok teratas, dengan RM23.7 bilion nilai pelaburan direkodkan sepanjang 2016 hingga 2018 membabitkan pelbagai sektor industri.

Namun, di sebalik semua kelebihan dimiliki, Abang Johari menegaskan ‘hukumnya wajib’ bagi Kerajaan Pusat menyediakan dana pembangunan untuk Sarawak kerana kewajipan itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ia turut didukung segala hak dan keistimewaan dijanjikan kepada Sarawak apabila bersetuju menyertai pembentukan negara ini, sekali gus menyaksikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditandatangani pada 16 September 1963.

Kenyataan Abang Johari senada dengan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Datuk Ismawi Ismuni yang bertanggungjawab mengawal selia Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), antara wilayah ekonomi terpenting negara.

Dalam pertemuan singkat bersama penulis minggu lalu, beberapa kali beliau membangkitkan kepentingan penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan air bersih untuk memastikan ekonomi negeri itu terus makmur.

Ternyata, bukan sekadar kestabilan politik dan keselamatan menjadi ukuran komuniti pelabur, malah keupayaan menyediakan segala kemudahan asas itu, terutama akses perhubungan ke kawasan tertentu bagi memastikan pelaburan besar mereka berbaloi.

Atas kepentingan itu juga, Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) ditubuhkan di bawah RECODA bagi meningkatkan koordinasi pelan pembangunan dirangka untuk kawasan terbabit.

Penubuhan tiga agensi itu cukup menepati aspirasi Abang Johari untuk membawa limpahan kemajuan ke kawasan pedalaman dan luar bandar di Sarawak melalui pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi yang menguntungkan rakyat bagi jangka panjang.

Seperti Pulau Pinang, Selangor dan Johor, Sarawak juga berhak mengecapi nikmat kemajuan, setimpal pengorbanan besarnya membantu membangunkan Malaya (Semenanjung), termasuk berkongsi hasil buminya.

Visi Sarawak menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030 juga jangan dicemburui kerana potensinya dalam meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Namun, Sarawak tidak wajar dibiarkan bersendirian dalam mencapai matlamat itu hanya kerana kepemimpinannya dikuasai entiti politik berbeza dengan Kerajaan Pusat, sebaliknya harus berpaksikan kepada prinsip kematangan berpolitik.

Inilah masanya untuk kita menilai keupayaan prinsip itu melangkaui batas politik kepartian dan meletakkan kepentingan rakyat lebih daripada segala-galanya, terutama dalam era Malaysia Baharu.

Ironinya, Kuching - Putrajaya ibarat kombinasi tali gitar yang ada ketikanya tegang, kadangkala kendur dan perlu sentiasa ‘ditala’ oleh si pemainnya untuk menghasilkan melodi sempurna. Benar, sepanjang 56 tahun lalu sejak terbentuknya negara ini, memang ada pasang surut dalam hubungan Sarawak-Pusat.

Ia tidak hanya merangkumi soal keadilan pengagihan peruntukan pembangunan, kemudahan asas dan pembahagian kekayaan hasil bumi, bahkan juga isu politik, khususnya hak dan keistimewaan dijanjikan dalam MA63 yang cukup dekat di hati anak Sarawak.

Malah, ada beberapa ketika keadaan itu sedikit bergelombang yang seharusnya ditangani secara bijaksana oleh nakhoda masing-masing bersandarkan prinsip kesalingbergantungan, kerana di hujung kisahnya soal kepentingan rakyat harus diutamakan.

Akhirnya, kita adalah Malaysia yang sama-sama berdiri megah menyanyikan lagu Negaraku!

Penulis adalah Penulis Khas Berita Harian

Berita Harian X