Khamis, 15 Ogos 2019 | 11:00am

Elak kejadian jemaah gagal tunai haji berulang

HARI ini secara rasminya berakhirlah perjalanan suci lebih 2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia dalam mengerjakan rukun Islam kelima.

Semalam atau 13 Zulhijjah hari terakhir para jemaah menunaikan ibadat melontar jamrah di tiga lokasi diwajibkan dalam rukun haji, disusuli kembali ke Makkah untuk melakukan tawaf dan saie di Masjidil Haram, sekali gus menamatki1an proses ibadat haji.

Bagi yang diberi izin oleh Allah SWT menunaikan haji, pelbagai kisah sama ada pahit manis atau suka duka sepanjang menunaikan ibadat akan menjadi pengalaman yang pastinya sukar diungkap dengan lidah atau pena.

Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi yang berjaya memastikan perjalanan ibadat haji tahun ini lancar, begitu juga Tabung Haji (TH) yang membantu melicinkan urusan jemaah negara.

Di sebalik kelancaran, timbul juga beberapa isu termasuk lebih 400 jemaah Malaysia yang dilaporkan gagal menunaikan ibadat haji tahun ini menerusi tiket haji furada berikutan masalah visa.

Akan tetapi berita paling menonjol di negara kita apabila 26 rakyat Malaysia yang kononnya menerima visa furada terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah.

Isu ini membuka persoalan - apakah sebenarnya haji furada? Bagaimana proses permohonannya dan siapa yang layak memohon visa haji ini? Pihak manakah yang menentukan seseorang itu layak atau tidak?

Turut menjadi tanda tanya apa yang mendorong jemaah memohon visa haji furada sehingga sanggup membayar harga tinggi bagi mendapat slot mengerjakan haji tanpa pembabitan pihak TH.

Berdasarkan maklumat agensi perkhidmatan haji dan umrah, visa furada adalah visa haji ‘hadiah’ dikeluarkan Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur secara terus kepada jemaah terpilih dan tidak diuruskan TH.

Sesiapa saja boleh membuat permohonan mendapatkan visa itu dan terpulang kepada kedutaan untuk meluluskannya.

Difahamkan, antara sebab visa haji furada dipilih kerana jemaah tidak mahu menunggu giliran lama sampai berpuluh tahun untuk menunaikan ibadat ini.

Haji furada boleh dimohon sesiapa saja asalkan berkemampuan. Mereka hanya perlu berhubung dengan mana-mana wakil agensi yang menyediakan pakej haji sebegini.

Kebiasaannya, Kedutaan Arab Saudi mengeluarkan visa furada kepada rakyat Malaysia secara individu atas budi bicara.

Bermakna, urusan pendaftaran jemaah dibantu agensi perkhidmatan haji dan umrah, manakala Kedutaan Arab Saudi bertanggungjawab meluluskan visa furada jemaah dari mana-mana negara.

Dalam isu jemaah gagal menunaikan haji dengan memohon visa furada ini, mungkin ia boleh dielak daripada berulang pada masa depan.

Agensi yang menawarkan pakej ini harus lebih berhati-hati dan teliti apabila menyentuh proses pendaftaran serta dokumentasi visa jemaah.

Masalah identiti jemaah berbeza di dalam visa perlu dititikberatkan agensi apabila menguruskan haji furada agar tidak menganiaya jemaah di saat akhir.

Wakil agensi harus sentiasa berhubung dan bekerja rapat dengan pihak Kedutaan Arab Saudi bagi memastikan tidak berlaku masalah dokumentasi jemaah yang mengerjakan haji menerusi visa ini.

Jika ditakdirkan berlaku juga masalah berkaitan visa, pihak agensi perlu melakukan bedah siasat, mencari punca di mana kesilapan berlaku kerana ia menyentuh komitmen dan wang jemaah untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Mungkin sudah sampai masa kerajaan campur tangan dalam urusan haji furada seperti mewujudkan jawatankuasa khas bersama syarikat agensi dan Kedutaan Arab Saudi bagi memantau serta menyelia urusan dokumentasi jemaah. Ia bergantung kepada tekad politik agensi berkaitan.

Namun umat Islam perlu sedar, sehebat mana pun usaha seorang hamba merancang dan berusaha untuk menunaikan ibadat haji, ia tetap bergantung kepada 'jemputan’ daripada Allah SWT.

Seperti sabda Nabi Muhammad SAW: “Orang yang menunaikan haji dan orang yang menunaikan umrah adalah undangan Allah. Allah menyeru mereka lalu mereka menyahut seruan itu. Mereka meminta daripada Allah lalu Allah memberikan kepada mereka.” (Riwayat al-Bazzar)

Maka, bersyukurlah jemaah yang mendapat jemputan Ilahi untuk menunaikan ibadat haji tahun ini. Semoga memperoleh haji mabrur dan bagi yang gagal khususnya kelompok jemaah haji furada, ingatlah pasti ada hikmah di sebaliknya.

Penulis adalah Penulis Khas Berita Harian.

572 dibaca
Berita Harian X