Rabu, 21 Ogos 2019 | 11:01am
Semua pihak jangan sekali-kali mencetuskan krisis dan api perselisihan dengan membangkitkan perkara yang menggugat keharmonian. - Foto hiasan

Usah dikaram Bahtera Merdeka

BAHTERA Merdeka yang kita layari 62 tahun lalu, tepatnya 31 Ogos 1957, sebelum diperkukuhkan dengan semangat Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, jangan sekali-kali dikaramkan.

Sejarah panjang menyaksikan bukan senang membentuk sebuah Persekutuan atas persetujuan negeri-negeri Melayu sebelum dicantumkan dengan Sabah dan Sarawak serta Singapura kerana kepelbagaian dan rencam geopolitik masing-masing.

Faktor keselamatan bersama daripada ancaman pengganas komunis antara faktor pembentukan Persekutuan Malaysia ketika itu. Singapura akhirnya keluar dan berpisah daripada Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965 kerana masalah dan pergeseran yang mungkin mengancam semangat Persekutuan, terutama isu pentadbiran hak ekonomi negeri dan persoalan sensitif, iaitu tuntutan kaum pendatang dan mempertahankan hak pribumi.

Bagi menyingkap keadaan geopolitik pada awal kemerdekaan, semua pihak perlu celik sejarah alam Melayu atau Nusantara, termasuk kesan pemecahan kerajaan dan empayar Melayu terdahulu, terutama di Tanah Melayu dan Sumatera, termasuk Johor-Riau serta Singapura menerusi percaturan penjajah Inggeris dan Belanda menggunakan Perjanjian London 1824.

Atas dasar mengaut dan menjarah hasil bumi, ekonomi dan kepentingan dagangan serantau, London dan Amsterdam membawa masuk tenaga buruh asing dari China dan India ke alam Melayu. Begitu juga permainan politik Inggeris dengan Siam (Thailand) yang menyaksikan tawar menawar negeri-negeri Melayu di Utara dan Pantai Timur, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu menerusi Perjanjian Bangkok 1909, rentetan Perjanjian Burney 1826.

Kesan perjanjian berat sebelah tanpa persetujuan atau pengetahuan Raja-Raja negeri Melayu terbabit mengubah landskap geopolitik, termasuk pertukaran wilayah yang ramai didiami keturunan Melayu. Siam turut mencengkam penguasaannya ke atas wilayah-wilayah Melayu lain seperti Pattani, Narathiwat (Menara), Yala (Jala), Satun (Setul), Trang (Terang) dan Songkhla (Singgora).

Semua wilayah itu suatu ketika dahulu berada di bawah beberapa empayar Melayu dan Nusantara, termasuk Kerajaan Kedah Tua, Srivijaya, Majapahit dan Persekutuan Pattani Besar. Semua itu sudah menjadi lipatan sejarah, tetapi sejarah biasanya berulang, cuma bagaikan rangkap pantun lama: Pulau Pinang bandar baharu,Kapten Light menjadi raja, Kalau dikenang masa dahulu, Rasa berlinang air mata.

Lantaran itu, menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, setiap rakyat, malah sesiapa sahaja yang menikmati kesejahteraan hidup di bumi bertuah ini wajar mengambil iktibar untuk hidup saling harmoni dan bersangka baik antara satu sama lain.

Ambillah nasihat dan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16, agar semua pihak jangan sekali-kali mencetuskan krisis dan api perselisihan dengan membangkitkan perkara yang menggugat keharmonian.

Benarlah peringatan Seri Paduka bahawa perpaduan dan keharmonian antara rakyat menjadi tiang seri dan kekuatan negara kerana ‘bermain dengan api bukan hanya membakar diri sendiri, malah turut membakar seluruh kampung.’

Era internet yang sepatutnya dimanfaatkan untuk kebaikan dan memudahkan kehidupan rakyat turut menjadi pisau dua mata apabila ramai menyalahgunakannya untuk menyemai kebencian menerusi komen rasis dan provokatif dalam forum portal berita dan perang siber berkaitan banyak isu, termasuk agama, bangsa, hak dimuktamadkan Perlembagaan Persekutuan, pendidikan serta sosiopolitik yang boleh ditangani seandainya pihak berkuasa lebih tegas bertindak.

Kalau dahulu, tentera dan polis berjuang memerangi unsur suberversif mempertahankan semangat kemerdekaan, kini tentera siber semakin berani bermain api membakar emosi isu agama dan perkauman tanpa banyak tindakan pihak berkuasa.

Sepatutnya bagi setiap rakyat, kita perlu rasional dan mengutamakan keharmonian demi mengekalkan kestabilan negara untuk meningkatkan lagi daya ekonomi, sekali gus mampu mengukuhkan hidup masing-masing agar keturunan kita hidup terjamin.

Kembalilah kepada lima Teras Rukun Negara yang dirangka selepas detik sejarah hitam, iaitu Tragedi 13 Mei 1969. Tidak rugi setiap kita menghayati prinsip Rukun Negara, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan untuk menjadi rakyat lebih setia dan patriotik.

Bahtera Merdeka yang menjadi lindungan kita untuk mengharungi badai dan samudera ganas perlulah dipertahankan bersama untuk selamat sampai ke destinasi idaman. Sematkanlah pepatah keramat, ‘di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung’ demi membuktikan kesetiaan kita untuk terus berlindung bawah naungan tanah air tercinta, Malaysia.

Penulis adalah Ketua Penyunting (Mingguan) Berita Harian

155 dibaca
Berita Harian X