Khamis, 12 September 2019 | 11:01am
- Foto Hiasan

Segera siasat isu jalan pintas jadi doktor

JIKA ditanya anak kecil, pasti ada antara mereka bercita-cita menjadi doktor. Bagi ibu bapa pula, cita-cita itu diharap mampu menjadi kenyataan suatu hari nanti.

Bukan sahaja menganggap kerjaya ini mampu memberi pulangan gaji tinggi berbanding pekerjaan lain, ada juga yang taasub melihat gelaran doktor ini sebagai satu anjakan status dalam kalangan masyarakat.

Dalam masyarakat, majoriti menganggap doktor ini asalnya seorang yang bijak pandai - mempunyai keputusan akademik yang amat bagus, selain kecerdasan minda yang tinggi.

Malah, hanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang sahaja dilihat mampu memilih kerjaya ini. Keputusan mereka paling kurang pun haruslah 8A ke atas dan jika 10A1, jurusan ini semestinya antara yang dipertimbangkan.

Mereka akan dihantar ke luar negara menggunakan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau agensi berkaitan kerajaan (GLC) seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau Yayasan Terengganu. Belum lagi yang ditaja syarikat swasta.

Biasiswa ini penting kerana kos untuk belajar di luar negara dalam jurusan perubatan dianggar RM300,000 dengan yuran setiap tahun sahaja mencecah RM30,000 hingga RM40,000. Kos tahun pertama pula mencecah RM80,000.

Jika tiada biasiswa, pastinya tiada lulusan cemerlang daripada keluarga miskin atau sederhana dari ceruk kampung mampu menjadi doktor dan berkhidmat di hospital seluruh negara.

Namun kenyataan sebegitu hanya kisah lalu, kerana hari ini yang betul-betul cemerlang sahaja ditawarkan biasiswa. Jika peroleh 10A1 pun belum tentu anak anda terpilih untuk ditaja, mungkin di universiti dalam negara sahaja.

Di sebalik situasi ini, terselit satu kebenaran bahawa hari ini sesiapa sahaja mampu menjadi doktor, walaupun mereka mendapat keputusan tidak seberapa dalam sejarah pendidikan negara, sekali pun.

Lagipun syarat minimum belajar jurusan perubatan ditetapkan kerajaan, hanyalah B dalam lima subjek Sains Tulen. Lebih tepat, jika ada wang, semua orang boleh menjadi doktor, yang sah di sisi undang-undang atau di mata masyarakat.

Seburuk mana keputusan SPM pelajar ini, mereka boleh diterbangkan ke negara tertentu untuk belajar jurusan perubatan, sama ada minat atau tidak. Syarat minimum dalam keputusan akademik mereka pula hanyalah satu dan ia boleh dimanipulasi. Akhirnya mereka pulang ke Malaysia dan menjadi seorang doktor.

Seperti kata-kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pada sidang akhbar baru-baru ini, pihaknya tidak mampu menghalang sesiapa sahaja yang mahu ke luar negara untuk menjadi doktor dengan mengambil jurusan perubatan.

Pada hari sama juga, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, dalam sidang akhbar berkata, tiada prosedur di kementeriannya yang menentukan sesiapa yang mahu menjadi doktor.

Jika melihat kedua-dua konteks jawapan kedua-dua menteri ini, pasti timbul persoalan, siapa yang harus dipertanggungjawabkan dan apakah kesannya terhadap industri kesihatan pada masa hadapan nanti.

Siapa agaknya yang akan menerima kesan paling besar jika situasi ini dibiar tanpa satu mekanisme yang paling berkesan. Ketika ini, sudah ada cakap-cakap yang mengatakan ada dalam kalangan bakal doktor lulusan luar negara ini masih tidak menghafal jenis darah manusia.

Sekiranya pihak yang terbabit (sama ada menteri, kementerian, jabatan kerajaan, persatuan perubatan atau kedutaan asing) melihat pendedahan BH berhubung laporan penyiasatan bertajuk 'jalan pintas bergelar doktor' sebagai satu dakwaan, mereka tidak harus berdiam diri.

Sebaliknya jadikan laporan berita ini sebagai 'asas' untuk menjalankan siasatan dan memperbaiki kelompangan yang sudah terang lagi bersuluh.

Penulis adalah wartawan Meja Am Berita Harian

396 dibaca
Berita Harian X