Khamis, 19 September 2019 | 11:01am

Tanpa struktur jelas kerjasama UMNO-PAS hanya retorik

RIBUAN manusia yang dilihat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu lalu jika diterjemahkan dalam bentuk undi, sudah pasti wujud tanggapan Pakatan Harapan (PH) boleh dikalahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Itu mungkin berlaku jika percaturan politik dibuat semudah A B C. Realitinya, tiada siapa yang tahu. Ia terjadi ketika sentimen kononnya nasib Melayu Islam gagal dibela berkumandang sehingga menarik ribuan rakyat ke lokasi tetap penganjuran Perhimpunan Agung UMNO itu.

Apatah lagi kempen membeli dan mengutamakan barangan atau produk keluaran Muslim Bumiputera (BMF) antara topik panas dibincangkan dalam Wacana Intelektual sempena Himpunan Penyatuan Ummah (HPU), sehari sebelum Piagam Muafakat Nasional ditandatangani dan dimeterai.

Sebelum itu lagi, kalangan pimpinan pembangkang sibuk mencatur jumlah kerusi yang bakal ditawan jika UMNO dan PAS bertanding sebagai satu pakatan pada PRU akan datang.

Kata mereka, tidak mustahil sekurang-kurangnya 125 kerusi Parlimen bakal dalam genggaman. Itu kerusi Parlimen. Bagaimana pula kerusi DUN? Tidakkah mereka menyedari campur tolak darab bahagi itu dibuat ketika pentadbiran PH masih berbaki tiga setengah tahun.

Kata mereka juga, tidak mustahil gabungan UMNO dan PAS menang di lapan negeri, bahkan mampu menawan Putrajaya.

“Kalau pakat elok-elok, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah kita boleh tawan, kita kekalkan pula Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Maka, lapan negeri kita boleh menang,” kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada ceramah perdana sempena HPU.

Gabungan pembangkang turut bercita-cita besar apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu meramalkan Johor bakal ditawan jika kedua-dua parti katanya berupaya ‘menggaul resipi sebetulnya’.

Persoalannya, adakah momentum berdasarkan sentimen memperjuangkan nasib bangsa dan agama itu kekal sehingga Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU.

Sekiranya ramalan itu berdasarkan keputusan PRU-14 dengan undi UMNO dan PAS dicampur, penggabungan itu pasti dilihat mampu menggugat penguasaan PH di negeri yang majoriti pengundi Melayu.

Dikatakan, jumlah pengundi Melayu yang mengundi UMNO dan PAS pada PRU-14 adalah sekitar 70 peratus.

Beberapa penganalisis politik menyifatkan impaknya masih terlalu awal untuk diulas kerana senario PRU-14 dan PRU-15 pastinya jauh berbeza. Pada PRU-14, PH menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan, manakala bakinya dimenangi Barisan Nasional (BN) yang sebelum itu memenangi 22 kerusi pada PRU-13.

Di Melaka, formula ‘24451’ digarap bekas Ketua Menterinya, Datuk Seri Idris Haron gagal diterjemahkan dalam bentuk undi apabila sekadar menang 13 daripada 28 kerusi DUN. Formula ‘24451’, iaitu 24 kerusi DUN milik BN, empat milik pembangkang, lima kerusi Parlimen BN dan satu pembangkang jauh tersasar.

Felo Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Ainul Adzellie Hasnul memberi contoh Perak, antara negeri yang disifatkan agak sukar untuk bertukar kerajaan dalam keadaan PH memiliki 31 kerusi DUN, manakala UMNO dan PAS hanya 28 kerusi.

Senario mungkin berbeza jika ada yang melompat parti, ditambah pula dua ADUN di Perak membuat pusingan U dengan kembali menyertai UMNO. Di Kedah, PH kini menguasai 19 kerusi, manakala UMNO dan PAS masing-masing memiliki dua dan 15 kerusi.

Menurut Dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Rusdi Omar, kekuatan PH mungkin sedikit terjejas jika UMNO dan PAS berjaya menterjemahkan kerjasama di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis.

Namun, kesanggupan kepemimpinan kedua-dua parti menyerahkan kuasa pada peringkat negeri semata-mata demi mengambil hati bekas seteru, selain mahu meyakinkan rakyat, masih menjadi tanda tanya.

Perlu diingat juga, PH masih mempunyai peluang cerah menunaikan janji manifesto khususnya dalam soal kebajikan rakyat seperti kos sara hidup, meningkatkan kualiti hidup, mencipta peluang pekerjaan, pemilikan rumah mampu milik dan penjagaan kesihatan.

Jika pemimpin UMNO dan PAS berusaha merealisasikan kerjasama itu, seharusnya pemimpin PH lebih memperkasakan gerak kerja dengan mencontohi kerja keras Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membina negara bangsa.

Sedar atau tidak, masalah dalaman parti komponen PH kini seolah-olah menjadi rahsia terbuka yang mengundang polemik serta perdebatan sehingga membangkitkan rasa tidak puas hati pada peringkat akar umbi.

Ada pula yang kata, selagi tiada satu amalan, formula, struktur yang jelas dalam kerjasama UMNO dan PAS, selagi itu ia sekadar politik retorik.

Penulis adalah Penulis Khas Berita Harian

Berita Harian X