Khamis, 3 Oktober 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan

Siapa akan mula langkah

Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai di Johor diputuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berlangsung pada 16 November depan. Realitinya ia membawa pelbagai tafsiran khususnya dalam kalangan parti politik bertanding.

Di pihak Pakatan Harapan (PH), cabaran utama bukan sekadar mempertahankan kerusi Parlimen itu daripada dirampas kembali Barisan Nasional (BN), tetapi juga untuk mengukur sokongan rakyat selepas lebih setahun menerajui negara.

Bagi PAS dan UMNO yang baru ‘bernikah’ secara rasmi, PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini akan menjadi pentas uji kaji pertama untuk menguji jalinan kerjasama khususnya melalui Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai.

Ringkasnya, setiap parti bertanding ada ‘sesuatu’ untuk dibuktikan.

Namun, biarkan dulu soal itu seketika kerana ada isu lebih menarik ingin disentuh. Ia berhubung sejarah yang bakal dicipta susulan ‘lampu hijau’ diberikan SPR kepada calon berusia 18 tahun untuk bertanding dalam PRK kali ini.

Kebenaran diberikan susulan pindaan Artikel 47 Perlembagaan Persekutuan berhubung perubahan usia calon yang dikurangkan dari 21 tahun kepada 18 tahun, sudah dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan berkaitan usia mengundi 18 tahun belum dikuatkuasakan, walaupun sudah diwartakan.

Yang nyata ‘lesen’ sudah diberi SPR, namun akan adakah parti yang menyahut? Jika ada, parti mana satu?

Yang pasti ramai tertunggu-tunggu untuk melihat sama ada PRK Tanjung Piai akan menjadi titik mula pembabitan calon pilihan raya berusia 18 tahun dalam sejarah politik negara.

Apa pun bagi parti politik, ia bukan keputusan mudah. Ia mengambil kira status signifikan kemenangan di pentas PRK Tanjung Piai baik bagi parti kerajaan mahupun pembangkang. Yang jelas, beberapa pertimbangan harus diambil kira.

Pertamanya soal kematangan. Saya bersetuju dengan penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, yang menyatakan untuk menjadi wakil rakyat dan pemimpin bukan sekadar memerlukan semangat, tetapi juga kematangan, nilai kepemimpinan dan pengalaman.

Soalnya, berapa kerat remaja kita yang berusia 18 tahun menepati kriteria untuk diangkat sebagai calon dalam PRK ini.

Bergelar calon sahaja tidak cukup, kerana matlamat bertanding dalam pilihan raya adalah bagi memilih pemimpin untuk mewakili dan berkhidmat kepada rakyat.

Lantas, calon yang akan diketengahkan perlu cukup kuat dari segi kelayakan dan kewibawaan untuk memimpin. Itu belum lagi dikira soal status boleh menang.

Selain itu, soal kesediaan parti politik juga harus diambil kira. Maksudnya adakah parti yang akan bertanding ‘berani’ mempertaruhkan nasib, dengan meletakkan calon berusia 18 tahun. Saya percaya PH yang selama ini lantang memperjuangkannya pun belum tentu berani.

Itu belum lagi dikira pertikaian antara parti komponen kerana masing-masing inginkan wakil mereka diangkat sebagai calon. Ketika ini pun sudah ada suara sumbang kedengaran menuntut ‘hak’ sebagai calon kerusi Tanjung Piai.

Soalnya, bukan mahu memperkecilkan kemampuan belia, namun tidak mahu nanti ada yang mempergunakan pentas PRK Tanjung Piai hanya semata-mata kerana ghairah mahu memenuhi janji pilihan raya.

Persoalan besar harus ditanya, adakah PRK Tanjung Piai pentas yang tepat untuk menguji calon berusia 18 tahun. Ketika ini, senarai daftar pemilih digunakan pun masih belum mengambil kira pengundi 18 tahun, jadi kelompok mana yang ingin calon itu wakili?

Dalam hal ini, saya lihat lebih sesuai kalau biar mereka rasa dulu pengalaman mengundi, sebelum diberi laluan sebagai calon.

Perlu diingat, bukan menjadi kesalahan pun jika tidak meletakkan calon berusia 18 tahun dalam PRK kali ini, termasuk di pihak kerajaan.

Namun, kalau ada yang layak, tidak salah beri kepercayaan kepada belia untuk diangkat sebagai calon.

Saya sendiri secara peribadi mahu melihat anak muda diberi peluang seluas-luasnya jika kena pada tempatnya, lebih-lebih lagi untuk bertanding dalam pilihan raya. Mungkin PRK Tanjung Piai boleh jadi titik mula, sekali gus cipta sejarah besar politik negara.

Seperti saya kata di awal tadi, PRK Tanjung Piai ini banyak maknanya. Jadi lagi sekali saya tanya, siapa yang nak mula dulu - kerajaan atau pembangkang? Atau mungkin calon Bebas berusia 18 tahun akan tampil mengisi pentas PRK Tanjung Piai? Sama-samalah kita tunggu.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita Rencana & Politik Berita Harian

Berita Harian X