Jumaat, 4 Oktober 2019 | 11:00am
Gambar fail, petugas membawa papan iklan yang tertera logo Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) di UMT, Gong Badak. - Foto Ghazali Kori

Impian demi lihat kemajuan

Berita penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) baru-baru ini, tidak dapat dinafikan, antara topik paling hangat dan mencuri tumpuan di Terengganu sepanjang bulan lalu.

Memang mengejutkan apabila tiba-tiba terbit laporan di media arus perdana bahawa Jemaah Menteri pada 4 September lalu bersetuju secara prinsip terhadap usaha penggabungan dua gergasi pendidikan di Pantai Timur itu.

Hampir seluruh warga universiti terkejut dengan berita yang disifatkan ramai sebagai keputusan terburu-buru. Ramai tidak tahu hujung pangkal, tiba-tiba UMT-UniSZA hendak digabung.

Mula timbul pelbagai bantahan daripada banyak pihak yang tidak bersetuju dan sukar menerima berita penggabungan itu. Yang paling terkesan dan berduka tentunya seluruh warga kedua-dua universiti berusia lebih sedekad itu.

Bukan sahaja pelajar, tetapi warga pendidik, kakitangan sehingga pekerja amnya. Rakyat Terengganu tidak mengira latar belakang politik, agama dan bangsa turut sama berkongsi kesayuan itu.

Bukan setakat bantahan menerusi himpunan dan petisyen diadakan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), hantaran dan komen di laman sosial juga meriah oleh banyak pihak; cendekiawan, ilmuwan dan tidak kurang juga netizen. Mereka mahu kerajaan mempertimbang semula cadangan penggabungan itu.

Namun, seperti ditekankan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir, penggabungan itu akan tetap berlaku walaupun mendapat bantahan. Justeru, mahu atau tidak, semua pihak perlu berlapang dada.

Seperti hasrat kerajaan, penggabungan bertujuan memperkasakan lagi kebitaraan bidang fokus kedua-dua universiti, mempertingkatkan kualiti serta melonjakkan prestasi dan pencapaiannya ke tahap lebih cemerlang pada peringkat negara dan antarabangsa.

Persoalan yang sehingga kini bermain di benak warga dua universiti itu, begitu terukkah prestasi UMT-UniSZA sehingga keputusan penggabungan itu perlu dibuat dengan asas melonjakkan prestasi universiti menjadi alasan utama.

Penggabungan universiti sememangnya bukan perkara mudah, apatah lagi bidang tujah kedua-dua universiti jauh berbeza.

UMT dengan bidang kelautan dan maritim, manakala UniSZA dengan bidang perubatan dan pengajian Islamik. Namun, berdasarkan Bengkel Penyelarasan Penggabungan UMT-UniSZA baru-baru ini, kerajaan memberi keyakinan dan jaminan, ia tidak akan terjejas.

Bagaimana pula daripada aspek pengurusan. Dengan lebih 3,000 kakitangan akademik dan bukan akademik daripada kedua-dua universiti yang berbeza latar bidang, penggabungan itu akan menjadikan UMT-UniSZA sebuah universiti super.

Namun, jaminan kerajaan bahawa tiada mana-mana pihak yang akan diberhentikan kerja sedikit sebanyak melegakan, namun sejauh mana ia boleh dibuktikan?

Seperkara lagi, di mana letaknya tempat alumni UMT dan UniSZA kelak. Adakah ia terbubar dengan penggabungan itu? Jika mahu disenaraikan alasan bantahan pelbagai pihak yang tidak bersetuju itu, ia boleh dikatakan sama banyaknya dengan rasional penggabungan dikemukakan.

Namun, berapa banyak persoalan yang ditimbulkan, kesimpulannya suka atau tidak, penggabungan UMT-UniSZA yang akan membawa kepada penubuhan sebuah universiti baharu tetap akan berlaku. Semua pihak terutama warga dua universiti itu perlu mula memujuk hati menerima kenyataan ini. Memang sukar, tetapi pilihannya satu, reda sajalah.

Pada masa sama, tinggi harapan semoga apa yang dihasratkan kerajaan terhadap usaha penggabungan itu membuahkan hasil dan tidak sekadar cakap-cakap sahaja.

Impian seluruh warga negeri khususnya dan rakyat Malaysia amnya, sudah tentu untuk melihat penggabungan UMT-UniSZA membawa lebih kemajuan dan ke depan sebagai antara universiti disegani di dunia satu hari nanti.

Penulis adalah wartawan Berita Harian Terengganu

Berita Harian X