Isnin, 28 Oktober 2019 | 11:01am
JANGAN biar anak terlalu terdedah kepada gajet bagi mengelak kesan negatif. - Foto hiasan

Usah biar generasi muda jadi 'hamba siber'

BEBERAPA rakan acap kali berkongsi keluhan dan meluahkan kebimbangan serupa - semakin payah untuk berkomunikasi dengan anak mereka, lebih-lebih lagi yang sedang meniti usia remaja.

Agak ironi, krisis itu berlaku bukan atas faktor anak terpisah jauh daripada keluarga, sebaliknya membesar di depan mata.

Jurang komunikasi kian terasa sehari ke sehari walaupun tinggal di bawah satu bumbung dan makan semeja, malah selalu juga duduk bersantai sebelah-menyebelah di ruang tamu pada hari cuti.

Satu persamaan dalam senario dihadapi mereka itu - anak ‘terlalu hanyut’ dalam dunia siber. Telefon pintar hampir saja tidak lekang daripada tangan dan telinga sering ditutup dengan headphone mahupun earphone. Kehidupan harian mereka ‘kenyang’ dengan aktiviti media sosial dan permainan dalam talian.

Hakikatnya, ketagihan era moden itu kian menguasai generasi muda. Amat dikhuatiri lambat-laun akan memberi kesan mudarat bukan saja terhadap aspek kesihatan, tetapi juga pembinaan karakter, keperibadian, tingkah laku dan kemahiran insaniah.

Malah, ia juga boleh merosakkan fokus golongan pelajar terhadap pembelajaran, lebih-lebih lagi mereka yang membazirkan banyak masa atau melayan gajet hingga lewat malam dan tidak mampu mengikuti pengajaran di dalam kelas keesokannya.

Soal keselamatan turut berbangkit apabila ada pejalan kaki bergaya ala-ala cool menyumbat kedua-dua telinga dengan headphone mahupun earphone, termasuk ketika melintas jalan raya, sedangkan mereka terdedah risiko gagal menyedari kenderaan mendatang atau tidak mendengar hon dibunyikan.

Lebih membimbangkan, gejala sama turut menjejaskan hubungan sesama manusia, khususnya dalam institusi keluarga. Ukhuwah menjadi dingin gara-gara terlalu taasub atau fokus pada kesibukan alam siber, malah ‘membunuh’ tumpuan yang sepatutnya diberikan kepada insan atau perkara di depan mata.

Perjalanan berjam-jam pulang ke kampung atau ke suatu destinasi jauh bersama keluarga sudah jarang meriah dengan gurau senda mahupun bualan riuh dalam kenderaan.

Yang lazim berlaku kini, anak duduk di kerusi penumpang belakang leka dengan gajet sama ada menonton, melayari internet, melayan laman sosial mahupun telinga terlekap mendengar lagu sehingga tertidur.

Selalu juga ibu bapa terpaksa memanggil berkali-kali atau menggamit untuk menarik perhatian anak sekiranya mahu bercakap dengan mereka. Perbualan pula sekadar ‘padat dan ringkas’ sebelum anak kembali sibuk dengan aktiviti gajet masing-masing.

Peluang menikmati pesona pemandangan dan pelbagai ragam kehidupan serta keadaan realiti boleh disaksikan di sepanjang perjalanan yang dapat mencambah nilai kemanusiaan dalam diri, dibiarkan terlepas begitu saja.

Apabila berkumpul dengan sanak saudara pada hari perayaan, majlis atau kenduri, kebanyakan mereka tenggelam dalam dunia gajet masing-masing. Lucunya, apabila tiba masa merakam selfie beramai-ramai, kemesraan menyerlah secara tiba-tiba.

Gambar ‘hubungan kekeluargaan erat’ itu kemudian segera dimuat naik ke laman sosial untuk tatapan dan ‘like’ pengikut. Demikian berpengaruhnya agenda siber dalam kehidupan manusia kini.

Isu ini turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri yang bimbang dengan tabiat masyarakat taasub dan terlalu bergantung pada teknologi serta media sosial.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan, kelekaan menggunakan teknologi akan mendorong masyarakat tidak lagi bergantung pada komunikasi alam nyata, sekali gus memberi kesan buruk terhadap hubungan antara individu, terutama keluarga.

Kejadian gempar seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dilaporkan mahu terjun dari tingkat 19 di sebuah pangsapuri di Larkin, Johor pada 6 Oktober lalu, juga harus diambil iktibar semua pihak.

Difahamkan, kanak-kanak perempuan itu nekad mahu bertindak sedemikian selepas bertengkar dengan ibunya, dipercayai kerana isu telefon.

Justeru, sudah tiba masa untuk ibu bapa khususnya, mengawasi pengaruh gajet terhadap anak daripada peringkat awal. Mereka perlu memastikan anak hanya diberi pendedahan itu pada peringkat umur sepatutnya dan secara terkawal.

Amat penting untuk mendidik dan menerapkan kesedaran dalam diri anak supaya memanfaatkan gajet serta peranti digital secara seimbang agar tidak menjadi ‘hamba dunia siber’.

Penulis sudah banyak kali melihat kanak-kanak yang masih dibawa dalam kereta sorong, disogokkan dengan gajet supaya leka dan tidak mengganggu kelancaran urusan ibu bapanya. Sedangkan pada usia sedang membesar, kanak-kanak sepatutnya dilatih bersikap peka dengan persekitaran dan prihatin keadaan sekeliling.

Justeru, ibu bapa mesti ada kesedaran tinggi dan tanggungjawab untuk tidak terus membiarkan amalan sedemikian menjadi punca anak terjebak gejala digital drug yang bukan saja boleh menimbulkan masalah kepada diri mereka, tetapi masyarakat serta negara.

Penulis adalah Penulis Khas Berita Harian

Berita Harian X