Selasa, 29 Oktober 2019 | 11:01am
BRICKFIELDS antara lokasi tumpuan masyarakat kota warga India membeli-belah setiap kali tiba sambutan Deepavali. - Foto hiasan

Raikan perbezaan, hilangkan sengketa

BEBERAPA tahun lalu saya pernah merasai kemeriahan suasana sambutan Deepavali di Brickfields. Pada waktu itu saya dan rakan selesai tugasan di pejabat.

Aktiviti kami selain mencari menu makan malam akan sentiasa disertai sesuatu yang menghiburkan atau mungkin satu lagi tambahan kepada pengalaman baharu.

Mengambil kesempatan lokasi pejabat berdekatan Bangsar, kami mengambil keputusan untuk menyaksikan sendiri ‘malam raya’ Diwali di Brickfields.

Membesar dengan siaran televisyen yang menyajikan filem hindustan terbaik sekitar 90-an, mana mungkin tidak terpengaruh keasyikan lagunya dan ketampanan hero dalam ratusan filem, ditambah pula lenggok tari pelakon wanita yang tak kelip mata memandang.

Jangan kata filem, segala lagu dihafal, cakera padat, kaset, majalah dan poster, semuanya ada dalam simpanan.

Masih ingat zaman sekolah bagaimana popularnya tiga hero pujaan Bollywood ini sehinggakan majalah menggunakan kesempatan itu untuk melariskan terbitan mereka khususnya dengan tajuk 3 Khan dan Khans of Bollywood.

Jadi tidak hairanlah kehadiran bangsa lain di kawasan Brickfields di situ bagi merasai sendiri suasana malam raya.

Melihat warna-warni kain sari sepanjang jalan itu membuatkan saya hampir juga membelinya, tetapi apabila difikirkan mengenai kekerapan menggunakannya dan harga mahal yang ditawarkan apatah lagi bagi musim perayaan, kami mengambil keputusan untuk melukis henna pada tangan dan mencuba manisan gol gappa dan gulab jamun.

Makan sambil pejam mata sebab sedap ‘wa cakap lu’. Manisan dan snek sempurna yang wajib dicuba.

Pada musim salji April lalu, sekali lagi saya cuba menikmati makanan India itu, tetapi kali ini gol gappa di Kashmir dan gulab jamun di Delhi.

Sumpah cinta sampai mati, makanan mengikat kenangan abadi.

Tahun ini, saya dikurniakan rezeki untuk melancong ke beberapa negara atas tiket sendiri, seakan sudah menjadi hobi yang cukup membahagiakan. Cuma duit poketlah ‘berlubang teruk’, tetapi pengalaman berharga tidak mampu diganti wang ringgit.

Selepas menjelajahi enam negara dalam tempoh kurang setahun ini, kenangan berada di India antara paling meninggalkan kesan.

Bermain ski di resort pergunungan Gulmarg, menunggang kuda hampir dua jam di hutan tebal Pahalgam, bermain salji di Sonamarg, tidur dalam rumah bot dalam cuaca dingin dengan diselubungi selimut elektrik di tasik Srinagar dan menyaksikan suasana pilihan raya di Kashmir serta menghayati keindahan bangunan putih gading yang diperbuat dari marmar iaitu Taj Mahal.

Kisah lucu tatkala berada di Taj Mahal, pemandu pelancong kami yang juga seorang jurugambar berhasrat merakam kenangan 13 pelancongnya di sungai Yamuna menaiki bot dengan berlatarbelakangkan bangunan yang tersenarai sebagai antara keajaiban dunia itu.

Niat itu dihalang kerana rata-rata kami memakai sari. Kononnya mahu kelihatan seperti Priyanka Chopra, Aishwarya Rai, Rani Mukherjee, Alia Bhatt atau Shraddha Kapoor dalam filem hindustan. Meleset sekali.

Alangkah beruntungnya, enam orang yang tidak memakai sari itu kerana dibenarkan ‘berposing’di atas bot dan sungai yang mempunyai refleksi kaca. Gambar mengancam, mujur tidak viral.

Tergedik-gedik masing-masing berangan mahu mengabadikan kenangan seperti dalam filem, maka ‘mendapatlah’ kami apabila tertinggal kereta api.

Selepas separuh hari di Taj Mahal, separuh hari lagi di Agra Fort dengan cuaca panas terik, badan melekit dengan bau busuk masamnya dan ditambah pula menaiki kereta api ‘lompat gerabak’, itu semua cukup membuatkan muka kami kelat.

Namun itu semua sementara. Sebaik sampai di syurga beli-belah di Delhi khususnya di pasar Sarojini Nagar, berkoyan kain sari dan gelang kami ‘sapu’ mengalahkan saudagar.

Pengakhirannya begitu indah sekali. Itulah cerita gol gappa, gulab jamun dan India saya. Sempena musim perayaan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua.

Semoga kelebihan kita hidup di dalam negara yang mempunyai kepelbagaian kaum ini membuatkan kita istimewa. Raikan perbezaan dan hilangkan sengketa.

Penulis adalah wartawan meja am Berita Harian

Berita Harian X