Rabu, 30 Oktober 2019 | 11:01am

UMNO, MCA Tanjung Piai enggan mengalah

PELANCARAN bilik gerakan Barisan Nasional (BN) PRK Tanjung Piai kelmarin dianggap ‘canggung’ apabila nama calon masih belum dimuktamadkan lagi parti itu sehingga semalam.

Ramai yang menjangkakan nama calon BN akan diumumkan kelmarin, tetapi seperti anti klimaks apabila Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pengumuman calon akan dibuat Pengerusi BN Johor, Hasni Mohamad dalam waktu terdekat.

Bagaimanapun, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali mengesahkan pengumuman akan dibuat hari ini, tetapi beliau enggan mengesahkan sama ada BN akan diwakili UMNO atau MCA.

Sumber parti itu menyebut, kesukaran UMNO dan MCA untuk mencapai kata sepakat mengenai parti mana yang akan bertanding, menyebabkan ia gagal mengumumkan calon semalam, seperti diura-urakan sebelum ini.

Mengakui calon sudah ada tetapi belum dimuktamadkan calon daripada parti mana, sumber parti memberitahu suhu politik BN di Johor semakin panas, apabila kepemimpinan UMNO dan MCA di akar umbi masih berkempen mahukan calon masing-masing.

Malah, ada akar umbi UMNO di Tanjung Piai menyebarkan poster dan hebahan di media sosial, mendesak calon mereka diketengahkan dan mengugut tidak menyokong calon MCA.

Penyebaran poster dan hebahan itu dilihat penganalisis politik sebagai cara yang tidak sihat untuk BN dan tindakan itu jika tidak dibendung akan dijadikan bahan kempen PH dan GERAKAN.

Tindakan akar umbi parti komponen BN menunjukkan ketidaksepakatan parti komponen BN, yang dikhuatiri menjejaskan sokongan pengundi pada PRK itu.

Penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia UPM, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata kegagalan BN mengumumkan calon PRK Tanjung Piai semalam, memperlihat parti itu masih belum bersedia dan mempunyai masalah untuk tentukan calon, sama ada calon UMNO atau MCA.

“PH meletakkan calon yang berpengalaman walaupun sedikit berumur, serta pernah kalah tipis dengan Datuk Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pontian. BN perlu meletakkan calon yang terbaik untuk bersaing dengan PH,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, cepat atau lambat calon BN diumumkan bukan isu, kerana parti mahu mengetengahkan calon terbaik pada PRK Tanjung Piai kerana fokus utama BN memastikan kemenangan BN.

“Kita akan lawan habis-habisan, itu yang penting. Umum calon BN pula bila-bila masa pun boleh asalkan sebelum hari penamaan. Jadi tarikh itu terpulang kepada strategi BN untuk umum. Semalam kalau kita lihat di latar belakang yang disediakan pada majlis itu, adalah pelancaran jentera PRK Tanjung Piai.

“Tidak ada sebut pun umum nama calon, jadi itu strategi kami,” katanya di lobi Parlimen. Ahmad yang pernah bersaing dengan calon PH, Karmaine Sardini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ketika ditanya adakah BN yakin untuk menang, beliau berkata, BN bertanding pada PRK selepas mengkaji semua faktor termasuk faktor kemenangan.

“Macam Sandakan kami tidak sertai kerana itu lain keadaannya. Oleh itu apabila kita masuk kami nak menang,” katanya.

Mengulas isu yang sama, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, berkata tindakan tidak mengumumkan calon BN pada pelancaran bilik gerakan BN Tanjung Piai adalah strategi parti seperti yang dimaklumkan Ahmad Zahid semalam.

“Sabar, akan umum tak lama lagi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ditanya mengenai kegagalan mengumumkan calon itu kerana MCA dan UMNO masih belum mencapai kesepakatan dan wujud pertikaian, katanya: “Jangan risau, akan ada keputusan dalam masa terdekat,” katanya ringkas.

Penulis adalah wartawan Meja Rencana & Politik Berita Harian

Berita Harian X