Khamis, 31 Oktober 2019 | 11:02am
- Foto hiasan

Media cetak tetap relevan

SAYA mengikuti dengan penuh minat perbincangan mengenai masa depan media cetak dan sosial di forum yang dianjurkan oleh Persatuan Alumni Komunikasi Massa Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan UiTM cawangan Rembau di Shah Alam baru-baru ini.

Forum bertajuk ‘Kelangsungan Media Cetak: Mengapa Dilayar Jika Boleh Diterbit’. Saya menjadi peminat media cetak sejak saya membaca akhbar pertama ketika mula bekerja lebih 50 tahun lalu. Saya masih meneruskan tabiat membaca akhbar dan tidak boleh memulakan hari tanpa membaca sekurang-kurangnya tiga akhbar dalam tiga bahasa.

Akhbar ini sudah menjadi ‘santapan’ harian saya untuk membaca pandangan, ulasan, peringatan, iklan, obituari, komik serta kartun Datuk Lat ketika beliau masih berkarya di akhbar New Straits Times suatu ketika dahulu.

Pada masa ini, saya turut membaca media baharu, selain mengikuti perkembangan semasa melalui media elektronik. Namun, minat saya masih utuh terhadap surat khabar dan tabloid demi mendapatkan berita.

Ada banyak sebab untuk ‘ketagihan’ saya terhadap media cetak. Media cetak sentiasa bertanggungjawab terhadap bahan yang mereka terbitkan. Oleh kerana itu mereka amat berhati-hati dalam memisahkan fakta daripada pendapat.

Ada beberapa lapisan suntingan untuk ketepatan, gaya dan kredibiliti yang digunakan oleh wartawan, editor berita, penyunting dan editor pengeluaran.

Proses suntingan ini memastikan berita yang dicetak dan dibaca pada hari berikutnya sudah melalui pemeriksaan ketat untuk memastikan ketepatan fakta.

Ini bagi memastikan berita yang terpilih sesuai dicetak. Oleh itu, tidak ada ruang untuk khabar angin atau berita palsu diterbitkan seolah-olah ia berita benar.

Walaupun akhbar turut mempunyai ruangan pendapat, wartawan amat berhati-hati dan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk memberi komen.

Jika ada pihak ketiga, pendapat mereka juga akan diambil dan ini semua membantu membentuk kepercayaan. Surat khabar memenuhi kehendak masyarakat dari pelbagai lapisan. Begitu juga pemilihan berita untuk dicetak dibuat dengan seimbang.

Secara umumnya, akan ada bahan yang sesuai untuk semua orang - warga emas, generasi milennial, Gen X dan Gen Z. Salah satu pendekatan paling penting yang dapat saya perhatikan adalah sikap bertanggungjawab editor yang tidak menyiarkan isu sensitif membabitkan perkauman atau moral.

Jika isu sebegini diterbitkan, ia biasanya diolah menggunakan bahasa yang tidak menggugat emosi. Jarang sekali latar belakang etnik seseorang itu dinyatakan, melainkan jika ia amat perlu dalam berita yang diterbitkan.

Walaupun akhbar memberi ruang dan liputan kepada isu semasa, ia turut memperjuangkan isu yang kurang sensasi seperti pembasmian kemiskinan, mobiliti sosial dan nasib golongan kurang bernasib baik.

Akhbar turut memberi suara kepada mereka yang tiada ruang untuk meluahkan perasaan.

Apa yang lebih menarik adalah akhbar dipertanggungjawabkan dengan setiap berita yang diterbitkan setiap hari, manakala hasil kerja wartawan boleh dibaca dan dikritik oleh semua pihak. Tidak seperti profesional lain, kesilapan wartawan boleh dilihat oleh semua orang.

Bagi saya secara peribadi, akhbar banyak membantu dalam mempromosikan perjuangan sosial untuk kebaikan masyarakat, tanpa mengira kaum, agama atau warna kulit.

Akhbar juga memberikan saya maklum balas dan pandangan berharga yang membantu kerja NGO saya, terutama dalam bidang keselamatan dan kesihatan industri, pencegahan jenayah, kebajikan haiwan dan kesukarelawanan.

Saya tidak percaya surat khabar akhirnya akan menjadi bahan sejarah dan dilupakan. Saya amat menghormati semua wartawan, termasuk yang pernah bekerja suatu ketika dahulu atau masih bertugas.

Begitu juga editor, penyunting, pekerja pengeluaran dan pasukan pengiklanan dan pengurusan akhbar bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil. Saya mendoakan yang terbaik untuk mereka semua dan berharap akhbar mereka tidak akan ditutup.

Tidak dinafikan bahawa akhbar juga boleh menyumbang kepada pembentukan budaya membaca yang ingin kita promosikan.

Oleh itu, kita perlu melakukan yang terbaik untuk menyelamat dan mengekalkan media cetak yang mampu membawa berita dari setiap ceruk dunia dengan hanya membayar seringgit atau dua ringgit.

Tetapi siapakah yang boleh menyelamatkan akhbar? Saya percaya pada akhirnya, hanya orang ramai yang mampu dan perlu menyelamatkan akhbar.

Ini penting kerana media cetak mampu memupuk masyarakat dan bangsa bermaklumat demi negara demokrasi yang penuh bersemangat. Oleh itu, rakyat perlu terus membeli, membaca dan berkongsi berita di akhbar yang sudah banyak membantu membina negara.

Penulis adalah aktivis masyarakat

Berita Harian X