Isnin, 4 November 2019 | 11:00am
Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini bersama penyokong berarak ke perkarangan dewan ketika majlis Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon PRK P165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan, Pontian. - Foto Hairul Anuar Rahim

Tanjung Piai uji sentimen pengundi Melayu, Cina

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 November ini, akan menjadi penilaian penting bagi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Ada sebab BN mempertaruhkan MCA bertanding di kerusi yang pengundi Melayu majoriti. Sama juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang mempertaruhkan calon Melayu veteran.

Bagi BERSATU yang mewakili PH, pentas ini memberi peluang mengukur keupayaan mereka dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Pastinya parti itu tidak mahu sejarah hitam di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih berulang di Tanjung Piai, lantas calon berpengalaman dan anak jati Pontian dipertaruhkan.

Bagi BN, ia medan menzahirkan sejauh mana Muafakat Nasional digagaskan UMNO dan PAS yang kedua-duanya tidak bertanding diterima masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam. Tidak ada lagi percubaan paling tepat selain di PRK Tanjung Piai, salah satu kerusi marginal yang merekodkan jumlah pengundi Cina tinggi iaitu 42 peratus.

Memulakan hari berkempen sejak Sabtu, tekanan turut terarah kepada Pakatan sebagai penyandang P165, untuk mengekalkan kerusi yang berbekal 524 undi majoriti diraih pada PRU lalu.

Jika dilihat kedua-dua parti ada kelebihan masing-masing. Bagi Pakatan, kemampuan sebagai Kerajaan Pusat dan negeri memberi sedikit kelebihan dari segi menggerakkan jentera, demi memastikan peratusan keluar mengundi tinggi.

Peratusan tinggi undi Cina di Parlimen itu juga sedikit memberi kelebihan kepada PH khususnya dalam pusat daerah mengundi (PDM) di DUN Pekan Nenas, yang ketika ini wakil rakyatnya DAP.

Cumanya, BERSATU perlu berwaspada. Biarpun PH menguasai 64 peratus sokongan pengundi Cina di kerusi itu dalam PRU lalu berbanding 32 peratus diperoleh calon MCA, mereka tidak berjaya dalam meraih sokongan majoriti pengundi Melayu, yang 57 peratusnya diraih BN.

Lantas trend pengundi Melayu tidak boleh diketepikan dalam PRK ini.

Mempertaruhkan calon Melayu berpengalaman di Tanjung Piai, Karmaine Sardini, mungkin strategi mengena bagi BERSATU. Namun rekod pencapaian calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng di kawasan itu sejak dua penggal lalu, tidak boleh dipandang enteng. Ketokohan kedua-dua calon jelas nampak seimbang.

PRU lalu, Jeck Seng menguasai sebahagian besar PDM majoriti Melayu di DUN Kukup serta hampir separuh sokongan pengundi Cina di DUN Pekan Nenas. Beliau juga calon Parlimen daripada MCA, berada di kedudukan tiga teratas yang berjaya menarik undi Cina terbanyak dari semua kawasan Parlimen ditandingi MCA dalam PRU lalu.

Jelasnya, beberapa faktor dilihat boleh menjadi penentu pola kemenangan PRK Tanjung Piai. Salah satunya trend pengundi muda yang masih menjadi tanda tanya dan sukar diramal. Di Tanjung Piai terdapat 7,259 pengundi muda berusia 21 hingga 29 tahun, sementara 12,012 lagi berusia antara 30 hingga 39 tahun.

Seterusnya, trend pengundi tegar parti. Faktor ini tidak dinafikan sedikit memberi kelebihan kepada BN.

Pencapaian sejak PRU 2008, menunjukkan BN memiliki sekurang-kurangnya 15,000 hingga 16,000 pengundi asas atau tegar. Kebanyakannya pengundi saluran satu hingga tiga yang tinggal dan menetap di kawasan itu.

Mengambil kira kajian Institut Darul Ehsan (IDE) bahawa 83 peratus responden, iaitu pengundi di sana akan mengundi parti sama ketika PRU lalu, maka nasib BN dapat dijangka.

Cumanya, cabaran besar BN untuk memastikan tambahan sekurang-kurangnya 4,000 undi lagi diraih calonnya.

Apa pun arah sokongan, penyokong BN perlu hadam. Menang atau kalah, BN tetap kekal sebagai pembangkang baik di negeri mahupun pusat.

Pertembungan diuji kali ini adalah sentimen pengundi Cina dan Melayu.

Jika kalah, UMNO, PAS dan BN boleh mengorak ke mana hala tuju Muafakat Nasional ini. Sebaliknya, jika kemenangan berpihak kepada Pakatan, ia isyarat jelas penyusunan jentera PH, terutama BERSATU semakin kemas di negeri yang dahulunya menjadi kubu kuat UMNO.

Penulis adalah wartawan Berita Harian

Berita Harian X