Selasa, 5 November 2019 | 11:00am
GAMBAR fail, Pakatan Harapan memenangi 121 daripada 222 kerusi Parlimen pada PRU-14. - Foto Eizairi Shamsudin

'Pintu belakang' bukan jaminan proses peralihan kuasa

Sudah 17 bulan atau setahun lima bulan Pakatan Harapan (PH) menjadi parti pemerintah yang sah tetapi subjek ‘peralihan kuasa’ terus menjadi topik perbincangan utama dalam kancah politik negara ketika ini.

Isu ini ibarat ‘dogma’ atau ‘keramat besar’ yang memberi kesan begitu signifikan kepada gabungan itu sehingga menggugat keharmonian dan kesejahteraan dalam PH sebagai parti dan juga kerajaan memerintah hari ini.

Isu peralihan kuasa ini turut mengganggu citra kerajaan baharu untuk berfungsi dengan berkesan seperti dicita-citakan dalam perjanjian Muafakat PH.

Banyak pihak ternanti-nanti bilakah proses peralihan kuasa akan terjadi. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, juga banyak kali memberi jawapan kepada persoalan itu.

Dalam politik, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Bermacam-macam strategi boleh dirancang dan dilaksanakan bagi membolehkan proses peralihan kuasa dijayakan. Ia boleh dilakukan secara demokratik atau ‘pintu belakang’.

Soalnya, bolehkah proses peralihan kuasa ini dilakukan menerusi pintu belakang? Jika berpandukan pendirian Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu, beliau optimis PH mampu membentuk kerajaan menerusi gabungan DAP, PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dengan berbekalkan 113 kerusi Parlimen.

Dari sudut logik politik, menyingkirkan BERSATU juga bermakna melucutkan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, sekali gus membuka jalan bagi mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR sebagai Perdana Menteri kelapan.

Persoalannya, adakah dengan menyingkirkan BERSATU, Dr Mahathir juga boleh disingkir daripada jawatannya? Jika mengikut Perlembagaan, jawatan Perdana Menteri bukan ditentukan dengan jumlah kerusi dimiliki parti yang membentuk kerajaan.

Akan tetapi, yang penting seorang Ahli Parlimen boleh menjadi Perdana Menteri jika mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam konteks PH, calon Perdana Menteri ditentukan oleh Majlis Presiden PH yang kemudian perlu diterima secara konsensus seluruh Ahli Parlimen gabungan itu menerusi Perjanjian Muafakat PH yang ditanda tangani pada 6 Januari 2018.

Justeru, jika mengikut Perlembagaan, seseorang Perdana Menteri atau bakal Perdana Menteri hanya perlu memastikan beliau memperoleh sokongan sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen jika mahu menduduki jawatan itu.

Ketika ini, PH memiliki 138 kerusi mengikut pecahan 50 milik PKR, DAP (42), BERSATU (26), AMANAH (11) dan sembilan kerusi dari Parti Warisan Sabah (WARISAN). Pembangkang pula memiliki 80 kerusi yang merangkumi 38 kerusi milik UMNO, PAS (18), Gabungan Parti Sarawak atau GPS (19), Gabungan Bersatu Sabah (3) manakala satu kerusi masing-masing milik MIC serta MCA.

Sekiranya BERSATU disingkirkan daripada PH, gabungan parti kerajaan hanya tinggal 112 kerusi. Akan tetapi jika ditakdirkan BERSATU mewujudkan pakatan baharu dengan pembangkang termasuk GPS dan GBS, ia akan memiliki 106 kerusi.

Menurut perkiraan matematik, PH masih mampu membentuk kerajaan tetapi dalam kedudukan yang lemah kerana hanya memperoleh majoriti mudah. Jika ditakdirkan gabungan baharu parti ini berjaya memujuk Ahli Parlimen Bebas dan separuh daripada Ahli Parlimen PKR menyertai gabungan itu, sudah tentu kedudukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri tidak akan tergugat.

Namun, isu lain mungkin akan timbul pula. Adakah UMNO sebagai parti mempunyai Ahli Parlimen teramai dalam ‘gabungan baharu’ itu tidak akan merebut jawatan Perdana Menteri? Jika perebutan berlaku, episod peralihan kuasa tidak akan menemui titik noktah dalam waktu singkat.

Bermakna, pelan peralihan kuasa masih menjadi satu isu yang sangat kritikal dan sensitif untuk diuruskan PH jika parti itu masih berhasrat kekal menjadi kerajaan sehingga berakhir penggal Parlimen ke-14 ini. Proses peralihan kuasa ini tidak semudah seperti ‘meletup dua jari tangan’.

Natijahnya, semua parti di dalam PH perlu benar-benar jujur, ikhlas dan berlapang dada jika mahu menyaksikan proses peralihan kuasa yang terkandung dalam Perjanjian Muafakat PH berjalan mengikut apa yang dicita-citakan.

Sebagai kerajaan, PH harus sedar mereka perlu berpada-pada untuk berpolitik kerana tanggungjawab utama bagi sebuah kerajaan ialah memastikan kebajikan, nasib serta kehidupan rakyat terus terbela dan kestabilan ekonomi diperkasa.

Kegagalan mengurus isu ini dengan berkesan bukan saja akan menebalkan sentimen kecewa rakyat kepada kerajaan, bahkan menjejaskan usaha melaksanakan reformasi dan pemulihan dalam kerajaan.

Penulis adalah Penulis Khas Meja Rencana dan Politik Berita Harian

Berita Harian X