Khamis, 30 Januari 2020 | 10:05am

UiTM dan kualiti, ibarat gandingan irama, lagu

Sebagai universiti awam (UA) Bumiputera terbesar, Universiti Teknologi MARA (UiTM) memiliki jumlah pelajar paling ramai, iaitu 161,000 mahasiswa, selain 515 program akademik dan 35 kampus cawangan seluruh negara.

Setiap semester, UiTM menghasilkan hampir 23,000 graduan pelbagai bidang ilmu dan profesion. Sejak penubuhan pada 1967, graduannya sudah berjumlah 815,353, mengisi pelbagai bidang kerjaya dalam sektor kerajaan dan swasta.

Saya tidak terkejut jika segelintir pihak cuba beranggapan negatif terhadap kelebihan dan kemampuan UiTM menghasilkan graduan berkualiti dalam kuantiti besar ini. Namun, biarlah data dan fakta yang berkata-kata.

Melalui data kebolehpasaran graduan UiTM terkini, 83 peratus daripada mereka berkhidmat dalam sektor swasta, diikuti 13 peratus (kerajaan) dan empat peratus (usahawan). Daripada segi bilangan graduan, kebolehpasaran lepasan UiTM boleh dianggap tertinggi berbanding mana-mana universiti tempatan.

Data pada 2019 berterusan menunjukkan kebolehpasaran graduan UiTM pada tahap 83.8 peratus. Ini realiti kualiti graduan UiTM - menjadi sebahagian tenaga kerja aktif menyumbang kepada pembangunan negara.

Semua data dan fakta ini menjadi bukti jelas UiTM melalui program akademik dan sistem pembelajarannya berjaya menghasilkan graduan berkualiti, berdaya saing dan berdikari.

Malah, pelbagai pencapaian sama ada pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa diperoleh pelajar, graduan dan warga akademiknya. Terlalu banyak jika disenarai kejayaan satu persatu.

Semua kejayaan dan pengiktirafan ini memberikan gambaran positif kepercayaan dan keyakinan pelbagai pihak dalam dan luar negara terhadap kualiti pelajar serta warga akademik UiTM.

Ia memberi impak besar kepada negara dan menunjukkan UiTM berada pada landasan betul menjadi institusi pendidikan tinggi dihormati.

Tegasnya, UiTM tidak pernah meluluskan pelajar yang tidak memenuhi syarat untuk bergelar graduan. UiTM hanya mematuhi garis panduan mengikut syarat akreditasi seperti ditetapkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan badan profesional berkaitan. Hakikatnya, UiTM tidak akan berkompromi dalam perkara yang boleh menjejaskan kualiti akademiknya.

Kita juga menjadi universiti pertama di dunia mendapat pensijilan keseluruhan meliputi pengurusan korporat, perkhidmatan sokongan, pengajaran dan pembelajaran dengan mendapat pengiktirafan ISO 9001:2000 pada 5 Ogos 2004.

Pada 2012, 2013 dan 2015, kita juga memenangi anugerah Entrepreneurial University of the Year dalam kalangan UA oleh Kementerian Pengajian Tinggi ketika itu. UiTM juga menerima lapan kali Reader’s Digest Trusted Brand Gold Award dalam kategori UA sejak 2011 hingga 2019 (kecuali 2016).

Apa yang pasti, semua kejayaan dan pencapaian UiTM berteraskan kualiti menyeluruh dari segi proses, sistem pendidikan dan kelayakan seluruh warga UiTM yang penuh dedikasi serta berkemahiran tinggi.

Bermula pelajar, warga kerja dan tenaga akademik, UiTM serius serta komited untuk bersama-sama memberikan terbaik, terutama menjayakan aspirasi pendidikan negara.

Ibarat irama dan lagu, begitu jugalah UiTM dan kualiti. Kualiti ialah teras UiTM.

Penulis adalah Naib Canselor UiTM.

Berita Harian X