Selasa, 11 Februari 2020 | 8:26am
Simposium Antarabangsa Pemikiran dan Peradaban Syed Muhammad Naquib al-Attas pada Sabtu ini.
Simposium Antarabangsa Pemikiran dan Peradaban Syed Muhammad Naquib al-Attas pada Sabtu ini.

Bangsa bertamadun hargai ilmuwan sepanjang zaman

PENGIKTIRAFAN dan penghormatan terhadap ilmuwan tidak terhad hanya selepas seseorang tokoh sudah tiada. Dalam sejarah Islam, ramai tokoh dihormati dan dihargai sumbangannya ketika masih hidup, malah berkekalan walaupun selepas kematiannya.

Imam Shafie diiktiraf kewibawaannya oleh Imam Malik walaupun masih muda. Hingga hari ini, mazhabnya antara mazhab utama fiqh umat Islam. Imam al-Ghazali dikenali sebagai Hujjat al-Islam dan karya utamanya Ihya ‘Ulum al-Din menjadi kitab penting umat Islam hingga kini. Kewibawaan dan ketokohannya menarik perhatian Nizam al-Mulk, pemerintah ketika itu, lalu melantik al-Ghazali sebagai profesor ulung di Nizamiyah. Ibn Khaldun dalam karya Muqadimah, merakamkan pengaruh karya dan ketokohan al-Taftazani di Mesir, meskipun tidak pernah bertemu.

Namun, ada juga sebahagian besar ilmuwan tidak dihargai sumbangannya ketika hidup. Mereka dikenang dan dihargai sumbangannya setelah tiada. Malangnya, ada ilmuwan langsung tidak dihargai ketika hidup dan selepas matinya.

Mengapa hal itu terjadi? Dalam kerangka budaya ilmu sebenar, sumbangan seseorang ilmuwan benar-benar dihayati dan dihargai disebabkan wujudnya sistem nilai dan falsafah tinggi ilmu, agama, etika dan budaya sesuatu kaum dan tamadun. Ia bermaksud individu dan masyarakat berkenaan kenal serta tahu ilmu dan ilmuwan hakiki.

Sistem nilai dan falsafah tinggi ialah prasyarat budaya ilmu sebenar. Kriteria mengenali ilmuwan hakiki berdasarkan pengiktirafan ilmuwan sebenar sezaman dan bersifat ‘mutawatir’ oleh ahli ilmu selepasnya melalui penulisan tabaqat (biografi) atau sejarah, karya pentingnya dan kesan baik berterusan hasil ajaran serta pengaruhnya.

Dengan kriteria ini, setiap ilmuwan dikenali dan diletakkan di tempat paling wajar. Mereka tidak akan dilonggokkan di tempat sama. Oleh itu, ketokohan Imam Shafie, al-Ghazali dan al-Taftazani sangat menonjol, walaupun pada zaman mereka, ramai tokoh lain wujud.

Bagaimana boleh berlaku ilmuwan tidak dihargai ketika hidup atau selepas mati? Ini disebabkan budaya ilmu sesuatu masyarakat rendah, keliru atau tiada, lalu mengakibatkan tidak kenal intan permata. Sebaliknya, mereka menggunakan kriteria palsu seperti populariti, kuasa, kepandaian berjenaka dan berhelah.

Dalam hal ini, penting kita renungkan pengiktirafan sewajarnya diberikan Profesor Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, tokoh pemikir negara dan umat Islam. Bangsa kita khususnya dan umat Islam secara umumnya bersyukur kerana hidup sezaman dengan beliau.

Prof al-Attas berjasa dalam meletakkan asas kukuh dalam pembinaan negara melalui peranan agama Islam, bahasa dan budaya. Contohnya, kepentingan bahasa Melayu sebagai asas perpaduan rakyat Malaysia, peranan dan sumbangan Islam di alam Melayu. Ia kemudiannya menjadi Syarahan Pengukuhan Profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1972, selain pembuktian secara saintifik Tarikh Bersurat Terengganu pada 4 Rejab 702 bersamaan 22 Februari 1303.

Sumbangan gagasan dan peranan strategik beliau dalam merangka dan menubuhkan institusi pengajian tinggi di negara ini juga amat penting. Beliau bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjawat Menteri Pelajaran, terbabit dalam Jawatankuasa Penaja Utama penubuhan UKM pada 1968.

Kemudian, Prof al-Attas menubuhkan Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) di UKM menumpukan kepada pembinaan epistemologi, sejarah dan falsafah alam Melayu dan perbandingan dengan tamadun besar.

Kerjaya dan sumbangannya paling bermakna ialah penubuhan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Peradaban Islam (ISTAC) dan memimpinnya selama 14 tahun. Beliau merangka kurikulum, memilih sarjana hebat dan menubuhkan perpustakaan dengan koleksi nadir, manuskrip serta peribadi ilmuwan dalam dan luar negara. Begitu juga menerbitkan karya dan jurnal penting serta melatih dan mengajar ilmuwan muda pintar dari seluruh dunia.

Sumbangannya tidak terhad kepada menganalisis akar masalah, tetapi memberi cadangan penyelesaian kepada bangsa dan umat Islam secara keseluruhan. Beliau menuruti Imam al-Ghazali dalam memahami isu umat Islam dengan menumpukan pengislahan individu sebagai prasyarat pengislahan dan pembinaan perkara lebih besar.

Justeru, amatlah wajar dan tepat untuk suatu majlis penghargaan kepada Prof al-Attas diadakan. Simposium Antarabangsa Pemikiran dan Peradaban Syed Muhammad Naquib al-Attas akan dianjurkan Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains, dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Prof al-Attas akan memberikan syarahan khas, manakala antara pembentang utama, Pemegang Kerusi Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Pemikiran Islam, Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud; Profesor di Universiti Ibnu Khaldun, Istanbul, Prof Dr Alparslan Acikgenc; Profesor Johann Wolfgang Goethe-Universitat, Prof Dr Hans Daiber dan Profesor Universiti Tehran, Prof Dr Saed Reza Ameli Ranani.

Penulis adalah Pengerusi Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM)

Berita Harian X