Selasa, 17 March 2020 | 11:01am
Keratan akhbar BH semalam.
Keratan akhbar BH semalam.

Kuliah dalam talian elak jangkitan

APABILA Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik dan Malaysia menerima gelombang kedua wabak itu yang mencatatkan jumlah kes keseluruhan kepada 428 kes, universiti tempatan mula mengarahkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

Beberapa kaedah boleh diambil kira bergantung kepada metodologi dan kandungan pengajaran dalam bidang masing-masing.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) membangunkan portal i-Learn yang memfokuskan pembangunan teknologi komunikasi untuk meningkatkan kualiti dan keberkesanan pendidikan serta menambah baik teknik pengajaran konvensional.

Portal i-Learn itu memberi peluang kepada pensyarah untuk mencipta kandungan pengajaran berasaskan web dan aktiviti pembelajaran dalam talian.

Bagi universiti yang mempunyai jumlah pelajar mencapai 175,200 di seluruh negara dengan 12 kampus negeri (tujuh ialah kampus negeri berautonomi); kampus satelit di Shah Alam (6); kampus satelit negeri (11) dan kolej bersekutu (21), UiTM memulakan inisiatif memperkenal e-pembelajaran bermula 2005.

Ia juga sentiasa menambah baik portal pendidikan dan penyelesaian itu menunjukkan kepentingan mewujudkan alternatif lain dalam proses PdP.

Dengan kebolehcapaian internet di negara, penularan wabak COVID-19 seharusnya tidak mengganggu proses PdP di institusi pengajian tinggi. Selain portal rasmi e-pembelajaran yang dibangunkan sesetengah universiti, pensyarah boleh menggunakan portal di platform atau web sedia ada seperti Zoom, Google Suite dan Google Classroom.

Google Meet, iaitu platform video konferensi juga aplikasi diintegrasi di dalam Google Suite. Namun, jika sesetengah pensyarah merasakan platform di atas agak rumit, apikasi Live Facebook, WhatsApp Business dan konferensi video Skype menjadi pilihan yang ada. Berfikiran kritis dan kreatif dalam situasi sebegini membantu kita menghadapi pandemik ini dengan lebih matang.

Pilihan lain lebih canggih adalah seperti Microsoft Team, iaitu platform komunikasi dan kolaborasi komunikasi maya untuk satu tempoh tertentu membabitkan pengajaran secara langsung, video mengenai kandungan silibus, storan fail tugasan kerja dan integrasi aplikasi lain.

Bagi pensyarah yang sudah lama berkecimpung dalam metodologi e-pembelajaran, arahan pelaksanaan PdP dalam talian daripada pihak pengurusan universiti memberi peluang menggunakan sepenuhnya kandungan pengajaran yang dibangunkan sebelum ini melalui Screencast-O-Matic.

Ia aplikasi web berasaskan Java yang boleh digunakan untuk menghasilkan video pendek yang dirakam bersama suara pengguna atau individu menghasilkan kandungan pembelajaran berkenaan dan pada masa sama, memaparkan segala pergerakan pada paparan monitor.

Namun diakui, tidak semua kandungan pembelajaran dan silibus menepati metodologi PdP di atas talian seperti saranan pengurusan universiti. Sebagai contoh, makmal, kerja lapangan, bengkel, studio, aktiviti padang atau kerja dapur.

Sebagai langkah pencegahan, beberapa prosedur pelaksanaan digariskan pihak pengurusan universiti.

Bagi sebarang penyampaian membabitkan keadaan bersemuka (face to face) dengan kumpulan besar, mereka disarankan untuk dipecahkan kepada kumpulan lebih kecil.

Mereka juga perlu memastikan jarak selamat satu meter dan mematuhi langkah keselamatan serta kesihatan yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pusat Kesihatan (PK) universiti masing-masing. Turut ditekankan, aktiviti penyeliaan pelajar perlu memastikan diadakan dalam jarak satu meter.

Institusi pengajian tinggi adalah kawasan ramai orang berkumpul hampir setiap hari. Diharapkan alternatif sesi PdP secara dalam talian mampu membendung penularan wabak COVID-19 antara warga universiti tanpa menjejaskan sektor pendidikan itu sendiri.

Kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Pengajian Tinggi dan pengurusan tertinggi universiti yang memberi kelonggaran dan juga pensyarah serta pelajar amatlah diperlukan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

Berita Harian X