Isnin, 23 March 2020 | 12:01pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

COVID-19: Elak banyak kunyah masa 'berkurung'

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang bertujuan membendung wabak COVID-19, menuntut rakyat yang tiada berkepentingan untuk berada di rumah masing-masing atau di mana ketika mereka berada. Masa perniagaan untuk pasar raya juga dipendekkan.

Namun apa membimbangkan, apabila berada di rumah, ramai tidak berhenti-henti untuk makan dan sentiasa mengunyah kudapan semasa tempoh PKP ini. Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana dikhuatiri berat badan akan meningkat dalam tempoh singkat.

Tambah memburukkan lagi keadaan, sekiranya mereka mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung.

Apa yang perlu dilakukan adalah makan seperti biasa dan mengisi masa terluang dengan perkara berfaedah seperti menyiapkan kerja tertunda atau membaca buku berfaedah.

Bagi pelajar, inilah peluang untuk mengulangkaji pelajaran. Namun, secara umumnya aktiviti seperti bersenam di dalam rumah dan berkebun boleh juga dilakukan.

Sekiranya tiada aktiviti sesuai dilakukan, mereka boleh mengurangkan pengambilan makanan. Seandainya berasa lapar, ambil snek ringan seperti segelas susu, buah-buahan, kekacang, roti, biskut bijirin penuh atau yogurt.

Banyakkan minum air kosong, berbanding air berperisa dan bergula. Makanlah mengikut jadual dengan saranan suku suku separuh.

Setiap ahli rumah perlu mengawal kuantiti makanan diambil supaya kalori sesuai dengan keperluan. Namun sekiranya sukar untuk dilakukan, berpuasa sunat bagi individu beragama Islam adalah digalakkan semasa PKP ini.

Ini juga dapat melatih untuk membuat persiapan Ramadan yang tinggal hanya lebih kurang sebulan lagi. Di samping itu, amalan membaca Quran juga boleh dilakukan untuk mengisi waktu terluang.

Perlu diingat, tetapkan waktu makan untuk semua ahli keluarga pada masa yang betul. Elakkan daripada makan sesuka hati tanpa mengira masa.

Janganlah disebabkan mahu mengelak virus COVID-19, penyakit lain pula datang. Amalkan gaya hidup sihat dan bersama kurangkan bebanan doktor perubatan di klinik dan di hospital.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Program Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X