Isnin, 23 March 2020 | 1:30pm

Tangguh bayaran pinjaman, tingkatkan kuasa beli

KESAN ketara ke atas sektor pembangunan dan ekonomi serta rakyat ekoran wabak COVID-19 termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini, perlu segera diperbaiki.

Wajar ditekankan, langkah kerajaan Malaysia dalam usaha penghapusan wabak COVID 19 setakat ini, memperlihatkan kesungguhan dan kewajarannya.

Namun, semua pihak seperti warga tadbir awam, ahli akademik, ulama, pasukan keselamatan, korporat dan rakyat keseluruhan, perlu saling menyumbang bakti dalam membantu negara dalam usaha membendung wabak COVID-19.

Saranan daripada mereka berkebolehan juga perlu disalurkan kepada kerajaan dalam mendepani impak ekonomi yang sangat drastik. Mana-mana negara boleh jatuh miskin sekiranya ia tidak diuruskan dengan baik dari segi dasar penambahbaikan pasaran dan hala tuju ekonomi semasa dan pasca COVID-19 nanti.

Lihat sahaja dari segi sektor pelancongan, negara kehilangan pasaran niaga pelancongan antarabangsa dan domestik dengan ketara.

Usaha mencapai tahap pertumbuhan industri itu ke tahap penjanaan RM100 bilion limpahan dana terhenti seketika, hub pengangkutan bagi udara dan pelabuhan laut juga pasti nyata terjejas. Perolehan hasil menerusi sumber petroleum juga menyusut, aspek percukaian daripada kutipan SST mungkin menyusut akibat penurunan transaksi proses jual beli dan gunaan perkhidmatan di pasaran, hasil menerusi dapatan eksport serta perolehan cukai import juga di aliran menurun.

Semua ini akan beri impak kepada hasil negara dan rakyat juga akan menerima kesan ketara. Rakyat Malaysia harus bersedia bagi kehidupan dengan belanjawan negara yang perlu disesuaikan semula dengan kebolehan negara memperoleh hasil ketika wabak global ini melanda.

Bukan hanya Malaysia, bahkan semua negara perlu menyesuaikan semula paras prestasi kewangan dan kedudukan pertumbuhan ekonomi mereka secara drastik.

Rakyat perlu bersedia menghadapinya. Kita tidak boleh mengharapkan yang lebih, tetapi berdoalah untuk segala aspek berkaitan kebajikan rakyat dapat diteruskan pada kadar yang mampu dilaksanakan kerajaan.

Kerajaan dan rakyat pada 2020 ini berhadapan cabaran luar biasa kesan globalisasi serta rangkaian dunia tanpa sempadan.

Dalam usaha meminimumkan impak COVID-19 ke atas ekonomi dan sara hidup rakyat, kita mengharapkan agar kerajaan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sektor perbankan bekerjasama.

Kerajaan boleh membuat arahan bagi memperluaskan keseluruhan penangguhan pembayaran balik ansuran semua jenis pinjaman bagi rakyat dari segi ansuran ke atas rumah, kereta dan pembiayaan peribadi. Ini bertujuan menambahkan aliran tunai boleh guna dalam kalangan rakyat semasa berhadapan kemelut ekonomi kesan COVID-19.

Selain itu, kerajaan boleh membantu dalam menyuntik mudah tunai kepada rakyat yang mempunyai akaun di KWSP dengan diberikan arahan khas untuk kelonggaran pengeluaran tabungan bagi semua pendeposit sebanyak RM1,500 setiap bulan selama 3 hingga 6 bulan dan dikreditkan terus ke akaun simpanan bank bagi setiap pendeposit KWSP tanpa perlu proses permohonan.

Kerajaan juga ada kuasa tersendiri dalam usaha membaik pulih sektor peruncitan dengan meningkatkan kuasa beli rakyat dengan penambahan tunai di poket rakyat.

Jika kerajaan mahu membantu meringankan beban penjawat awam, kerajaan boleh menangguhkan ansuran bayaran balik pinjaman kerajaan dari sektor pinjaman perumahan dan pinjaman jenis lain.

Jika kerajaan, bank dan KWSP bertindak segera bagi penyediaan langkah penangguhan sementara bayaran ansuran dari rakyat buat jangkamasa antara 3 hingga 6 bulan, ia akan membantu memperkuatkan semula keupayaan kuasa beli rakyat serta pada masa sama, ia akan memaparkan keprihatinan kerajaan dan sektor perbankan serta institusi caruman pekerja menerusi KWSP ke atas rakyat.

Dengan peranan ketiga-tiga sektor ini, ia akan memberikan impak besar kepada edaran tunai di pasaran dengan kadar segera.

Sudah tentu berjuta-juta pekerja dari sektor awam dan swasta akan dimanfaatkan menerusi kaedah ini. Kerajaan tidak perlu mengeluarkan dana tambahan baharu kerana kita sedia maklum kewangan kerajaan juga sukar ketika COVID-19 menyerang.

Namun, cukup sekadar kerajaan mengaktifkan penangguhan bayaran balik pinjaman di pelbagai sektor, ia dijangka akan menambah tunai berbilion ringgit di pasaran secara konsisten.

Menerusi langkah ini, dengan lebih 7.6 juta pendeposit KWSP, maka jangkaan RM11.4 bilion akan disuntik ke pasaran, belum lagi dikira tunai di tangan penjawat awam dan peminjam di sektor perbankan yang masing masing dikecualikan ansuran bulan buat sementara waktu ini.

Kelebihan langkah ini, kerajaan tidak perlu menggunakan dana sendiri, cukup dengan satu arahan khusus dan ini akan memelihara kestabilan kewangan rakyat dalam suntikan pemulihan ekonomi Malaysia.

Ia juga akan menjadi agen membaik pulih aliran niaga di sektor peruncitan. Mungkin jika bersesuaian dengan aspirasi dan pertimbangan kerajaan, ia boleh dilaksanakan.

Pensyarah Kanan, Hal Ehwal Dasar, Politik dan Pengajian Antarabangsa (SOIS), Universiti Utara Malaysia (UUM)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X