Isnin, 23 March 2020 | 4:14pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

COVID-19: Pastikan pensyarah tak abai pelajar

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 pada tahap pandemik sejak 12 Mac lalu berikutan penularannya menjangkau ratusan ribu pesakit di serata dunia dengan angka kematian melebihi 12,000.

Wabak yang mudah tersebar melalui batuk dan bersin serta sentuhan pada permukaan dicemari virus itu mula mendapat perhatian dunia apabila berlaku peningkatan kematian mendadak di Wuhan, China sekitar Disember tahun lalu.

Disebabkan COVID-19 mengambil masa antara 2 hingga 14 hari untuk menunjukkan simptom pada pesakit positif, keadaan ini menyukarkan kerja untuk menyekat penularan wabak ke serata dunia melalui interaksi antara pesakit dengan ahli keluarga dan komuniti terdekatnya.

Pengisytiharan pandemik oleh WHO disambut inisiatif pencegahan yang lebih agresif daripada pelbagai pihak. Malaysia mengambil langkah drastik dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut mengandungi arahan penutupan pelbagai institusi pendidikan.

Sebelum pengumuman ini dibuat, terdapat beberapa institusi pendidikan yang mengambil langkah proaktif mengumumkan amalan kuliah terhad, membatalkan kuliah bersemuka dan menggalakkan penggunaan teknologi dalam pengajaran serta pembelajaran sebagai medium perantara.

Trend penggunaan teknologi dalam situasi ini dilihat sebagai langkah wajar bagi mengurangkan risiko penyebaran wabak itu dalam kalangan warga institusi pendidikan.

Dalam pada keghairahan pendidik berhijrah daripada aktiviti kuliah bersemuka ke dalam bentuk digital atas talian, terdapat beberapa perkara perlu dititikberatkan bagi memastikan penghijrahan besar-besaran kurang memberi impak negatif kepada kualiti pembelajaran pelajar.

Perkara pertama perlu diteliti adalah dari segi kesediaan teknologi dan kesediaan pendidik dalam menggunakan teknologi berkenaan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Terdapat dua kategori aplikasi teknologi yang boleh digunakan, iaitu aplikasi teknologi ‘synchronous’ dan aplikasi teknologi ‘asynchronous’. Aplikasi ‘synchronous’ membabitkan pelantar teknologi yang boleh digunakan secara langsung atau secara ‘live’.

Contoh aplikasi teknologi membolehkan jenis interaksi sebegini ialah Skype, Google Hangout, Google Meet, YouTube Live, Facebook Live dan Zoom Meeting. Pendidik dapat menjalankan kuliah seperti biasa tanpa perlu berkumpul di dewan kuliah, sekali gus menurunkan risiko jangkitan COVID-19.

Jika pendidik memilih menggunakan aplikasi teknologi jenis ‘synchronous’ seperti ini, terdapat beberapa perkara perlu diberi perhatian termasuk kestabilan talian internet, koordinasi pelajar, had bilangan pelajar bagi satu-satu aplikasi dan kehilangan nuansa interaksi yang lazim ditemui semasa pembelajaran bersemuka.

Interaksi dalam talian dibatasi mengikut kemampuan sesuatu aplikasi teknologi. Interaksi menggunakan teknologi persidangan video membolehkan pendidik melihat gelagat pelajar sewaktu siaran langsung kuliah itu berlaku. Namun, pendidik akan terlepas beberapa perkara seperti perasaan keterkaitan antara pendidik dan pelajar yang akan berkurang kerana ketiadaan kehadiran fizikal dan kebolehan untuk menginterpretasi emosi pelajar.

Aplikasi teknologi ‘asynchronous’ pula membolehkan interaksi pembelajaran berlaku tanpa memerlukan pendidik dan pelajar hadir pada masa sama. Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS), papan e-buletin, emel, pelantar media sosial dan rakaman video pembelajaran antara contoh jenis teknologi yang boleh digunakan secara ‘asynchronous’.

Google Classroom, YouTube, GMail, Facebook, Twitter, Microsoft Teams, Schoology, Padlet, dan Edmodo antara contoh aplikasi ‘asynchronous’. Universiti awam (UA) di negara ini rata-ratanya mempunyai sistem LMS yang tersendiri. Sebagai contoh, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mempunyai sistem LMS MyGuru yang juga mendukung interaksi secara ‘asynchronous’.

Pengajaran dan pembelajaran dalam bentuk ‘asnychronous’ perlu menitikberatkan aspek ‘immediacy’ komunikasi antara pelajar dan pendidik. Masa diambil untuk pendidik memberi maklum balas kepada komen dan pertanyaan akan mempengaruhi kualiti pembelajaran dialami pelajar.

Lebih lambat pendidik membalas komen mereka, akan lebih jauhlah ‘keberadaan sosial’ pendidik daripada pelajarnya. Dinamika komunikasi atas talian seperti ini perlu diambil berat oleh setiap pendidik agar kualiti pembelajaran dialami pelajar tidak terjejas.

Pelajar seharusnya sedar akan tanggungjawab mereka dalam memastikan pembelajaran terus berlaku. Mereka perlu sedar institusi pendidikan di negara ini amat komited menyediakan pengalaman pembelajaran kondusif tanpa keterlibatan mereka dalam keadaan yang berisiko tinggi.

Tanggungjawab untuk memudahkan proses penghijrahan aktiviti kuliah bersemuka ke atas talian jatuh di atas bahu kedua-dua pihak, iaitu pendidik dan pelajar. Oleh itu, pelajar perlulah berusaha supaya transisi ini dapat dijalankan dengan jayanya.

Kalangan pendidik pula dinasihatkan supaya memahami kemampuan sesebuah aplikasi teknologi sebelum digunakan sebagai sebahagian daripada solusi teknologi dalam pendidikan. Ini kerana setiap aplikasi itu, mempunyai fitur dan kemampuan berlainan.

Facebook, Twitter, dan Instagram pula pelantar media sosial yang banyak digunakan pelajar. Namun, pelbagai isu (isu privasi pelajar dan pendidik, kesesuaian iklan dipaparkan dan kesesuaian kandungan mengikut umur) perlu diatasi dan diperhalusi sebelum digunakan sebagai sebahagian alat pembelajaran.

Interaksi dalam atas talian mampu membuka ruang dan peluang lebih besar dan menyediakan kesamarataan hak untuk didengari bagi setiap pelajar. Pelajar yang dahulunya kurang yakin untuk bersuara di dalam kelas mampu bersama-sama menyertai perbincangan atas talian.

Oleh itu, peranan pendidik juga adalah untuk memastikan interaksi berlaku adalah bebas daripada elemen buli siber.

Penulis ialah Pengarah Akademi Pendidikan/Sekolah Makmal, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X