Selasa, 24 March 2020 | 11:00am
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Tiada bukti dakwaan virus dicipta dalam makmal

Sejak virus baharu COVID-19 muncul di Wuhan, China pada penghujung tahun lalu, ia menjadi pandemik yang tersebar ke 187 negara, termasuk Malaysia.

Menurut kajian dalam jurnal Nature Medicine, COVID-19 ialah hasil evolusi semula jadi dan tiada bukti ia dihasilkan atau direka bentuk dalam makmal.

Sekumpulan penyelidik dari pelbagai universiti terkemuka dunia membuat analisis data turutan genom awam daripada COVID-19 dan membandingkan data turutan genom coronavirus yang diketahui bagi memastikan ia berasal daripada proses semula jadi.

Ini menafikan tuduhan bahawa virus itu dicipta dalam makmal. Tuduhan itu menyatakan ia dihasilkan dalam makmal di Amerika Syarikat (AS) dan dibawa ke China untuk menularkan wabak sangat berbahaya terbabit.

Coronavirus ialah keluarga besar virus yang boleh menyebabkan penyakit akut pernafasan teruk. Penyakit akut pernafasan teruk pertama diketahui disebabkan coronavirus muncul dengan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003 di China.

Wabak kedua penyakit pernafasan akut teruk bermula pada 2012 di Arab Saudi dengan wabak Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS).

Penyelidik di China pula membina rangkaian keseluruhan jujukan genom COVID-19 dan mendapati persamaan urutan genom adalah 79 peratus dengan SARS-CoV, 52 peratus (MERS-CoV) dan hampir 88 peratus (coronavirus lain seperti SARS-like CoV) daripada haiwan seperti kelawar ladam Cina yang dipanggil ZC45 dan ZXC21.

Kajian penjujukan genom ini penting bagi membuka jalan bagi kajian masa hadapan untuk memahami virus dan punca asal dengan lebih baik. Penemuan ini jelas menunjukkan ia berasal daripada kelawar.

Di negara ini, sekumpulan penyelidik Institut Genom Malaysia (MGI) menjalankan penjujukan genom virus COVID-19 daripada enam sampel pesakit daripada generasi pertama. Hasil analisis jujukan virus ini diletakkan ke dalam pangkalan data maklumat antarabangsa di National Centre for Biotechnology Information (NCBI) di AS.

Jujukan virus ini boleh dibandingkan dan dianalisis dengan sampel COVID-19 dari pelbagai negara. Ini sangat penting bagi membolehkan hasil jujukan menjadi rujukan saintis pelbagai negara menghasilkan vaksin.

Selain itu, pencirian struktur virus seperti glikoprotein, poliprotein dan protein lain daripada COVID-19 adalah penting untuk pembangunan vaksin.

Pemodelan homologi protein ini dengan pencontoh yang diketahui mampu memberi peluang kepada saintis untuk mengetahui tapak ligan yang mengikat virus dan memahami sifat antiviral yang berkemungkinan daripada kompleks protein ligan ini. Sebarang maklumat yang muncul daripada model protein ini boleh digunakan untuk pembangunan vaksin.

Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaluddin sendiri turun ke padang berjumpa dengan saintis di MGI, Bangi bagi memastikan kajian sains terhadap pandemik berbahaya ini dijalankan dengan baik dan mampu menyumbang kepada usaha pembangunan vaksin oleh saintis dunia.

Kita mengharapkan penjujukan genom dan analisis bioinformatik efisien ini dapat menyumbang kepada penemuan vaksin. Ini sangat penting bagi kita melawan pandemik COVID-19 yang menjangkiti hampir 300,000 dan mengorbankan lebih 12,000 seluruh dunia.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Program Bioteknologi, Fakulti Sains dan Sumber Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X