Selasa, 24 March 2020 | 4:49pm
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak diadakan secara tergesa-gesa, sebaliknya kerajaan sudah memulakan pelan perancangan lebih tersusun termasuk memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi. Gambar hiasan. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak diadakan secara tergesa-gesa, sebaliknya kerajaan sudah memulakan pelan perancangan lebih tersusun termasuk memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi. Gambar hiasan. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Perintah Kawalan Pergerakan bendung COVID-19 bukan tergesa-gesa

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan berkuat kuasa seluruh negara hingga 31 Mac ini, menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat termasuk ada yang balik kampung dan berbelanja untuk stok dapur beramai-ramai hingga menimbulkan insiden pembelian panik.

Namun, tidak kurang juga ada yang masih berdegil berada tempat awam tanpa tujuan dan masih mengekalkan aktiviti harian seperti biasa hingga Perdana Menteri terpaksa membuat pengumuman kali kedua dengan bahasa yang mudah supaya orang ramai duduk di rumah yang bertujuan memutuskan rantaian COVID-19.

Ternyata kerjasama dan kefahaman masyarakat awam diperlukan segera untuk menjayakan misi mengurangkan risiko merebaknya COVID-19.

Perkhidmatan pasukan barisan hadapan Kementerian Kesihatan dalam menangani pesakit dan prosedur rawatan COVID-19 ini harus dipuji. Mereka tanpa jemu melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi, bertanggungjawab dan cekap. Tidak terkecuali pasukan keselamatan dan perkhidmatan kerajaan termasuk 25 jenis sektor yang dikecualikan daripada PKP untuk memenuhi keperluan masyarakat umum.

Timbul persoalan, apakah PKP ini dibuat secara tiba-tiba oleh kerajaan tanpa memikirkan kesediaan orang ramai? Ini kerana masih ada ingkar arahan, malah ada mengeluh sukar melaksanakan tugasan harian serta ia seolah-olah diberikan secara tiba-tiba dengan mendesak. Ini termasuk keluhan peniaga kecil dan aktiviti perniagaan yang akan terjejas teruk akibat daripada PKP selama 14 hari ini.

Terkini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mengeluarkan kawalan perintah pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Ini bermaksud arahan ini bukanlah suatu yang harus diremehkan.

Sebenarnya, apabila kerajaan mengumumkan langkah pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit ini, rakyat harus mematuhi dan memberikan kerjasama tanpa berbelah bagi. Ini kerana, kerajaan sebenarnya sudah memulakan pelan perancangan lebih tersusun sebelum memulakan perintah berkenaan.

Pakej Rangsangan Ekonomi bertema Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan sebenarnya diumumkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 27 Februari lalu, menggariskan tiga strategi dengan 32 langkah.

Tiga strategi itu adalah menangani impak COVID-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti. Ini bermaksud kawalan pergerakan COVID-19 ini adalah sangat perlu untuk dilaksanakan.

Selari dengan ini, terdapat sokongan pihak swasta seperti penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman perniagaan. Bank Rakyat, SME Bank dan TEKUN Nasional mengumumkan penangguhan pembayaran pinjaman selama enam bulan pada 16 Mac lalu.

Bank Islam juga menawarkan moratorium kepada pelanggan yang terjejas dengan COVID-19. Disusuli dengan bank lain juga.

Saya percaya kesemua bank akan juga melaksanakan sokongan ini selaras dengan Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memastikan semua institusi kewangan menyediakan bantuan sewajarnya kepada syarikat benar-benar terjejas.

Ini termasuk pengecualian duti setem 100 peratus akan diberikan atas perjanjian penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman perniagaan antara peminjam dan institusi kewangan tertakluk kepada syarat perjanjian pinjaman asal yang dimeterai. Pengecualian ini diberikan bermula 1 Mac hingga 31 Disember ini.

BNM akan menyediakan Dana Kemudahan Bantuan Khas berjumlah RM2 bilion dengan kadar pembiayaan 3.75 peratus setahun untuk membantu aliran tunai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas. Disokong juga penawaran skim kredit Mikro BSN berjumlah RM200 juta pada kadar 4 peratus untuk syarikat dalam sektor pelancongan dan sektor terjejas.

Kerajaan juga mengambil langkah untuk meringankan bebanan perniagaan dengan memberi diskaun 15 peratus ke atas jumlah bil elektrik bagi tempoh enam bulan dan pengguna domestik sebanyak 2 peratus diskaun. Dengan langkah proaktif kerajaan ini, rakyat seharusnya tidak panik dengan tindakan dan pengumuman menganjurkan PKP.

Apa perlu dilaksanakan adalah akur dan laksanakanlah aktiviti berfaedah daripada rumah.

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) umpamanya mengumumkan terdapat 13.2 juta bahan bacaan boleh diakses secara percuma melalui portal mereka. Masyarakat mampu untuk memenuhi aktiviti lebih berkualiti dari rumah walaupun dengan pergerakan terhad.

Ini tidak termasuk dengan tawaran syarikat penyiaran seperti Astro, Hypp TV, Iflix dan Netflix yang membuka kesemua salurannya untuk dinikmati pelanggannya sepanjang 14 hari berada di rumah.

Di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) umpamanya, semua kakitangannya melaksanakan kerja dari rumah dengan menggunakan sistem perakam kehadiran melalui telefon pintar. Mahasiswa yang masih berada di kolej kediaman kampus, luar kampus dan rumah sewa juga dibantu melalui skim makanan percuma serta bahan mentah hasil sumbangan orang ramai dan warga USIM melalui Pusat Wakaf dan Zakat, USIM.

Kesemua perkhidmatan di USIM dilaksanakan secara atas talian. Perpustakaan USIM misalnya, juga menawarkan pinjaman artikel secara atas talian bagi perkhidmatan antara perpustakaan melalui pesanan teks WhatsApp.

Secara umumnya, tiada sebab untuk kita mengeluh kesukaran sedikit sekiranya kita berlapang dada dan menggunakan masa yang ada dengan lebih produktif walaupun berada di rumah. Gunakanlah kesempatan dengan optimum dan semaksimum mungkin serta bertindak kreatif untuk menjayakan misi dan visi warga prihatin.

Tahun 2020 seharusnya diisi dengan minda positif dan keterhadapan sesuai dengan Wawasan 2020 yang kita idamkan bersama.

Gunakanlah PKP dengan bijaksana, kita cegah penyakit COVID-19 ini dengan baik, dengan penuh pengharapan agar kita berupaya meraikan ibadat secara beramai-ramai pada Ramadan akan datang di masjid seperti biasa.

Sekiranya langkah pencegahan dan memutuskan rantaian COVID-19 ini berjaya, kita boleh jayakan juga pelancongan domestik pada masa akan datang kerana kerajaan juga sudah merangka program menggalakkan pelancongan tempatan melalui pelepasan cukai sebanyak RM1,0000 kepada individu untuk perbelanjaan melancong dalam negara sehingga Ogos 2020.

Oleh itu, kerjasama dari semua pihak amatlah diharapkan semoga pelan rangsangan ekonomi negara dapat berjalan dengan teratur dan berkesan.

Penulis ialah Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X