Selasa, 24 March 2020 | 7:17pm
Universiti awam (UA) sudah ada strategi dan langkah alternatif ubah amalan pembelajaran bersemuka kepada secara dalam talian. Gambar hiasan. - Foto BERNAMA/Mohd Khairul Fikiri Osman
Universiti awam (UA) sudah ada strategi dan langkah alternatif ubah amalan pembelajaran bersemuka kepada secara dalam talian. Gambar hiasan. - Foto BERNAMA/Mohd Khairul Fikiri Osman

COVID-19: Kreatif laksanakan pembelajaran, pengajaran dalam talian

COVID-19 dalam sekelip mata mengubah wajah kehidupan masyarakat dunia. Ia musibah tidak mengenal siapa sahaja sebagai mangsanya. Kisah perang dan penindasan tidak lagi menjadi fokus, sebaliknya dunia bergelut dengan tragedi mencabar keupayaan manusia membendungnya.

Dilema ini bukan sahaja merentasi pelbagai negara, bahkan mencetuskan kemelut semakin kritikal dalam pelbagai sektor kehidupan termasuk pendidikan tinggi dan sekolah.

Pengisytiharan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19 tentunya membataskan pergerakan dan aktiviti masyarakat termasuk mahasiswa sama ada di kampus atau kampung halaman.

Bagi mengelakkan mahasiswa dijangkiti COVID-19 dan mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kebanyakan universiti membenarkan pelajarnya pulang ke kampung atau memilih tinggal di kolej kediaman supaya tidak berlaku pergerakan dalam tempoh 18 hingga 31 Mac ini.

Justeru, bagi mempermudahkan urusan Pembelajaran dan Pengajaran (PdP), Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad menyarankan semua institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada awam mahupun swasta bertindak melaksanakannya secara dalam talian sangat bertepatan dalam menghadapi wabak COVID-19.

Kita yakin kebanyakan universiti awam (UA) memiliki strategi dan langkah alternatif kepada amalan pembelajaran bersemuka kepada secara dalam talian yang dianggap pilihan terbaik dalam menghadapi situasi menggugat suasana pembelajaran ini.

Kami mematuhi arahan agar tidak dilaksanakan kuliah secara bersemuka demi keselamatan pelajar dan pensyarah, sebaliknya memanfaatkan Open and Distance Learning (ODL). Pensyarah juga menggunakan segala kreativiti mereka untuk berinteraksi dengan pelajar walaupun berjauhan.

Inilah masanya pensyarah mengaplikasikan apa sahaja kebolehan dan kreativiti mereka, asalkan proses PdP berlangsung dengan jayanya.

Peningkatan statistik positif COVID-19 dan angka kematian disebabkan sikap degil dan tidak sensitif dengan wabak itu, mendukacitakan kerajaan dan sebahagian besar rakyat Malaysia.

Kerajaan melakukan pelbagai pendekatan secara proaktif, namun jika rakyat termasuk mahasiswa tidak peduli dan menghayati kesan jangkitan COVID-19 yang boleh berakhir dengan kematian, ia sesuatu yang malang dan menyedihkan.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sendiri antara universiti memperoleh akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk pelaksanaan ODL, sekali gus menunjukkan infrastruktur UPSI untuk ‘online learning’ sudah mantap.

Sistem MyGuru dibangunkan untuk memberi kemudahan kepada pelajar walau di mana sahaja berada selagi wujud kebolehcapaian internet seperti memuat turun rakaman video pensyarah.

Saya berpendapat pensyarah di semua institusi pengajian tinggi boleh menggunakan kreativiti masing-masing dalam PdP seperti menerusi Massive Open Online Learning (MOOC), Open Educational Resources (OER) dan Flipped Classroom secara dalam talian serta apa sahaja aplikasi terbuka yang ada.

Apa-apa sahaja aplikasi yang boleh membantu pensyarah dan pelajar berkomunikasi menyampaikan mesej serta arahan tugasan perlu digembleng sebaik mungkin termasuk WhatsApp, Telegram dan Google Class Room.

Pensyarah yang pastinya memiliki pengalaman luas dalam mencurahkan ilmu sama ada secara konvensional atau menguasai pendekatan Revolusi Industri 4.0, diyakini akan memanfaatkan sebaik mungkin pengetahuan dan kemahiran bersama pelajar dalam menjayakan PdP.

Kepada semua pelajar IPT, dengarlah nasihat dan rayuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar kita semua berada di rumah. Lakukan aktiviti bermanfaat dan teruskan pembelajaran bersama pensyarah secara dalam talian.

Kita berada pada zaman serba canggih dan moden, malah kerajaan memperuntukkan jutaan ringgit agar semua institusi pengajian memiliki prasarana pengajian terbaik setanding institusi pengajian luar negara.

Mahasiswa perlu memanfaatkan masa dan menjaga keselamatan diri di mana sahaja berada walaupun perasaan diganggu dengan tragedi jangkitan dan kematian yang entah bila akan bernoktah.

COVID-19 menghadapinya memerlukan kesatuan hati dalam kepatuhan yang jitu demi kelangsungan hidup bersama.

Penulis ialah Naib Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X