Rabu, 25 March 2020 | 7:08pm

Suntikan terarah tepati sasaran, elak risiko inflasi ekonomi

Kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi mengumumkan langkah menangani krisis ekonomi akibat COVID-19 melalui mekanisme simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Melaluinya, pencarum KWSP dianggar berjumlah 12 juta orang dibenar mengeluarkan simpanan akaun dua mereka maksimum RM500 sebulan selama 12 bulan berkuat kuasa mulai April depan.

Jika keseluruhan 12 juta pencarum mengeluarkan RM500 sebulan, maka dijangka RM40 bilion wang akan beredar dalam ekonomi sehingga tempoh 12 bulan akan datang.

Cadangan ini baik daripada satu sudut. Pertama, langkah pengeluaran KWSP ini bersifat ‘pindahan langsung’, yang mana wang akan terus sampai ke poket rakyat. Ini pastinya memberi sedikit kelegaan kepada rakyat kerana bertambahnya aliran tunai dalam tangan mereka.

Kedua, langkah mengehadkan pengeluaran RM500 adalah baik bagi mengekang fenomena terlebih belanja dalam kalangan rakyat.

Bagaimanapun, terdapat juga beberapa kelemahan skim ini. Pertama, skim bantuan ini terhad kepada pencarum KWSP. Bagi yang bekerja sendiri atau tiada simpanan di KWSP, mereka tidak akan diliputi skim ini.

Sekalipun mempunyai caruman KWSP, tidak ramai mempunyai jumlah mencukupi untuk dikeluarkan terutama pekerja di bawah kategori B40.

Perlu diingatkan sebahagian pencarum juga menggunakan akaun dua KWSP untuk membayar ansuran pinjaman perumahan.

Kedua, wujud kos masa hadapan yang perlu ditanggung pencarum. Jika caruman RM6,000 (12 bulan x RM500) tidak dikeluarkan dan dengan kadar dividen tahun sebanyak lima peratus, maka pencarum akan ‘hilang’ lebih kurang RM9,223 untuk tempoh 10 tahun dalam bentuk dividen.

Kosnya di sini adalah simpanan selepas persaraan dan dividen yang diperoleh.

Pada ingatan penulis, ini kali kedua mekanisme KWSP digunakan kerajaan. Mekanisme pertama diumumkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi pada Februari lalu memberi kebenaran pencarum mengurangkan kadar caruman daripada 11 peratus kepada tujuh peratus.

Jika diteliti langkah terkandung dalam Pakej Rangsangan Ekonomi diumumkan Februari lalu, kerajaan nampaknya masih berhati-hati untuk berbelanja. Kerajaan masih ingin mengekalkan sasaran kadar defisit fiskal.

Dalam keadaan krisis ekonomi dihadapi sekarang, kerajaan perlu lebih aktif memainkan peranan dalam menyuntik perbelanjaan dalam ekonomi.

Sasaran defisit fiskal boleh diketepikan seketika. Ekonomi perlukan suntikan perbelanjaan kerana pengeluaran barangan dan perkhidmatan terjejas akibat daripada kelemahan perbelanjaan isi rumah.

Jadi, pakej pengembangan fiskal melalui suntikan perbelanjaan kerajaan diperlukan. Bagaimanapun, kerajaan perlu berhati-hati dengan langkah atau skim perbelanjaan fiskal yang ingin diambil.

Jika hasil tidak mencukupi, berapakah pinjaman yang diperlukan? Dari manakah sumber pinjaman berkenaan? Ke manakah perbelanjaan akan disalurkan? Sudahkah dikenal pasti sektor keutamaan yang perlu disuntik? Adakah bantuan kepada isi rumah diberi dalam bentuk tunai atau bukan tunai?

Tidak kira apa langkah atau skim ingin diambil, kerajaan perlu memastikan suntikan terarah kepada sasaran yang betul agar mampu menggerakkan ekonomi dan memberi pulangan cukai kepada kerajaan.

Kerajaan juga perlu memastikan suntikan perbelanjaan tidak menyebabkan inflasi dalam ekonomi.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X