Sabtu, 28 March 2020 | 10:23am
Ibu bapa perlu melihat tempoh ini sebagai pemurnian dalam hubungan mereka dengan anak. - Foto hiasan
Ibu bapa perlu melihat tempoh ini sebagai pemurnian dalam hubungan mereka dengan anak. - Foto hiasan

Manfaat masa tingkat hubungan ibu bapa, anak

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan kempen Stay Home, Stay Safe perlu digunakan oleh ibu bapa untuk meluangkan semaksimum ruang bersama anak.

Ibu bapa perlu melihat tempoh ini sebagai pemurnian dalam hubungan mereka dengan anak. Kita perlu melihat setiap masalah dari aspek positif kerana cara ibu bapa berfikir, bertindak dan beremosi sangat mempengaruhi perspektif kanak-kanak melihat dunia.

Peluang ini perlu digunakan untuk membina sebanyak mungkin masa berkualiti bersama anak di rumah. Sebenarnya, terdapat banyak aktiviti boleh dilaksanakan bersama anak yang dapat menambah kemesraan dalam hubungan. Tempoh ini bukan sahaja mewujudkan perhubungan yang lebih positif malahan membina memori indah.

Sekolah sering dilihat sebagai lokasi dan latar terbaik dalam mendidik kanak-kanak, tetapi urusan pendidikan bukan sahaja menjadi tanggungjawab guru, bahkan amanah kepada ibu bapa.

Tempoh di rumah pada ketika ini boleh digunakan oleh ibu bapa untuk mengajar anak mengenai adab khususnya menghormati orang lebih tua termasuk guru dan ahli keluarga lain. Menerapkan nilai murni dan contoh akhlak yang baik juga perlu menjadi keutamaan.

Selain itu, aspek kesihatan perlu dititikberatkan dengan membantu anak untuk memahami situasi wabak COVID-19 dengan bahasa yang mudah difahami.

Mereka perlu dibantu untuk mengetahui langkah kebersihan dan keselamatan, selain diterangkan mengapa perlu berada di rumah dalam tempoh ini.

Kanak-kanak sebenarnya lebih mudah melalui proses penyesuaian dan pembaharuan berbanding orang dewasa. Sebagai ibu bapa, kita perlu menggunakan ruang ini untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan situasi yang melanda negara.

Mereka akan lebih memahami apa yang berlaku dengan penerangan jelas dengan laras bahasa bersesuaian oleh ibu bapa. Ibu bapa juga digalakkan membantu kanak-kanak untuk belajar berjimat cermat dari segi kewangan, makanan dan tenaga, sekali gus menghargai dan bersyukur dengan apa yang dimiliki.

Penyesuaian ini perlu ditangani dengan baik agar kesejahteraan psikologi kanak-kanak dalam tempoh PKP dalam keadaan yang optimum.

Kanak-kanak juga seperti orang dewasa yang tertangguh dalam melakukan sesuatu akibat pelbagai tuntutan.

Oleh itu, dalam tempoh ini ibu bapa perlu membantu kanak-kanak menyiapkan semua urusan tertangguh seperti kerja sekolah, menyusun fail dan nota dan mengemas bilik sendiri serta menyusun perancangan akademik. Ini untuk memastikan urusan akademik mereka tidak tercicir.

Ibu bapa yang kreatif pula boleh menggalakkan anak untuk mencuba sesuatu yang baharu. Contohnya membina hobi baharu yang tanpa disedari mencungkil bakat dan potensi kanak- kanak. Mereka perlu digalakkan membuat sesuatu yang baharu seperti mempelajari bahasa asing atau mencuba kemahiran lain.

Golongan ibu bapa perlu kreatif dan kritis dalam memastikan tempoh ini dapat ditangani dengan baik oleh anak-anak serta membentuk personaliti unggul dalam diri mereka.

Tempoh ini juga waktu terbaik untuk kita semua merenung untuk berubah menjadi lebih baik dalam membentuk anak yang sejahtera dalam menghasil generasi Malaysia yang cemerlang dan berakhlak.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X