Sabtu, 28 March 2020 | 4:26pm
Orang ramai mula memperlihatkan perubahan penjagaan kebersihan sejak penularan COVID-19. Gambar hiasan. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Orang ramai mula memperlihatkan perubahan penjagaan kebersihan sejak penularan COVID-19. Gambar hiasan. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

COVID-19 buka mata warga pendidik, pelajar

PANDEMIK COVID-19 memberi impak besar kepada pelbagai sektor dengan bidang pendidikan sama ada peringkat rendah, menengah mahupun pengajian tinggi tidak terlepas daripada kesannya.

Ia mendorong kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga 14 April ini. Antara pelaksanaannya ialah penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, berasrama penuh, antarabangsa dan pusat tahfiz.

Turut ditutup ialah institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti serta penutupan semua universiti awam (UA) dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.

Artikel ini akan membincangkan bagaimana wabak COVID-19 ini memberi implikasi dalam konteks pendidikan. Jikalau sebelum ini, pelajar kurang mengambil berat mengenai isu kebersihan, kini mereka mula sedar kepentingan menjaga kebersihan.

Pelajar lebih mengambil berat mengenai kesihatan dan keselamatan masing-masing. Antaranya mereka memakai topeng muka dan menjaga kebersihan bukan sahaja di sekolah dan di universiti, malah di rumah. Ini termasuk mengekalkan jarak 1 meter dari semua orang yang berinteraksi terutama di tempat umum seperti pasar raya.

Daripada berjabat tangan, ramai mengubah kepada cara alternatif untuk saling menyapa dengan mengelakkan sentuhan.

Hand sanitizer juga digunakan dalam usaha menangani penularan wabak COVID-19. Pelajar diajar mengenai cara penggunaannya, begitu juga cara membasuh tangan yang betul dengan menggunakan air.

Amalan ini membuahkan hasil apabila BH melaporkan rakyat Malaysia menduduki tempat pertama berbanding negara lain yang mengubah sikap ke arah positif dalam aspek penjagaan kebersihan diri dalam situasi penularan COVID-19, 6 Mac lalu. Diharapkan sikap ini berkekalan walaupun pandemik COVID-19 berakhir.

Pelajar juga dapat belajar untuk mematuhi peraturan. Pelajar sekolah menengah dan universiti pastinya menghadapi keadaan sukar sebegini pertama kali dalam hidup mereka.

Selain itu, pelajar tidak kiralah sama ada menengah mahupun di institusi pendidikan tinggi mula sedar akan kesalahan menyebarkan maklumat palsu di media sosial. Mereka yang didapati bersalah akan disabitkan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan.

Penyampaian maklumat secara berkesan oleh kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) sama ada melalui media sosial mahupun media massa seharusnya dipuji untuk mengelakkan kekeliruan rakyat mengenai maklumat terkini pandemik berkenaan.

Dengan kehadiran pelbagai teknologi pendidikan masa kini, proses pembelajaran dan pengajaran tidak lagi semestinya berlaku secara bersemuka lebih-lebih lagi dengan keadaan sukar pada hari ini.

Bertujuan memastikan sistem pendidikan tidak terhenti walaupun seluruh dunia dikejutkan dengan pandemik ini, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengesyorkan penggunaan pelbagai teknologi untuk memastikan kesinambungan pembelajaran.

Guru boleh menggunakan platform pembelajaran dalam talian untuk untuk pengajaran, berinteraksi dengan pelajar dan memberi latihan secara maya. Ramai pelajar pada masa kini mempunyai akses kepada peralatan teknologi di rumah.

Natijahnya, penularan pandemik COVID-19 ini membuka mata dan minda banyak pihak termasuk pelajar. Kesedaran menjaga kebersihan, mematuhi peraturan dan pelaksanaan pembelajaran secara maya antara implikasi situasi yang berlaku di negara kita pada hari ini. Semoga penularan pandemik ini akan berakhir tidak lama lagi.

Penulis ialah Timbalan Pengarah, Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Berita Harian X