Sabtu, 28 March 2020 | 8:45pm
Gunakan kemudahan teknologi seperti perbankan dalam talian dan media sosial untuk berhubung dengan warga tua supaya kebajikan mereka tidak terabai ketika menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Gambar hiasan. - Foto AFP
Gunakan kemudahan teknologi seperti perbankan dalam talian dan media sosial untuk berhubung dengan warga tua supaya kebajikan mereka tidak terabai ketika menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Gambar hiasan. - Foto AFP

'Penjarakan sosial' tak bermaksud abaikan warga tua

TANPA kewujudan vaksin, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan penjarakan sosial (social distancing) menjadi pendekatan utama untuk membendung penularan COVID-19.

Melihatkan perkembangan semasa, tindakan kerajaan Malaysia melanjutkan tempoh PKP hingga 14 April nanti adalah amat wajar bagi membendung dan seterusnya menyekat penularan wabak Covid-19 ini.

Untuk menjayakan PKP kedua ini, rakyat dari segenap lapisan perlu bekerjasama dan berdisplin dalam mengamalkan penjarakan sosial, kebersihan diri, dan amalan hidup sihat lain.

Bagaimanapun, masyarakat juga harus sedar penjarakan sosial tidak bermaksud mengabaikan kebajikan warga tua. Sebagai negara sedang membangun yang semakin berusia (ageing), sebahagian warga tua ini tinggal di luar Lembah Klang, jauh di pekan kecil dan di kampung-kampung.

Masyarakat Malaysia tidak boleh menjadikan penjarakan sosial sebagai alasan untuk mengabaikan keperluan warga tua. Kecanggihan teknologi membolehkan sokongan kewangan diteruskan dengan membuat pindahan wang melalui perbankan dalam talian.

Dalam keadaan krisis kemanusiaan seperti dihadapi sekarang, warga tua pastinya dalam kerisauan akan keadaan anak-cucu dan saudara-mara. Masyarakat perlu membantu warga tua menolak perasaan negatif begini agar ia tidak menjejaskan kesihatan mereka.

Ini boleh dilakukan dengan sering menghubungi mereka melalui telefon atau lebih efektif lagi menggunakan media sosial seperti WhatsApp, Skype atau Zoom yang membolehkan komunikasi secara visual.

Banyak syarikat telekomunikasi tampil untuk membantu masyarakat meneruskan hubungan dan aktiviti produktif sepanjang tempoh kritikal ini.

Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam, internet percuma dengan nilai RM600 juta ditawarkan kepada semua pelanggan telekomunikasi bermula 1 April ini hingga tempoh pelaksanaan PKP tamat.

Kesimpulannya, masyarakat boleh menggunapakai media sosial untuk memastikan kebajikan warga tua tanpa menjejaskan matlamat penjarakan sosial.

Penulis ialah Ketua Kluster, Analitiks Kewangan Global dan Penguangan, Pusat Kajian Perniagaan Global dan Ekonomi Digital, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X