Sabtu, 28 March 2020 | 9:15pm
Banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat dan orang perseorangan sumbang tenaga untuk membantu petugas hadapan dan golongan memerlukan tempuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Gambar hiasan. - Foto NSTP/Fathil Asri
Banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat dan orang perseorangan sumbang tenaga untuk membantu petugas hadapan dan golongan memerlukan tempuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Gambar hiasan. - Foto NSTP/Fathil Asri

COVID-19: NGO, individu bantu ringankan beban

SEJAK hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini hingga kini, mencatatkan kenaikan kes COVID-19. Bagi meningkatkan keberkesanan PKP dalam memutuskan virus coronavirus itu, Perdana Menteri mengumumkan tempoh PKP dipanjangkan dua minggu lagi hingga 14 April ini.

Rakyat sedar kepentingan meneruskan tempoh PKP, namun kegusaran tetap ada bagi mereka bergaji harian atau peniaga kecil yang tidak lagi dibenarkan membuka gerai sepanjang tempoh ini. Tiada lagi punca rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Kerajaan mengambil beberapa inisiatif Pelan Rangsangan Ekonomi bagi membantu kelangsungan hidup golongan paling terkesan. Tidak dapat dinafikan, inisiatif ini sangat membantu. Di samping itu, dapat dilihat rakyat turut membantu mempermudahkan urusan sesama rakyat.

Sejak bermula PKP, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan IKRAM Malaysia mewujudkan Tabung Bantuan COVID-19 i-Bantu. Begitu juga, individu seperti Syed Azmi Alhabshi dan pasukannya, melalui inisiatif BANTUAN Kes Covid19 tampil membantu menyumbangkan makanan mentah dan keperluan asas kepada yang memerlukan terutama golongan B40.

Terdapat juga beberapa usaha organisasi lain menyumbangkan tenaga kerja dalam membantu kumpulan barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM). 3D Printing Malaysia Community for COVID 19 umpamanya berkumpul menyumbangkan face shields kepada hospital memerlukan.

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi MARA (UiTM) juga menyambut baik inisiatif ini dengan mengumpulkan 16 unit mesin pencetak 3D milik fakulti dan juga milik peribadi para pensyarah untuk menghasilkan lebih banyak face shields bagi kegunaan petugas barisan hadapan. Face shields yang dihasilkan akan disterilkan dengan cahaya UV sebelum diserahkan.

Selain itu, pengusaha skaf tempatan, Cloverush, bekerjasama dengan MedTweetMY dan Yayasan Hydrocephalus Negara (YHN) mengedarkan tudung bagi kegunaan jururawat dan doktor di barisan hadapan sebagai kelengkapan memerangi penularan virus ini. Tudung didermakan ini akan dipakai-buang bagi menjaga kebersihan dan keselamatan petugas KKM.

Artis dan influencer di media sosial turut menyumbang tenaga dengan kempen #stayathome, #dudukrumah dan #kekaltenang. Ini usaha dalam memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia terhadap kepentingan untuk menjayakan usaha PKP ini.

Dengan Malaysia sebagai negara ke-5 tertinggi di dunia yang melayari media sosial dengan 80 peratus penembusan internet, usaha ini tidak boleh dipandang remeh.

Bagi yang tidak mampu menyumbang kewangan, tidak mempunyai pengaruh untuk mengutip derma sumbangan, atau tidak berkemahiran, rakyat masih boleh membantu dengan tenaga masing-masing.

Ruangan media sosial dipenuhi dengan sukarelawan dan jiran tetangga yang bersedia menjaga anak-anak staf KKM dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang dipanggil bertugas, memandangkan sekolah, taska dan nurseri ditutup.

Usaha seperti bertanya khabar keluarga di kampung, jiran dan sahabat melalui aplikasi WhatsApp atau Telegram juga adalah penting untuk memastikan semua mampu kekal tenang di rumah.

Ini membantu mengurangkan impak psikologi yang dihadapi sepanjang usaha mengawal penularan wabak ini melalui tempoh PKP.

Memetik ucapan Perdana Menteri: “Apabila keadaan menjadi sukar, hanya yang tabah akan dapat mengharunginya.”

Keadaan akan menjadi semakin sukar, PKP masih berbaki tiga minggu. Namun, seperti kata Ketua Pengarah Kesihatan melalui laman Facebook milik beliau: “Kegagalan PKP bukan satu pilihan kerana jika tidak, negara akan berdepan gelombang ketiga penularan COVID-19.”

Setiap daripada kita perlu memainkan peranan masing-masing untuk membantu mengekang penularan wabak ini.

Terus kekal di rumah, adalah usaha paling penting. Mainkan peranan kita sebaiknya. Ini menunjukkan perpaduan kita rakyat Malaysia. Di samping usaha daripada kerajaan, kita rakyat perlu sama-sama membantu rakyat yang lain, kerana kitalah Malaysia.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM Shah Alam

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X