Ahad, 29 March 2020 | 11:00am
Pemandangan bandar dari helikopter polis yang membuat rondaan di pelabuhan Sicily dari Guardia bagi langkah pencegahan penyebaran penyakit koronavirus (COVID-19), di Catania, Itali. - Foto REUTERS
Pemandangan bandar dari helikopter polis yang membuat rondaan di pelabuhan Sicily dari Guardia bagi langkah pencegahan penyebaran penyakit koronavirus (COVID-19), di Catania, Itali. - Foto REUTERS

Tuntut kerjasama rakyat cegah ledakan COVID-19

Gelombang pertama COVID-19 melanda China, kini meledakkan gelombang kedua di Eropah. Itali yang mempunyai kemudahan kesihatan baik, tanpa diduga mencatatkan antara kes tertinggi, malah jumlah kematian mengatasi angka di China. Apakah dunia menyaksikan kemuncak ledakan COVID-19 atau masih berada pada fasa awal dan pertengahan?

Ini menimbulkan kebimbangan kerana wabak itu masih belum mempunyai vaksin atau penawar terbukti berkesan. Buat masa ini, dadah perubatan Remdesivier mula digunakan dalam proses percubaan bagi pesakit COVID-19.

Modus operandi atau struktur pengawalan menanganinya menjadi penanda aras dalam pengurusan keselamatan negara. Pengurusan COVID-19 oleh kerajaan sesebuah negara ialah penentu kejayaan mengatasi ancamannya.

China membina hospital khusus untuk pesakit COVID-19 dalam masa 10 hari dan melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya. Negara di Eropah seperti Itali dan Sepanyol menerima bantahan penduduk kerana kegagalan pengurusan keselamatan menangani wabak itu.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump juga dikatakan bersikap sambil lewa terhadap ancaman COVID-19 walaupun negara itu sudah mencatatkan jumlah kes tertinggi di dunia.

Iran dengan kemudahan kesihatan terhad terpaksa menggunakan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pemimpinnya tidak menggunakan penumpuan secara pemusatan oleh kerajaan dalam pengurusan keselamatan COVID-19.

Pemerhati keselamatan dan kesihatan dunia mengandaikan Iran secara tidak langsung menggunakan kaedah imuniti kelompok dalam penyelesaian COVID-19. Ia merujuk situasi jumlah penduduk terkena virus penyakit dikawal secara minimum dalam populasi sehingga apabila mencapai satu tahap penularan, maka komuniti itu membentuk imuniti terhadap virus berkenaan. Konsep ini juga cuba dipraktik di United Kingdom pada awal penularannya.

Korea Selatan dipuji kerana menggunakan aplikasi digital dan keterhubungan internet serta perisian dalam menangani COVID-19. Perisian Corona 100M dibangunkan secara khusus memberikan taburan data berhubung kes dan lokasi wabak dalam jajaran 100 meter dari lokasi individu itu berada.

Individu yang mengesyaki dijangkiti akan melalui ujian rapid test, termasuk melalui konsep pandu lalu. Negara itu juga menggunakan pendekatan rapid test dan kaedah intrusif, iaitu pengesanan awal COVID-19 semaksimum mungkin kepada penduduk.

Dianggarkan Korea Selatan mempunyai kapasiti menjalankan ujian berskala besar dan pantas melalui kit pengesanan COVID-19 ciptaan saintis mereka yang kini mendapat perhatian dunia dan mula diimport, termasuk Malaysia.

Jelas pendekatan pengurusan dan strategi keselamatan ialah aspek penting bagi memastikan keselamatan negara. Malaysia mendapat pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung strategi menanganinya.

Antara strategi utama adalah melalui pengesanan kontak rapat dipraktikkan dalam mengenal pasti potensi jangkitan untuk proses isolasi selepas pesakit dikesan. Usaha barisan hadapan khususnya Kementerian Kesihatan amat diyakini dan dipuji dalam menangani ancaman wabak itu.

Bagaimanapun, terdapat beberapa cadangan pendekatan tambahan boleh digunakan melalui gabungan strategi hasil pemerhatian pengurusan keselamatan COVID-19 secara global. Antaranya ketelusan memperincikan lokasi kes secara spesifik.

Membangunkan aplikasi perisian seperti Corona 100M mungkin mengambil masa, tetapi ia perlu mula digerakkan. Ketelusan penerangan taburan data lokasi kes secara spesifik perlu disampaikan bagi memberikan amaran awal untuk menjauhi kawasan terbabit dan memastikan penjarakan sosial lebih berkesan.

Walaupun agak terlewat diaplikasikan di bandar dan kawasan kes tinggi, ia masih relevan di luar bandar dan kawasan kes rendah sebagai asas langkah pengawalan tambahan.

Perincian lokasi kes seperti nama jalan, kawasan perumahan, bangunan, kampung dan acara pemakluman lokasi terperinci adalah kaedah mudah memastikan kepekaan masyarakat setempat agar lebih berhati-hati.

Kaedah pengesanan dan ujian COVID-19 secara pandu lalu walaupun sudah mula digunakan, wajar diperluas secara berjadual khususnya apabila inisiatif kerajaan memperuntukkan dana bagi tenaga sokongan kakitangan dan perubatan.

Kaedah pandu lalu berjadual khususnya di zon merah berupaya membantu mengesan pembawa COVID-19 di lokasi titik panas. Pematuhan wajib pemeriksaan berjadual kepada penduduk khususnya di zon merah dicadangkan mula dipraktikkan dengan memastikan penambahan keupayaan mempertingkatkan rapid test menggunakan kit pantas.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam ialah langkah pantas yang boleh diperluas, terutama di zon merah kerana membendung penularan dan ujian pengesanan berskala besar serta pantas harus dilakukan di kawasan terbabit.

Kita berada pada fasa kritikal mencegah ledakan COVID-19 yang memerlukan kerjasama rakyat dan penambahbaikan pengurusan keselamatan kerana ia faktor utama kejayaannya, sekali gus mengelakkan ledakan COVID-19 dalam skala lebih besar.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X