Ahad, 29 March 2020 | 4:20pm

COVID-19 lumpuhkan sukan sedunia

SUKAN secara global turut dijangkiti dan menerima tempias COVID-19. Biarpun sering dikaitkan dengan aktiviti fizikal yang sihat serta dapat meningkatkan keupayaan tahap kesihatan, kali ini aktiviti sukan dilihat lebih berbahaya jika diteruskan.

Pada awal virus menular, ada alternatif kononnya bakal diambil seperti perlawanan bola sepak liga utama dunia dan aksi liga bola keranjang kebangsaan Amerika Syarikat (NBA) akan berlangsung dengan pintu tertutup tanpa kehadiran penonton.

Malangnya penularan COVID-19 tidak memilih penyokong yang berhimpit-himpit atau berasak-asak menyaksikan perlawanan sahaja. Sebaliknya jurulatih, pegawai dan pemain turut dijangkiti wabak ini menerusi pelbagai kaedah saluran yang tidak disedari.

Ibarat lampu malam yang sedang terang benderang tiba-tiba ‘shut off’ atau ‘blackout’. Satu persatu suis yang lain terpaksa dipadamkan dan deretan stadium, gelanggang, lapangan dan arena dipaksa bergelap dan sunyi sepi tanpa sebarang aktiviti sukan.

Kebimbangan global mencetus fenomena kehidupan dunia yang meresahkan dalam semua aspek kehidupan terutama kepada negara yang dilanda wabak ini.

Sukan utama dunia, Grand Prix motosikal dunia (MotoGP) hanya sempat membuka tirai di Qatar walaupun hanya untuk aksi Moto2 dan Moto3, manakala empat perlumbaan termasuk Thailand, Amerika Syarikat (AS) dan Argentina ditangguhkan dan dijadual semula.

Begitu juga lumba kereta Formula Satu di Australia, Bahrain dan Vietnam selepas staff McLaren didapati positif virus COVID-19.

Deretan penangguhan dan pembatalan acara sukan utama dunia diumumkan selepas itu dengan NBA menangguhkan musim ini selepas pemain Utah Jazz juga positif wabak ini. Aksi pembuka tirai kejohanan golf utama dunia Masters AS pada 9 hingga 12 April juga terpaksa ditangguhkan.

Kejohanan Grand Slam tenis dunia yang kedua tahun ini iaitu Terbuka Perancis (Roland Gaross) pada bulan Mei juga ditangguhkan ke September.

Liga utama bola sepak dunia, Liga Perdana Inggeris, Bundesliga, Serie-A, Liga Sepanyol, Major League Soccer (MLS) serta beberapa liga lain turut ditangguhkan. Wabak COVID-19 turut menjangkiti Ketua Jurulatih Arsenal, Mikel Arteta, pemain sayap Chelsea Callum Hudson-Odoi dan beberapa pemain dan pegawai Bournemouth, Everton dan Leceister turut menunjukkan simpton jangkitan virus ini.

Terbaru bekas pemain Manchester United yang beraksi bersama Kelab Shandong Luneng Taishan di China, Marouane Fellaini disahkan positif COVID-19.

Amukan COVID-19 tanpa batasan dan sempadan ini memaksa pelbagai acara sukan utama dunia ditangguhkan.

Situasi kurang pasti tentang bilakah berakhir wabak ini mencemaskan pemegang taruh beberapa penganjur kejohanan utama dunia. Jadual perlawanan terpaksa disusun semula serta proses melayakkan diri ke pusingan akhir perlu diambil kira.

Proses itu mengambil masa panjang dan penangguhan beberapa bulan adalah suatu keadaan yang sukar dan membebankan kepada setiap pasukan.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menyedari hakikat ini dan mengambil langkah drastik dengan mengumumkan bahawa kejohanan bola sepak Euro 2020 ditangguhkan ke 2021. Temasya Sukan Olimpik Tokyo pada Ogos ini juga berdepan desakan kuat supaya ditangguhkan.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) walaupun senada dengan Tokyo agar ia perlu diteruskan, namun tidak menolak kemungkinan terpaksa dianjakkan ke hujung 2020 atau 2021. Empat minggu lagi keputusan atau status Tokyo 2020 akan diumumkan IOC.

Setakat ini dua negara Australia dan Kanada sudah membuat kenyataan rasmi bahawa mereka tidak akan menyertai temasya itu sekiranya ia berlangsung mengikut jadual. Terbaru, AS turut melaungkan agar ia ditangguhkan ke tahun hadapan.

Kebimbangan tentang persiapan ke Tokyo yang terganggu bahkan juga peluang melepasi had kelayakan beraksi menerusi pelbagai kejohanan yang tidak dapat diadakan gejala COVID-19.

Malaysia juga hampir pasti menyokong penangguhan terutama setakat ini hanya 10 atlit negara layak ke Tokyo 2020, sambil berharap lanjutan tempoh boleh menambah jumlah bilangan atlit negara layak ke temasya itu.

Penangguhan acara apatah lagi pembatalan acara sukan itu sudah pasti memberi impak atau kesan buruk kepada penganjur dan semua pemegang taruh terbabit. Taksiran kerugian keseluruhan belum dapat dianggarkan walaupun ia dikatakan mencecah ratusan bilion dolar jika berterusan hingga ke suku kedua tahun ini.

Kebimbangan terhadap kehilangan sumber pendapatan daripada penajaan atau ditambah dengan penarikan diri penaja, yuran penyiaran, kutipan tiket serta kehilangan pendapatan domestik dan lain-lain amat membimbangkan penganjur.

Walaupun kemungkinan acara sukan itu ditangguhkan dan dapat diadakan tahun ini juga, terdapat kebimbangan penaja tidak kembali semula untuk menaja atau terbabit dengan sebarang endosmen disebabkan tempoh pemulihan ekonomi syarikat yang terjejas dan memerlukan masa untuk pulih kembali kesan daripada COVID-19.

Bagi peminat sukan seluruh dunia pula, inilah waktu lapang yang paling membosankan dalam hidup mereka.

Penangguhan dan pembatalan acara utama sukan di seluruh dunia sekali gus membatalkan semua ‘live’ atau siaran langsung acara sukan menerusi pelbagai saluran sukan di segenap benua.

Bercakap tentang siaran sukan mestilah tontonan kita kepada aksi disiarkan secara langsung atau ‘live’. Sukan utama dunia seperti bola sepak, tenis, golf, motoGP, formula satu, bola keranjang NBA dan lain-lain jika tidak di tonton secara ‘live’ maka ia bukan sukan dalam falsafah sebenar.

Namun itulah hakikat hari ini. Sejak Februari lalu, walaupun terdapat puluhan saluran sukan antarabangsa, peminat sukan di seluruh dunia berasa muak disajikan siaran ulangan demi ulangan, disebabkan tiadanya siaran langsung acara sukan dinantikan.

Ini mencetus kebimbangan selama manakah saluran sukan ini mampu bertahan ditambah kegawatan ekonomi yang semakin mencengkam akibat COVID-19 ini.

Sama-samalah kita berdoa semoga wabak COVID-19 menemui titik noktah serta sukan di seluruh dunia kembali meriah dan normal.

Penulis adalah pengulas sukan berpengalaman

Berita Harian X