X
Ahad, 5 April 2020 | 7:50pm
Petugas kesihatan yang memakai set peralatan perlindungan diri (PPE) melakukan pemeriksaan ke atas seorang penghuni Menara City One, Kuala Lumpur selepas bangunan tersebut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika tinjauan hari keenam PKPD dijalankan di bangunan berkenaan. - Gambar hiasan/Foto BERNAMA
Petugas kesihatan yang memakai set peralatan perlindungan diri (PPE) melakukan pemeriksaan ke atas seorang penghuni Menara City One, Kuala Lumpur selepas bangunan tersebut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika tinjauan hari keenam PKPD dijalankan di bangunan berkenaan. - Gambar hiasan/Foto BERNAMA

COVID-19 dan kejuruteraan pengudaraan

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan, tidak sepi media sosial dengan pelbagai komen berkaitan virus COVID-19 ini dan kesannya kepada manusia.

Begitulah hebatnya makhluk halus ciptaan Allah SWT yang mampu melintang-pukangkan kehidupan manusia.

Manusia sentiasa terdedah pelbagai bakteria dan virus setiap masa. Tambahan pula, manusia menghabiskan banyak masa dalam kehidupannya dalam pejabat.

Secara umum satu per tiga masa kita sehari dihabiskan di pejabat. Pernahkah kita berfikir, apakah udara di dalam pejabat kita itu benar-benar bersih? Adakah kita bebas jangkitan sekiranya udara di pejabat terdedah kepada berbagai bahan kimia dan patogen?

Pengudaraan ditakrifkan sebagai proses membekal atau menyahkeluar udara dari sesuatu ruang dengan tujuan mengawal tahap pencemaran, kelembapan dan suhu ruang berkenaan.

Berdasarkan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994, menjadi tanggungjawab kepada majikan dan pemilik bangunan untuk menyediakan tempat kerja selamat kepada pekerja atau penghuni sesebuah bangunan terutama yang kedap udara yang menggunakan penghawa dingin.

Melalui kod amalan Industry Code of Practice on Indoor Air Quality 2010, tahap pendedahan kepada kimia dan biologikal serta kesesuaian parameter fizikal seperti suhu dan kelembapan relatif dikenal pasti.

Biasanya kita akan berasa marah sekiranya alat pendingin hawa pejabat tidak beroperasi atau rosak. Kita juga berasa sensitif sekiranya udara disalurkan panas atau terlalu sejuk.

Pernahkah kita terfikir apa lagi kandungan udara pendingin hawa yang disalurkan? Fungsi sistem pendingin hawa bukan semata-mata menyalurkan udara dingin! Udara dingin ini juga menyalurkan oksigen dari udara luar di samping menapis habuk, kotoran, bau dan patogen daripada disedut semasa kita bernafas.

Kelembapan relatif merujuk jumlah kandungan wap air dalam setiap satu kilogram udara kering. Sistem hawa dingin mesti direka bentuk berpandukan Malaysian Standard MS 1525 iaitu antara 23 hingga 26 darjah celsius dan kelembapan relatif antara 50 hingga 70 peratus.

Menurut Dr Stephanie Taylor, seorang doktor perubatan dan pakar bidang seni bina dari Amerika Syarikat, virus COVID-19 tidak aktif pada permukaan yang mempunyai kelembapan relatif persekitaran antara 40 hingga 60 peratus.

Sekiranya kelembapan relatif ini di bawah 40 peratus atau di atas 60 peratus, virus ini menjadi beracun dan mudah berjangkit.

Penulis berpengalaman menjalankan audit di beberapa bangunan mendapati sistem pendingin hawa tidak mencapai prestasi diharapkan bahkan ada yang mempunyai kelembapan relatif setinggi 85 peratus.

Akibatnya, terdapat tompokan kehitam-hitaman pada kawasan corong udara sebagai indikasi pertumbuhan fungus di siling.

Kod amalan Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia menggariskan keperluan mengadakan udara segar di ruang berhawa dingin yang menggariskan had maksima kandungan karbon dioksida (CO2) tidak melebihi 1,000 ppm (parts per million) dan karbon monosida tidak melebihi 10 ppm.

Sistem pendingin hawa jenis split-unit sering digunakan di kediaman atau pejabat berfungsi hanya dengan mengitar semula udara dalam sesuatu ruang.

Sekiranya udara segar luar tidak disalurkan ke ruang hawa dingin ini, kandungan karbon dioksida akan sentiasa bertambah daripada kumbahan semasa pernafasan sementara kandungan oksigen pula semakin berkurangan.

Akibat kandungan karbon dioksida tinggi pada manusia adalah pening, mengantuk, kurang konsentrasi dan terdedah kepada jangkitan patogen di udara.

Bersihkah udara penghawa dingin anda? Pernahkah pembaca mendapati terdapat habuk di sekeliling corong udara pendingin hawa?

Sekiranya pendingin udara mengeluarkan bau hapak, ini adalah indikator prestasi pendingin hawa tidak berfungsi dengan optimum.

Bau ini terhasil daripada tindak balas kimia yang terjadi apabila terdapat kulat pada permukaan lembab. Apabila pendingin hawa gagal menyahkering udara secukupya, keadaan ini menggalakkan pembiakan kulat dan mikro organisma yang menghasil bau hapak ini.

JKKP menggariskan Total Bacterial Count maksima sebanyak 500 cfu/m3 (coloni forming units setiap meter padu) sementara Total Fungal Counts maksima sebanyak 1000 cfu/m3 untuk bangunan pejabat.

Kulat memerlukan makanan untuk hidup yang datang daripada habuk organik yang melekat pada permukaan atau lubang mikroskopik.

Oleh itu udara disalurkan perlu ditapis untuk memastikan tiada habuk melepasi. Penggunaan tapisan sistem pendingin hawa ini bergantung kegunaan ruang. Bagi bilik kritikal seperti bilik pembedahan atau rawatan rapi, penapis jenis HEPA (High Efficiency Particulate Air) digunakan yang boleh menapis sehingga 0.3 μm (mikrometer) perbandingan penapis split-unit hanya boleh menapis sehingga 10 μm.

Apa pengajaran daripada virus COVID-19 ini? Sistem pendingin hawa bukan sahaja membekalkan udara dingin kepada bangunan, tetapi berfungsi sebagai penyambung hayat bagi kita daripada memberi bekalan oksigen dan mengawal pencemaran udara yang menyebabkan jangkitan penyakit.

Kejuruteraan hawa dingin dan pengudaraan adalah satu sains yang kompleks. Selama ini kita mengambil mudah tentang keperluan reka bentuk dan penyelenggaraan sistem pendingin hawa.

Bangunan perlu dibina kedap udara supaya tidak berlaku penyusupan udara dan habuk tidak terkawal dari luar untuk kawalan kelembapan dan kebersihan yang sempurna.

Aliran udara dalam bangunan mestilah difahami dengan mendalam menggunakan simulasi computational fluids dynamics (CFD) untuk memastikan aliran udara berfungsi sebagaimana direka bentuk.

Paradigma masyarakat khususnya pemaju bangunan, perlu menilai semula peri pentingnya kejuruteraan pengudaraan dalam konteks kesihatan manusia sejagat.

Penulis adalah Pengamal Kejuruteraan Pengudaraan dan Prinsipal AHAR Consultants PLT

Berita Harian X