Rabu, 22 April 2020 | 11:00am
PENUBUHAN rizab kecemasan PKS ataupun skim insurans bencana secara kolektif patut diselidik dan dipertimbangkan. Foto hiasan.
PENUBUHAN rizab kecemasan PKS ataupun skim insurans bencana secara kolektif patut diselidik dan dipertimbangkan. Foto hiasan.

Perlindungan sosial komprehensif bantu rakyat

KETIKA ini kita berada dalam fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dalam fasa ini, kerajaan memberikan kelonggaran kepada industri terpilih untuk kembali beroperasi secara berperingkat.

Kelonggaran ini memberikan segelintir rakyat sekilas pandangan pertama kehidupan di Malaysia selepas PKP. Aktiviti perniagaan dan ekonomi bertambah sedikit, tetapi jauh daripada tahap biasa.

Untuk kembali ke paras prawabak, pastinya ia mengambil masa. Ramai badan analisis termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan kemelesetan ekonomi paling teruk sejak zaman kemelesetan 1930-an.

Bagi mengurangkan impak kewangan kepada rakyat, kerajaan melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM260 bilion merangkumi pelbagai bantuan wang tunai, subsidi gaji, skim pinjaman dan lain-lain.

Sudah tentu bantuan seperti ini amat diperlukan bagi menumpulkan ketajaman krisis, namun masih dianggap penyelesaian jangka pendek.

Bagi menangani senario ekonomi lembap berterusan selepas PKP, penyelesaian jangka panjang bagi ‘Makcik Kiah’ dan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap perlu menjadi keutamaan kerajaan daripada sekarang.

Krisis wabak COVID-19 mendedahkan kerentanan pekerja tidak formal, khususnya pekerja gig, individu bekerja sendiri dan perusahaan mikro.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, 47 peratus individu bekerja sendiri hilang mata pencarian dalam tempoh PKP. Wang simpanan kebanyakan mereka pula, 71 peratus dilapor hanya boleh bertahan kurang empat minggu.

Justeru, penyelesaian jangka panjang perlu memberi fokus kepada isu data.

Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerajaan mempunyai pangkalan data yang baik untuk segmen B40, peniaga kecil dan lain-lain yang pernah menerima bantuan kerajaan. Namun, ia tidak bermakna semua yang patut dibantu ada dalam sistem itu.

Ia juga tidak bermakna semua yang patut dibantu akan mendapat liputan perlindungan menyeluruh. Sistem perlindungan sosial yang komprehensif bukan sahaja memerlukan kerajaan mengintegrasikan pelbagai pangkalan data, tetapi perlu mendaftar semua warganegara secara automatik ke dalam skim perlindungan sosial sedia ada.

Ini termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Krisis menunjukkan kerentanan perniagaan kecil, sederhana dan mikro. Kajian mendedahkan 33 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempunyai dana mencukupi untuk bertahan sehingga akhir Mac, manakala 38 peratus boleh bertahan sehingga April sahaja.

Sistem perlindungan sosial komprehensif seharusnya membantu pemilik perusahaan kecil, sederhana dan mikro untuk menampung gaji pekerja dalam masa krisis.

Untuk ini, penubuhan satu rizab kecemasan PKS ataupun skim insurans bencana secara kolektif patut diselidik dan dipertimbangkan.

Sudah tiba masanya persediaan rapi dibuat untuk menghadapi kemelut masa hadapan. Saintis meramalkan pelancaran vaksin COVID-19 akan mengambil masa sekurang-kurangnya 18 bulan.

Pakar epidemiologi pula menjangkakan dunia akan menghadapi pandemik virus yang berlainan pada masa hadapan.

Kita harus bersedia untuk realiti baharu di mana wabak virus baharu dan ancaman ekonomi akan berlaku dengan lebih kerap.

Penyelidik The Centre Malaysia

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X