Jumaat, 15 Mei 2020 | 11:09am
Orang ramai perlu mempunyai kemahiran menguruskan makanan agar pembaziran dan pembuangan makanan dapat diatasi. - Foto hiasan
Orang ramai perlu mempunyai kemahiran menguruskan makanan agar pembaziran dan pembuangan makanan dapat diatasi. - Foto hiasan

Mendidik keluarga urus makanan elak pembaziran

Sambutan Ramadan kali ini sangat berbeza. Akibat cabaran COVID-19, bazar dan bufet Ramadan tidak dibenarkan beroperasi. Ini memaksa keluarga atau isi rumah menyediakan makanan sendiri atau jika ingin kelainan, menempah makanan dalam talian.

Namun, semua keadaan itu boleh memberi kesan kepada penghasilan sisa makanan. Kemungkinan besar, jumlah sisa makanan dihasilkan sepanjang Ramadan tidak sebanyak tahun sebelumnya. Ini berita gembira kerana sisa makanan dapat dikurangkan.

Namun, ia tidak bermakna kita boleh berlepas tangan. Dalam mana-mana keadaan, usaha mengurangkan sisa makanan perlu terus diberi perhatian, terutama dalam kalangan isi rumah.

Data SWCorp menunjukkan penghasilan sisa makanan tertinggi ketika Ramadan adalah dalam kalangan isi rumah, iaitu 38 peratus berbanding pasar basah (25 peratus), restoran (23 peratus) dan hotel (7 peratus). Dengan ini, tumpuan mengurangkan sisa makanan dalam kalangan isi rumah perlu terus diberi perhatian.

SWCorp juga pernah melaporkan sepanjang 30 hari Ramadan pada 2015, sisa makanan terbuang ialah 270,000 tan atau lebih kurang 9,000 tan sehari. Alam Flora melaporkan pada Ramadan 2017, empat kategori makanan dibuang atau sering dikutip ialah sayur-sayuran, makanan dalam tin yang luput tarikh, sisa makanan dihasilkan pengguna dan peniaga serta plastik yang digunakan untuk membungkus makanan.

Masalah utama pembaziran makanan bukan kerana nafsu semata-mata. Faktor lain mempengaruhi pembaziran makanan juga perlu diberi perhatian, iaitu merangkumi kemahiran isi rumah mengurus makanan dan sisanya.

Kemahiran adalah penting dalam pengurusan makanan di rumah, iaitu dalam konteks perancangan, pembelian dan penyimpanan makanan. Perancangan meliputi penyusunan menu dan masakan.

Keluarga perlu menyusun menu untuk jangka masa tertentu, misalnya secara mingguan atau bulanan, sekali gus boleh merancang pembelian makanan lebih teratur. Perancangan menu mempengaruhi pembelian makanan.

Oleh itu, satu senarai pembelian barang makanan boleh dibuat berdasarkan menu disusun yang dapat membantu memudahkan urusan pembelian, mengelak pembelian berlebihan dan pastinya lebih menjimatkan.

Aspek penyimpanan makanan turut perlu diberi perhatian. Makanan dengan tarikh luput lebih pendek perlu disimpan di bahagian hadapan tempat penyimpanan agar mudah dilihat. Pada masa sama, penyimpanan makanan yang dimasak dengan baik juga faktor kritikal menjamin jangka hayat makanan.

Makanan yang tidak disimpan baik mudah basi atau rosak, akhirnya akan dibuang. Selain itu, pengurusan sisa atau lebihan makanan merangkumi pengasingan sisa dan pembuatan baja kompos juga penting.

Semua ini sebahagian kemahiran diperlukan isi rumah untuk mengatasi masalah pembaziran dan pembuangan makanan di kediaman. Kemahiran ini tidak diajar secara formal di sekolah, tetapi dipelajari secara tak formal melalui pembacaan dan pemerhatian.

Namun, berdasarkan kepentingan kemahiran ini dalam usaha pengurangan sisa makanan, seluruh masyarakat perlu memperoleh ilmu berkenaan daripada saluran betul. Pendidikan dalam komuniti boleh menjadi antara salurannya.

Oleh itu, ilmu dan kemahiran penting untuk mengurangkan pembaziran makanan. Usaha ini boleh diperkemas lagi dengan melihat makanan dari sudut nilai kepada kehidupan manusia agar masyarakat lebih menghargai makanan. Asasnya mudah, iaitu makanan penting dan semua orang perlu makan. Namun berpada-padalah, jangan sampai membazir.

Penulis ialah Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Berita Harian X