Selasa, 19 Mei 2020 | 11:00am
Petugas menghantar bantuan makanan kepada penduduk terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD). - NSTP/Saifullizan Tamadi
Petugas menghantar bantuan makanan kepada penduduk terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD). - NSTP/Saifullizan Tamadi

Sinergi sosial permudah kebajikan

Semangat muafakat menggabungkan pelbagai anggota masyarakat bagi melaksanakan sesuatu kerja kebajikan adalah bentuk sinergi sosial yang menjadi budaya dan sistem nilai yang padu bagi masyarakat negara ini.

Situasi ini turut dipengaruhi psikologi tingkah laku rakyat Malaysia yang sememangnya terkenal dengan kemurahan hati dan keprihatinan tinggi.

Sikap ini sentiasa menjadi pilihan anggota masyarakat tanpa mengira situasi. Penyertaan mereka melangkaui kepentingan diri masing-masing. Hatta dalam krisis pandemik yang mencerobohi sistem keselamatan dunia, kerja kebajikan tetap diberi keutamaan.

Ini berdasarkan pemerhatian penulis terhadap pengalaman Institut Sosial Malaysia (ISM) yang diwartakan antara stesen kuarantin bagi membendung penularan COVID-19.

ISM menerima 132 pesakit dalam pemantauan (PUI) dan sebagai tuan rumah, menjadi tanggungjawab kami memberi keselesaan kepada penghuni serta petugas tanpa kompromi dengan faktor keselamatan.

Namun persediaan awal hinggalah semasa pengoperasian stesen kuarantin ini, semua urusan dapat dilaksanakan dengan pantas dan mudah. Jaringan kerjasama pelbagai agensi kerajaan memastikan perkara asas seperti keselamatan, kesihatan dan kebajikan dapat dipenuhi.

Pada masa sama, keselesaan penghuni dapat diraikan hasil sumbangan pihak luar dalam pelbagai bentuk, menjadikan perkhidmatan disediakan lebih sempurna.

Sinergi sosial juga dimanfaatkan kerajaan menerusi bantuan bekalan makanan kepada golongan sasar yang memerlukan. Selaku agensi dipertanggungjawabkan menguruskan bantuan makanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dibantu beberapa agensi kerajaan seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam pengagihan makanan.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut diberi peluang mengambil kira kelebihan mereka dapat mengenal pasti kumpulan sasar dalam persekitaran masing-masing.

Kerjasama ditunjukkan menggambarkan kepercayaan kerajaan kepada kuasa sinergi yang wujud semasa proses perkhidmatan diberikan. Permuafakatan bukan sahaja berlaku dalam kalangan pelbagai sektor kerajaan, malah syarikat swasta dan NGO serta kumpulan individu berkepentingan dalam memberi pelbagai jenis sumbangan.

Sinergi ditonjolkan ini membantu tahap kecekapan kerajaan dengan prestasi memuaskan tanpa meningkatkan sumber.

Justeru, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga 9 Jun ini, sinergi sosial akan terus disemarakkan.

Dalam satu kenyataan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), dunia kini berhadapan urusan di luar kebiasaan yang memerlukan intervensi bersifat kolektif dengan memberi keutamaan kepada perkhidmatan mementingkan kebajikan seluruh rakyat. Maka pendekatan menggabungkan pelbagai kaedah harus dimanfaatkan.

Gelombang sinergi dilihat subur di negara luar seperti United Kingdom. Jumlah mereka yang menawarkan khidmat meningkat dua kali ganda berbanding disasarkan kerajaan.

Di New Zealand pula, khidmat sukarelawan daripada komuniti dimanfaatkan bagi penghantaran makanan atau 'Meals on Wheels'. Malah agensi terbabit sanggup berkongsi khidmat sukarelawan masing-masing.

Falsafah di sebalik PKP perlu betul-betul difahami bahawa sepanjang waktu itu segala urusan dikendalikan sepenuhnya kerajaan. Masyarakat pula perlu menjaga diri masing-masing bagi membendung penularan wabak dan memutuskan rantaian COVID-19.

Pembabitan NGO dalam krisis wabak amat dititikberatkan kerajaan. Nyawa dan kesihatan anggota NGO atau mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan turut menjadi tanggungjawab kerajaan sebagaimana anggota masyarakat lain.

Apatah lagi kesanggupan dan pengorbanan dizahirkan ini boleh dianggap aset negara yang amat bernilai apabila tiba saat diperlukan kelak.

Sehubungan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) baru-baru ini mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) kepada NGO berminat untuk bersama-sama petugas barisan hadapan membantu menyalurkan sumbangan kepada yang memerlukan sepanjang tempoh PKP.

Ia mengambil kira arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, bagi memastikan keselamatan semua pihak terjaga.

Garis panduan ini antara inisiatif 'menang-menang' bagi kerajaan memanfaatkan sinergi pelbagai pihak dalam memerangi wabak COVID-19.

Namun pihak yang ingin menghulur sumbangan dan bantuan perlu memahami had dan limitasi serta syarat ditetapkan.

Memelihara keselamatan diri sambil menyumbang dengan menyalurkannya dengan cara yang betul juga adalah sinergi sosial yang paling baik pada waktu ini agar semua pihak dapat bersama-sama memerangi wabak COVID-19 ini.

Penulis adalah Pengarah Institut Sosial Malaysia

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X