Jumaat, 22 Mei 2020 | 11:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Kepentingan ilmu falak dalam ibadat

WAKTU solat Subuh membabitkan dua ibadat besar umat Islam, iaitu kewajipan menunaikan solat dan puasa.

Bermula 1 Ramadan lalu, seluruh negeri di Malaysia menggunakan parameter nilai ketinggian matahari yang seragam dalam hitungan waktu solat Subuh, iaitu 18 darjah di bawah ufuk.

Menerusi ilmu falak, nilai jarak matahari dari zenith salah satu parameter sangat penting dalam hitungan waktu solat, selain deklinasi matahari dan kedudukan geografi sebuah tempat, iaitu latitud dan longitud.

Bagi waktu solat lain, iaitu Zuhur, Asar dan Maghrib tidak sukar ditentukan nilai jarak matahari dari zenith yang masih kelihatan dan bayang-bayangnya boleh diukur serta dihitung. Namun, bagi waktu Isyak dan Subuh kedudukan matahari di bawah ufuk.

Meskipun begitu, nilai kedudukan matahari di bawah ufuk untuk hilangnya mega merah di langit sebagai permulaan waktu solat Isyak lebih mudah ditentukan berbanding menentukan nilai ketinggian matahari di bawah ufuk bagi terbitnya fajar sadiq untuk permulaan waktu solat Subuh.

Lantaran kesukaran ini menyebabkan adanya perbezaan parameter digunakan berdasarkan ilmu dan ijtihad masing-masing.

Sebelum ini, ada perbezaan parameter nilai ketinggian matahari di bawah ufuk digunakan di Malaysia untuk permulaan bagi waktu solat Subuh adalah 20 darjah di bawah ufuk kecuali di Kelantan, 19 darjah di bawah ufuk.

Meskipun perbezaan hanya 1 darjah, kesannya apabila ditukar kepada nilai waktu adalah besar, iaitu sebanyak empat minit.

Hasil penyelidikan menunjukkan perbezaan nilai digunakan ini bersumberkan ijtihad dua tokoh besar falak di negara kita. Nilai ketinggian matahari bagi permulaan waktu solat Subuh pada 20 darjah di bawah ufuk yang diguna pakai negeri di seluruh Malaysia bersumberkan Kitab Pati Kiraan Pada Menentukan Waktu Yang Lima dan Hala Kiblat Dengan Logaritma yang dikarang Sheikh Tahir Jalaluddin pada 1938.

Sementara nilai ketinggian matahari di bawah ufuk bagi permulaan waktu solat Subuh pada 19 darjah yang diguna pakai Kelantan bersumberkan Kitab Pilihan Mustika oleh Tuan Guru Haji Muhammad Nur pada 1931.

Bagaimanapun, bermula pengumuman dibuat pihak berkuasa agama di Selangor pada 28 November 2019 dan diikuti negeri lain seluruh Malaysia, mengubah ketetapan untuk mengguna pakai parameter nilai ketinggian matahari yang baharu, iaitu 18 darjah di bawah ufuk untuk hitungan waktu solat Subuh.

Maka, waktu solat Subuh di semua negeri di Malaysia mengalami secara purata tambahan lapan minit berbanding sebelum ini, kecuali Kelantan hanya empat minit.

Perubahan ini hasil penelitian cukup lama oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jabatan mufti negeri dengan kerjasama penyelidik dalam bidang ilmu falak untuk memastikan keseragaman parameter digunakan dalam hitungan waktu solat Subuh pada takwim waktu solat di Malaysia.

Ia untuk meyakinkan umat Islam di negara ini dalam menunaikan ibadat solat dan puasa. Bertitik tolak perubahan ini juga meningkatkan kesedaran dalam kalangan umat Islam terhadap kepentingan ilmu falak yang menjelaskan konsep penentuan awal waktu solat dari sudut syariah dan astronomi.

Apa perlu kita ketahui adalah hampir semua negara Islam di dunia menggunakan parameter ketinggian matahari 18 darjah di bawah ufuk untuk hitungan bagi permulaan waktu solat Subuh.

Antaranya Jordan, Palestin, Kuwait, Oman, Bahrain, Qatar, Iraq, Yaman, Sudan, Tunisia, Algeria, Turki. Manakala negara seperti Mesir menggunakan nilai 19.5 darjah, Maghribi 19 darjah dan Arab Saudi pula 18.5 darjah ketinggian matahari di bawah ufuk.

The Islamic Society of North America (ISNA) membuat perubahan pada akhir 2011 pada parameter nilai ketinggian matahari di bawah ufuk bagi waktu solat Subuh kepada 17.5 darjah berbanding nilai 15 darjah digunakan sebelum ini.

Meskipun begitu, negara serantau seperti Indonesia, Singapura dan Brunei masih menggunakan nilai parameter kedudukan matahari 20 darjah di bawah ufuk.

Pensyarah Kanan Program Astronomi Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Berita Harian X