Sabtu, 23 Mei 2020 | 11:00am
FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.

Pelabur perlu waspada nilai pasaran pasca wabak

PELONGGARAN kuantitatif yang diamalkan negara maju, terutamanya Amerika Syarikat (AS) sejak 2008 kembali menjadi isu hangat tahun ini susulan Rizab Persekutuan AS (FED) dan Bank Pusat Eropah mengumumkan akan terus membeli bon daripada pasaran kewangan.

Pelonggaran kuantitatif yang dipraktikkan ini dilihat sebagai langkah untuk merangsang ekonomi yang mengalami kemelesetan akibat COVID-19. Ia membabitkan penurunan kadar faedah atau pembelian balik bon secara besar-besaran dengan tujuan untuk menyalurkan dana ke pasaran kewangan.

Pandemik COVID-19 memberi kesan yang buruk kepada pertumbuhan ekonomi dunia akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan segala aktiviti perniagaan dan perusahaan.

Di negara ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan penurunan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas pada awal Mei. Ini menjadikan kadar OPR berada pada 2 peratus, paras paling rendah pernah direkodkan sebelum ini.

Penurunan OPR dapat menyokong persekitaran monetari yang akomodatif, justeru mampu merangsang aktiviti ekonomi yang semakin perlahan.

Namun, pelonggaran kuantitatif yang membawa kecairan mendadak ke pasaran kewangan bakal menjejaskan nilai mata wang dan memberi tekanan kepada kenaikan inflasi.

Dalam keadaan kejatuhan nilai mata wang dan ancaman kenaikan inflasi, modal dan aset yang dipegang pelabur bakal mengalami kemerosotan nilai.

Justeru, pelabur perlu peka dengan apa yang boleh mereka lakukan dalam keadaan ketidakpastian ekonomi pasca pelonggaran kuantitatif.

Pertama, pelabur boleh mempertimbangkan untuk melabur dalam aset komoditi seperti emas yang mampu melindungi nilai wang daripada ancaman kenaikan inflasi.

Sebagai pelindung inflasi, emas mampu melindungi pelabur daripada penurunan daya beli walaupun tidak menawarkan pendapatan dalam bentuk kadar faedah.

Selain itu, pelabur yang berminat boleh memilih untuk melabur di syarikat yang stabil di pasaran saham. Memandangkan pelaburan di pasaran saham amat berisiko, pelabur harus lebih berhati-hati sebelum membuat keputusan.

Walaupun pasaran saham mengalami peningkatan aliran sejak akhir ini, perlu diingatkan dunia masih dibelenggu kesan COVID-19 dan isu lain seperti penurunan harga minyak mentah dan perang dagang antara AS dan China.

Maka, pelabur dinasihatkan untuk melabur dalam saham cip biru yang mempunyai rekod prestasi kukuh dan menjanjikan pertumbuhan jangka panjang.

Pelabur yang mempunyai dana mencukupi boleh mempertimbangkan untuk melabur di harta tanah yang berpotensi memandangkan beberapa pakej menarik ditawarkan pemaju perumahan untuk mempromosikan harta tanah masing-masing.

Antara lain, diskaun atas pembelian rumah, pemberian percuma perkakas dan peralatan elektrik rumah, bayaran guaman dan duti setem yang percuma dan paling penting adalah kos pinjaman yang menurun akibat penurunan OPR.

Namun, pelabur masih perlu memberi perhatian kepada perkara seperti lokasi perumahan dan kebolehpercayaan pemaju perumahan.

Akhirnya, pelonggaran kuantitatif membawa pelbagai ketidakpastian ke pasaran kewangan. Pelabur harus mengimbangi impak pasca pelonggaran kuantitatif dengan mengambil langkah untuk mempelbagaikan kombinasi aset dalam portfolio masing-masing.

Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor

Berita Harian X