Selasa, 19 September 2017 | 10:28am
TUNKU Abdul Rahman ketika mencapai kemerdekaan. - Foto NSTP.

Menghayati tarikh keramat kemerdekaan

Ketua Lajnah Kajian Strategik Majlis Ittihad Ummah

Dakwaan bahawa Tanah Melayu terjajah melalui kejatuhan Kota Melaka pada tahun 1511 dan pelaksanaan doktrin nasihat seawal pengenalan Perjanjian Pangkor 1874 mudah diketepikan.

Ini kerana kedaulatan Raja-Raja Melayu sudah disahkan dalam beberapa kes sebelum pendudukan Jepun pada 1941, selain perbahasan yang dikemukakan dalam Kanun Melaka Perlembagaan Tanah Melayu (Berita Harian 25 Februari 2017), Takrifan Kedaulatan Negara (Berita Harian 5 Julai 2017) dan Perkara 181(1) Perkukuh Kedaulatan Raja (Berita Harian 13 Julai 2017).

Malah, pendudukan Jepun itu sendiri tidak melucutkan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebaliknya merampas kedudukan British dalam hal-ehwal Tanah Melayu. Ramai dalam kalangan warga Malaysia percaya bahawa Tanah Melayu terjajah apabila sembilan Raja-Raja Melayu menandatangani perjanjian dengan Sir Harold MacMichael pada 1945 ('Perjanjian MacMichael').

Justeru Hari Kebangsaan diraikan sejak 1957 itu dianggap tarikh keramat kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan British, walaupun dalam laporan British-Malaya dan banyak kajian lalu, menunjukkan pendudukan British itu hanya bersifat satu campur tangan.

Menurut Porter dan Stockwell (1987-89), Perjanjian MacMichael itu dilaksanakan hasil rundingan semula dasar British bagi Tanah Melayu bermula seawal 1942.

Dasar sebelum Perang Dunia Kedua dilihat menyulitkan British untuk mengukuhkan pertahanan luar dan menyatukan penduduk Tanah Melayu yang tidak lagi didiami oleh orang Melayu sahaja. Justeru, Malayan Planning Unit ditubuhkan untuk merangka sebuah perlembagaan masa depan bagi Tanah Melayu yang menimbangkan pelbagai pandangan berbeza daripada pegawai British-Malaya.

Bidang kuasa British adalah terhad

Akhirnya, pada 31 Mei 1944, dasar baharu British bagi Tanah Melayu diluluskan dan Harold Mac Michael dilantik pada akhir 1944 untuk melaksanakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu.

Rundingan itu berjaya mendapatkan bidang kuasa terhad British daripada Raja-Raja Melayu bagi membolehkan British menggubal sebuah perlembagaan Tanah Melayu melalui paksaan Harold Mac Michael yang berunsur ugutan.

Matlamat utama Perjanjian Mac Michael yang menjadi punca kuasa kepada British dalam hal ehwal Tanah Melayu terkandung dalam perjanjian 'preamble' itu sendiri, iaitu, Whereas it is expedient to provide for the constitutional development of the Malay States under the protection of His Majesty and for the future government of the State. Ia jelas tidak menyentuh kedaulatan Raja-Raja Melayu kerana status 'Negeri-negeri Melayu di bawah perlindungan British' masih kekal.

Kerajaan British, shall have full power and jurisdiction within the State dalam ruang lingkup yang dinyatakan oleh perjanjian 'preamble' MacMichael.

Keperluan itu timbul kerana Kerajaan British mendapati perjanjian yang lalu dengan Raja-Raja Melayu tidak pernah memberi bidang kuasa kepada pihak British dalam hal ehwal kerajaan-kerajaan Melayu seperti terkandung dalam Plans for Constitutional Reconstruction in the Far East 1943.

Tidak serah kedaulatan kepada kerajaan bukan Islam

Kenyataan-kenyataan di atas secara tuntas menafikan berlakunya penjajahan implikasi daripada pengenalan doktrin nasihat bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874.

Selain itu, Perjanjian MacMichael itu tidak memberi sebarang kesan kepada kedaulatan Raja-Raja Melayu atas sebab berikut:

Perjanjian MacMichael itu tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan kerajaan-kerajaan Melayu yang menetapkan Raja-Raja Melayu sebagai pemegang amanah kedaulatan milik Allah SWT.

Justeru, baginda-baginda ditegah dan tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyerahkan kedaulatan kepada kerajaan bukan Islam, atau secara alternatifnya orang bukan Islam.

Perjanjian MacMichael itu tidak sah kerana terdapat unsur-unsur paksaan (duress).

Perjanjian MacMichael ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu, sebahagian mereka tanpa kelulusan pembesar kerajaan-kerajaan Melayu yang dipanggil sebagai 'ahlul hilli wal 'aqdi.'

Bahkan, dari sudut bentuk kerajaan Malayan Union itu sendiri, ia didapati bercanggah dengan Perjanjian MacMichael.

'Preamble' Perjanjian MacMichael adalah asas persetujuan antara Raja-Raja Melayu dengan Raja England untuk menggubal sebuah perlembagaan moden bagi persekutuan kerajaan-kerajaan Melayu secara interim (sementara) di bawah perlindungan British sehingga bebas sepenuhnya daripada nasihat British tanpa melucutkan kedaulatan raja-raja di dalam negeri baginda.

Susulan daripada Perjanjian MacMichael, maka pentadbiran Malayan Union diisytiharkan pada 1 April 1946.

Oleh kerana Malayan Union dilihat oleh orang Melayu sebagai satu bentuk pemerintahan baharu yang melucutkan kuasa raja-raja dan menggugat hak keistimewaan orang Melayu, maka bantahan besar-besaran di seluruh Tanah Melayu dibuat sehinggalah Malayan Union dibatalkan.

Malayan Union ditentang oleh raja-raja dan orang Melayu kerana bentuk kerajaan Malayan Union yang diluluskan oleh Parlimen British adalah bercanggah dengan perjanjian tempatan dengan pihak British.

Perjanjian MacMichael juga disifatkan sendiri oleh sebahagian bekas pegawai-pegawai tinggi British-Malaya di Tanah Melayu sebagai memperkecilkan kedudukan istimewa orang Melayu yang sekian lama dilindungi sebelum tercetusnya peperangan.

Atas fakta sejarah perundangan Tanah air, kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 sewajarnya dihayati dan dirakam sebagai kelahiran sebuah Persekutuan Tanah Melayu yang bebas daripada campur tangan British-Malaya.

Berita Harian X