Isnin, 2 Julai 2018 | 7:06am

Syor gubal akta gangguan seksual pekerja wanita

PEMBABITAN wanita dalam sektor pekerjaan negara meningkat daripada 5.72 juta pada suku kedua 2017 kepada 5.76 juta pada suku ketiga tahun sama seperti statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja di Malaysia adalah 54.3 peratus pada tahun sebelumnya dan aliran terkini, kadar ini akan semakin meningkat dari setahun ke setahun.

Peningkatan pembabitan wanita dalam sektor pekerjaan memerlukan perhatian serius pimpinan dan pembuat dasar, terutama sejak akhir-akhir ini yang mana ada aduan diskriminasi dan gangguan seksual terhadap wanita di tempat kerja.

Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) menjalankan kajian enam bulan mengenai amalan diskriminasi dan gangguan seksual terhadap wanita bekerja di Malaysia.

Kajian membabitkan 402 responden berumur antara 18 hingga 59 tahun dari semua negeri di Semenanjung. Ia dijalankan WAFIQ dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dibiayai geran penyelidikan 'Centre for Human Rights Research & Advocacy' (CENTHRA).

Ia juga disokong tiga pertubuhan wanita, kesihatan dan belia, iaitu Wanita ISMA, Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) serta Pertubuhan Belia Nasional. Keputusan kajian, tahap diskriminasi agama agak membimbangkan.

Seorang daripada setiap lima wanita mengaku pernah didiskriminasi dari sudut agama termasuk sukar mendapat kebenaran menunaikan solat, kekurangan atau tiada ruang solat dan tidak dibenar bertudung ketika bekerja.

Seperti dijangkakan, peratusan wanita didiskriminasi dari sudut agama lebih tinggi dalam kalangan majikan berlainan agama.

Diskriminasi wanita

Namun, dalam kes penyediaan ruang solat, hatta majikan yang mempunyai agama sama juga didapati mendiskriminasi wanita apabila gagal menyediakan ruang solat khas bagi wanita, sebaliknya berpada dengan ruang solat lelaki yang agak terbuka.

Kajian mendapati, 14 peratus wanita berasa mereka dinafikan kenaikan pangkat kerana identiti agama, sama ada majikan daripada agama sama atau berlainan.

Kajian juga mendapati 5.9 peratus wanita bekerja dengan majikan berlainan agama meninggalkan kerjaya kerana identiti beragama, manakala tiga peratus wanita bekerja dengan majikan sama agama, berbuat demikian.

Seramai 5.7 peratus responden dari semua sektor kerjaya melaporkan mereka dihalang bertudung. Daripada jumlah ini, 60.9 peratus adalah dari sektor swasta.

Apabila analisis dilakukan mengikut sektor pekerjaan, 36 peratus wanita dihalang berhijab adalah dari sektor pendidikan, sektor perhotelan dan hospitaliti (27 peratus), sektor perniagaan (18 peratus), sektor kesihatan (5 peratus) dan pelbagai pekerjaan lain (14 peratus).

Kajian WAFIQ juga menunjukkan gangguan seksual meningkat. Dalam menilai gangguan ini, responden ditanya kejadian mereka menyaksikan gangguan seksual dihadapi orang lain di tempat kerja dan sama ada mereka pernah alami nasib sama.

Keputusan kajian menunjukkan 43.9 peratus pernah melihat kejadian gangguan seksual dalam bentuk konotasi (bayangan perkataan), pandangan, gerak tubuh atau komen di tempat kerja.

Sebanyak 33.7 peratus lagi mendakwa pernah mengalami gangguan seksual dalam bentuk konotasi (bayangan perkataan), pandangan, gerak tubuh atau komen.

Bagi gangguan seksual berbentuk sentuhan fizikal, seramai 39.8 peratus responden pernah melihat gangguan seksual dalam bentuk sentuhan badan yang sengaja dan tidak disenangi berlaku ke atas orang lain di tempat kerja.

Sebanyak 32.6 peratus pula pernah mengalami gangguan seksual dalam bentuk sentuhan badan yang sengaja dan tidak disenangi. Dalam kalangan mereka yang mengalami gangguan seksual ini, 73.2 peratus mengaku mengalaminya lebih daripada sekali.

Majoriti responden iaitu seramai 57.1 peratus tidak membuat aduan rasmi dengan alasan tidak berasakan sebarang tindakan akan diambil (46.7 peratus), tidak tahu cara melaporkan (13.3 peratus), takut membuat aduan (13.3 peratus), takut mendapat malu (11.1 peratus) dan sebahagian kecil tidak kisah dengan gangguan terbabit (4.4 peratus).

Pelaku gangguan seksual dalam kajian ini terdiri daripada rakan sekerja (50 peratus), diikuti pelanggan (28 peratus), pekerja bawahan (11 peratus), majikan/penyelia (7 peratus) dan lain-lain (4 peratus).

Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) amat khuatir dengan keputusan kajian itu dan menggesa tindakan segera diambil bagi menangani masalah ini.

Adalah sesuatu menggusarkan pada alaf ini, diskriminasi agama masih berlaku terhadap wanita.

Dalam menangani isu ini, MACSA mencadangkan diwujudkan Akta Kesamarataan berpandukan nilai dan norma tempatan dengan mengutamakan sensitiviti agama dan budaya masyarakat Malaysia.

Dalam kes gangguan seksual, kebanyakan wanita dalam kajian ini tidak membuat aduan rasmi kerana mereka tidak yakin mekanisma sedia ada berkesan dalam menyelesaikan kemelut yang dihadapi.

Gangguan seksual

Pada masa ini, wanita mengalami gangguan seksual boleh membuat aduan kepada majikan atau Jabatan Buruh. Mereka juga boleh melaporkan kepada polis untuk memulakan siasatan kepada pelaku mengikut Kanun Keseksaan.

Kebanyakan kes gangguan seksual di tempat kerja biasanya ditangani mengikut Akta Hubungan Industri 1967 yang hanya membabitkan ganti rugi, buang kerja bagi pelaku atau menawarkan kerja kembali kepada mangsa.

Pada 2012, Akta Pekerjaan 1955 telah dipinda dengan memasukkan peruntukan baharu mendefinisikan gangguan seksual.

Satu peruntukan baharu 81B mengikut pindaan akta itu mewajibkan majikan mewujudkan prosedur menangani aduan gangguan seksual dan menyiasat lebih lanjut.

Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan majikan didenda tidak lebih RM10,000. Namun, akta sedia ada dan kod amalan ini tidak cukup dalam menangani isu gangguan seksual.

Ketiadaan undang-undang khusus seperti Akta Gangguan Seksual menyebabkan mahkamah tidak dapat membincangkan isu seperti apakah takrifan gangguan seksual sebenar serta bukti pendakwaan bagi menangani isu ini dengan lebih berkesan.

Peruntukan mengikut akta spesifik adalah penting kerana berdasarkan kajian dibentangkan, ada banyak gangguan tidak dilaporkan kerana mangsa mungkin tidak tahu gangguan adalah satu bentuk gangguan seksual.

Mereka juga mungkin tidak tahu hak dan gagal menyediakan bukti diperlukan bagi mensabitkan pelaku dengan kesalahan.

Justeru, enakmen perundangan khusus diyakini dapat mengurangkan gangguan seksual terhadap wanita di tempat kerja.

Kesan dan impak kedua-dua diskriminasi agama dan gangguan seksual ke atas wanita sebagai tenaga kerja negara adalah serius dan boleh mendatangkan keresahan dan tekanan fizikal dan psikologi ke atas pekerja.

Ia boleh menimbulkan ketegangan di tempat kerja, sekali gus mengurangkan produktiviti dan ekonomi negara. Jadi, adalah satu keperluan mendesak untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan kondusif bagi wanita.

MACSA menggesa pihak berkuasa bertindak tegas dari segi perundangan dalam menangani diskriminasi agama dan gangguan seksual ke atas wanita.

Berita Harian X