Rabu, 31 Oktober 2018 | 10:15am

Minda Pengarang: Memperkasa undang-undang syariah

CADANGAN untuk menyelaras dan menyeragamkan undang-undang syariah antara negeri bukan perkara baharu, sebaliknya sudah diperkatakan sejak 1997 lagi dan usaha itu dimulakan setahun kemudian, serentak tahun penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Malah, kerajaan terdahulu pada pertengahan 2005 berharap undang-undang syariah di antara negeri dapat diseragamkan menjelang akhir tahun berkenaan sekiranya semua kerajaan negeri bekerjasama penuh dengan JKSM untuk melaksanakannya.

Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri (JPM) ketika itu, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dilaporkan berkata, pada dasarnya semua negeri memiliki banyak persamaan dalam pelaksanaan undang-undang syariah kecuali isu teknikal yang perlu dikemas kini dan diselaraskan.

Ketika itu, lima negeri sudah menyeragamkan undang-undang syariah, iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Johor, membabitkan hal ehwal Pentadbiran Agama Islam, Keluarga Islam, Keterangan Mahkamah Syariah, Tatacara Mal Mahkamah Syariah dan Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah. Namun, selepas itu tidak lagi kedengaran berita mengenai perkembangan usaha berkenaan yang senyap begitu sahaja.

Dua belas tahun kemudian, Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Undang-Undang Syariah 2017 turut mengulangi cadangan sama dengan hasrat melihat semua bidang undang-undang syariah antara negeri dapat diseragamkan secepat mungkin. Mesyuarat jawatankuasa terbabit ketika itu secara dasarnya membincangkan tiga perkara, iaitu penyeragaman undang-undang syariah, sistem pewarisan harta serta pemerkasaan Mahkamah Syariah termasuk menaikkan taraf hierarkinya.

Kelmarin, selepas lebih setahun jawatankuasa itu bermesyuarat, Menteri di JPM, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof juga bercakap isu sama, memaklumkan Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil di bawah urusetia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan berbincang dengan negeri-negeri untuk tujuan berkenaan. Katanya, perbincangan bagi menyeragamkan undang-undang syariah antara negeri akan dibuat, antara lain melalui forum seperti Majlis Dialog Undang-Undang dan Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil.

Beliau juga dilaporkan berkata, undang-undang yang dicadang untuk diseragamkan kemudian akan dibentang pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapatkan persetujuan dan perkenan. Hakikatnya selepas kira-kira 20 tahun isu ini dibangkitkan, hasrat untuk melihat undang-undang syariah diseragamkan antara semua negeri masih belum terlaksana. Faktor utamanya adalah disebabkan bidang kuasa agama terletak di bawah Sultan atau Raja setiap negeri.

Seperti kata peribahasa Melayu, ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, tentunya cadangan penyeragaman itu boleh direalisasikan menerusi kerjasama dan kebijaksanaan semua pihak berkepentingan. Ia hanya boleh menjadi kenyataan jika masing-masing negeri memberi komitmen tinggi untuk melihat Mahkamah Syariah diiktiraf sebagai pusat rujukan dan landasan tepat bagi umat Islam menyelesaikan apa juga krisis berkaitan, selain menjadi platform terbaik menegakkan keadilan berlandaskan tuntutan agama.


PEMBANTU Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Uda Sulai (dua dari kanan) menyampaikan Surat Kebenaran Beramal kepada Peguam Syarie, Mohd Afifi Abd Taib (kiri) pada Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Mahkamah Syariah Negeri Sabah di Wisma MUIS, Kota Kinabalu, Isnin lalu. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

76 dibaca
Berita Harian X