Rabu, 12 Disember 2018 | 11:00am
- Foto Hiasan

ICERD gagal lindungi hak wanita Islam

DALAM perbincangan isu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), beberapa pihak cuba menjustifikasi kewajaran Malaysia berbuat demikian dengan menggunakan alasan, ICERD dapat menyelesaikan kemelut wanita Muslim yang tidak dibenarkan bertudung di sektor perhotelan dan penerbangan.

Kenyataan media Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) pada 31 Oktober lalu contohnya, menyatakan kepentingan Malay-sia menandatangani dan mengiktiraf ICERD sebagai saranan dan jalan penyelesaian untuk isu diskriminasi di tempat kerja yang dihadapi oleh ribuan wanita di Malaysia, terutama dalam industri perhotelan yang tidak membenarkan mereka mengenakan hijab ketika bekerja.

Sebagai agensi hak asasi manusia kebangsaan Malaysia, SUHAKAM melepaskan peluang keemasan apabila mereka gagal untuk mengetengahkan isu ini dalam laporan rasmi mereka kepada Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Hak Asasi Manusia di Malaysia (OHCHR) bagi semakan Penilaian Berkala Sejagat (UPR) kali ketiga untuk Malaysia pada Mac lalu.

Pilih kasih

Hal ini jelas memperlihatkan sikap pilih kasih SUHAKAM dalam mengadvokasikan isu ini pada peringkat antarabangsa.

Fakta bahawa SUHAKAM mengeksploitasikan isu ini bagi menyokong agenda ICERD di dalam negara, tetapi tidak berusaha mengetengahkan isu ini pada peringkat antarabangsa, sebenarnya memperlihatkan sikap tidak ikhlas SUHAKAM dalam memperjuangkan isu larangan berhijab bagi wanita Muslim.

Bagi memahami dengan lebih lanjut, kita masih ingat peristiwa pada 2014, apabila seorang guru berbangsa Cina dan beragama Islam telah dipaksa untuk menanggalkan tudungnya oleh Pengetua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (Nan Ya), Teluk Sengat, Johor.

Diskriminasi terhadap agama dalam kes ini, iaitu seorang guru berbangsa Cina didiskriminasi oleh guru sebangsa dengan beliau, menggambarkan bahawa ICERD bukan instrumen menyelesaikan masalah ini, memandangkan definisi diskriminasi dalam konvensyen ICERD hanyalah meliputi diskriminasi berasaskan kaum, warna, keturunan, bangsa atau asal etnik.

Begitu juga, Singapura yang telah menandatangani ICERD masih menguatkuasakan larangan bertudung bagi kakitangan Muslimah dalam sektor beruniform seperti jururawat di hospital dan di guru sekolah.

Bertegas dengan majikan

Oleh yang demikian, saya percaya bahawa isu yang berbaur Islamofobia ini harus diselesaikan melalui undang-undang negara yang sedia ada tanpa perlu mengiktiraf sebuah konvensyen yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kita mempunyai beberapa akta yang memerlukan pindaan serta pengukuhan seperti Akta Kerja 1955, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Bahagian 4 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia.

Apa yang perlu hanya kerajaan bertegas dengan majikan untuk memastikan kebebasan beragama bagi pekerja dilindungi oleh undang-undang. Malaysia juga boleh menggubal Akta Kesamarataan Jantina yang selari dengan undang-undang negara, selain mengambil kira sensitiviti kaum dan masyarakat di Malaysia dalam isu diskriminasi terhadap jantina.

Oleh itu, saya bersama ketegasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan Malaysia tidak akan meratifikasi ICERD. Isu diskriminasi wanita di tempat kerja boleh diselesaikan tanpa keperluan untuk mengiktiraf ICERD.

Isu larangan berhijab ialah isu kompleks yang tidak sepatutnya dicampuradukkan dengan percaturan politik ke arah pengiktirafan sebuah lagi konvensyen, sedangkan pengiktirafan konvesnyen terdahulu seperti Konvensyen Berkaitan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) serta undang-undang sedia ada masih gagal melindungi wanita.

Kita memerlukan kesungguhan politik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Sumber Manusia dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menggembleng tenaga memberi hak Muslimah bertudung di tempat kerja.

Penulis adalah Presiden, Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) & Pengerusi Bersama, Gabungan Organisasi Masyarakat Sivil Dalam Proses Semakan Sejagat (MACSA)

Berita Harian X