Ahad, 30 Disember 2018 | 11:00am

BERSATU perlu perjelas agenda Melayu, Islam

Tanggapan ‘UMNO ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan BERSATU ialah UMNO’ masih kuat kedengaran dalam kalangan orang Melayu. Cakap-cakap ini bukan saja berlegar di telinga ahli dan penyokong UMNO, malah dalam kumpulan BERSATU sendiri.

Di akar umbi, kalangan pemimpin juga galak berkempen partinya pengganti kepada UMNO serta membawa hala tuju perjuangan menyerupai parti Melayu terbesar itu. Mesej ini terus didendangkan kepada orang Melayu, sama ada di bandar, desa mahupun kawasan pedalaman.

Meneliti perlembagaan parti, tidak banyak bezanya dari segi ideologi perjuangan kedua-dua parti ini. Hanya satu atau dua perkara saja yang meletakkan jurang antara UMNO dengan BERSATU.

Pertama, berkenaan masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak dan kedua, mengenai usaha melawan rasuah serta penyelewengan. Dua perkara ini yang dijelaskan dalam perlembagaan BERSATU, namun tidak dalam UMNO.

Cumanya, hari ini UMNO yang sudah memimpin negara sejak 60 tahun lalu, buat julung kalinya berada di blok pembangkang, sementara BERSATU membentuk Kerajaan Persekutuan bersama-sama Pakatan Harapan (PH) sebagai parti ketiga terbesar kerajaan PH di belakang PKR dan DAP.

Sandaran Melayu

Justeru, orang Melayu kini meletakkan sandaran cukup tinggi kepada BERSATU untuk memastikan agenda Melayu, Bumiputera dan Islam terus dipertahan dalam kerajaan. Perkara dalam Perlembagaan yang menyentuh mengenai Institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, mesti dikekal tanpa diganggu gugat.

Bagi memastikan semua ini dipertahankan, sebarang tindakan, pengukuhan dan pengenalan dasar kerajaan harus menjurus ke arah itu.

Kini, masyarakat Melayu dan Bumiputera mewakili hingga 70 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia, manakala orang Cina kira-kira 23 peratus dan India (tujuh peratus).

Menyoroti sejarah, dasar pengukuhan Melayu wujud sejak era pemerintahan British, namun dijadikan sebagai langkah rasmi menerusi Dasar Ekonomi Baharu (DEB) pada 1971 yang dilancarkan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Sorotan sejarah juga menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini memimpin BERSATU antara pemimpin utama yang lantang memperjuangkan dasar untuk membantu golongan Melayu sepanjang 22 tahun menerajui tampuk pemerintahan negara, dengan gagasan terakhirnya Wawasan 2020.

Persaingan ekonomi

Sebaik saja mengambil alih kembali tampuk pentadbiran kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu, Dr Mahathir terus menunjukkan ketegasannya mengenai keperluan mengekalkan dasar untuk membantu orang Melayu sebagai usaha menangani persaingan dengan bangsa lebih kaya seperti Cina.

Beliau akui masih wujud ruang dalam beberapa aspek di negara ini yang memerlukan pelaksanaan dasar affirmative action atau tindakan pengukuhan.

“Kita sudah merapatkan jurang ketidaksaksamaan di antara Melayu dan Cina, namun ada segelintir aspek yang kerajaan masih perlu berikan ‘suntikan’ kepada masyarakat Melayu,” katanya dipetik menerusi satu temu bual dengan media asing, awal Jun lalu.

Bagi memenuhi matlamat ini, Pengerusi Biro Polisi dan Strategi BERSATU, Datuk Rais Hussin menegaskan, pemerkasaan agenda Bumiputera kini bukan hanya berfokus kepada pengenalan dasarnya semata-mata, sebaliknya meliputi segenap aspek pengukuhan dan bilangan penerima yang bermanfaat.

Beliau mempersoal begitu banyak dasar yang baik diperkenalkan kerajaan bagi memperkasa agenda Bumiputera, mengapa pembangunan Bumiputera masih tidak mencapai tahap dikehendaki sejak sekian lama.

“Kita nak perjuangkan agenda Melayu macam mana? Sebab dasar yang cukup baik, kita boleh tulis. Tapi pelaksanaan dasar inilah yang akan menentukan adakah perjuangan BERSATU ini lebih baik daripada UMNO,” katanya.

Agenda Kerajaan PH

Sebelum ini, parti politik memperjuang mengenai aspek berkenaan tetapi yang menikmati agenda Bumiputera hanyalah segelintir kecil yang beliau namakan sebagai ‘UMNO Putra’. Itupun katanya dalam ‘UMNO Putra’ mungkin sangat sedikit individu yang mendapat faedah.

Justeru, wadah Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU kali kedua yang membuka tirainya kelmarin, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, wajar menjadi jendela pembuka kepada pengukuhan sebenar agenda Melayu dan Bumiputera.

Biarpun dengan hanya 16 kerusi Parlimen di Dewan Rakyat ketika ini, BERSATU harus menampilkan iltizam mereka demi memastikan segala agenda ini dilaksana secara menyeluruh dan meresapi ke dalam dasar Kerajaan PH.

Penekanan mengenainya yang melangkaui pelbagai bidang seperti mengukuh pegangan ekonomi serta memperluas skim pendidikan dan sosial kepada Bumiputera, mesti lebih terarah lagi dalam setiap sesi perbahasan, termasuk di sayap Pemuda dan Srikandinya.

Isu semasa seperti kejadian serangan di kuil di Subang Jaya, yang mengakibatkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dan mengheret kepada ‘perbalahan’ di antara beberapa pemimpin dalam PH serta parti pembangkang di media massa, mesti diberi penjelasan secara tuntas.

Perdebatan terbuka di media berkaitan isu itu nyata meresahkan rakyat, terutama aspek keupayaan kerajaan hari dalam menyelesaikan pertikaian dalaman. Ya, kritikan satu elemen subur dalam proses demokrasi, namun menuding jari sesama sendiri, dilihat berupaya menggugat kestabilan politik kerajaan.

Malah, pemerhati politik mahu melihat isu kemasukan ramai pemimpin UMNO, termasuk kumpulan veterannya ke dalam BERSATU sama ada untuk mencapai matlamat dalam mengukuhkan BERSATU sebagai sebuah parti yang membela Melayu dan Islam, atau bertujuan memenuhi agenda politik tertentu.

Jika mengambil kira ketegasan disuarakan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa partinya bukan kem pelarian bagi pemimpin UMNO, kenyataan presiden ini mesti didukungi satu sokongan yang kuat dalam kalangan pemimpin dan penggerak parti.

Apa yang diharapkan, Perhimpunan Agung Tahunan bersejarah ini menjadi ruang untuk BERSATU menetapkan pendirian jelasnya - ke mana mahu dibawa Melayu dan Bumiputera dalam era Malaysia baharu ini.

Berita Harian X