Rabu, 13 Februari 2019 | 11:01am

Banteras cetak rompak digital secara agresif

LEDAKAN teknologi hari ini membolehkan kita menikmati segala bentuk hiburan daripada muzik, filem, buku, majalah, akhbar sehingga siaran televisyen secara digital dalam talian.

Di sebalik celik teknologi maklumat (IT) dalam kalangan masyarakat kita, ramai yang terus melayari laman web yang menyediakan rakaman atau streaming secara haram, demi menikmati semua kandungan diinginkan tanpa had dan secara percuma.

Sama ada sedar atau tidak, realitinya cetak rompak digital dinikmati mereka itu salah di sisi undang-undang kerana membabitkan pelanggaran isu hak cipta dan harta intelek pemilik karya.

Lebih memburukkan keadaan, ia memberi keuntungan kepada penyedia laman web cetak rompak dengan menjana pendapatan hasil pungutan iklan berdasarkan jumlah pengunjung yang melayari halaman mereka.

Biarpun wujud penguatkuasaan undang-undang, cetak rompak digital tetap berleluasa apabila setiap hari laman web berkenaan dilawati ratusan juta kali.

Laporan MUSO pada 2017 menunjukkan halaman cetak rompak cukup popular apabila lebih 300 bilion kunjungan dicatatkan, meningkat sebanyak 1.6 peratus berbanding 2016.

Siri televisyen jadi mangsa utama

Berdasarkan data diperoleh MUSO, rancangan televisyen paling popular menjadi mangsa cetak rompak digital dengan 106.9 bilion kunjungan pada 2017, diikuti muzik (73.9 bilion) dan filem (53.2 bilion).

MUSO ialah syarikat teknologi global yang mengumpulkan data berbilion pelanggaran cetak rompak digital setiap hari meliputi 196 negara. Ia membantu syarikat hiburan dan pemilik harta intelek mendapatkan gambaran jelas mengenai situasi yang berlaku.

Statistik di Malaysia menunjukkan jumlah tontonan di lima laman web sah utama di Malaysia mencatatkan 21.9 juta tontonan, berbanding 71.4 juta tontonan di lima laman web haram.

Kegiatan cetak rompak digital diburukkan dengan kemajuan teknologi yang membolehkan akses internet mampu dicapai hanya menggunakan telefon bimbit, berbanding penggunaan komputer sebelum ini.

Tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif TV Media Prima Berhad (Media Prima), Johan Ishak, turut meluahkan kekesalan berikutan semakin bertambah laman web menyediakan kandungan video yang diceduk daripada rancangan televisyen tempatan, terutama drama bersiri milik rangkaian syarikat itu.

Beliau mendakwa tindakan platform lanun terbabit mengakibatkan kerugian kepada Media Prima dari segi pungutan iklan, selain turut merompak hasil kreatif dan harta intelek milik industri kreatif negara.

Industri perfileman negara berhadapan masalah cetak rompak digital apabila beberapa filem dilaporkan menjadi mangsa rakaman secara haram yang dimuat naik di media sosial secara langsung, sehingga menjejaskan kutipan.

Sepakat bentuk kerjasama

Bukan tidak ada undang-undang melindungi hasil kreatif dan harta intelek pemilik karya di negara ini, malah hukuman lima tahun penjara dan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 bagi kesalahan melakukan salinan cetak rompak di bawah Akta Hak Cipta 1987 dilihat sudah cukup berat.

Namun, itu semua belum cukup menyedarkan masyarakat terutama pengguna sendiri yang turut berisiko kerana peranti yang digunakan boleh ‘dijangkiti’ perisian jahat, selain terdedah kecurian data dan jenayah siber lain.

Sidang Kemuncak Kandungan Cetak Rompak Digital Malaysia 2019 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Putrajaya esok, diharap mampu mencari penyelesaian dalam menangani dan membanteras kegiatan lanun digital yang semakin berleluasa.

Pada peringkat antarabangsa, 30 nama besar yang juga pencipta kandungan digital dari seluruh dunia bergabung menubuhkan perikatan, Alliance for Creativity and Entertainment (ACE), bertujuan membentuk kerjasama dari segi penguatkuasaan undang-undang melindungi cetak rompak digital.

Kita mengharapkan usaha hampir sama, malah lebih serius dan agresif bagi melindungi pasaran hasil karya kreatif, sekali gus mengurangkan cetak rompak digital di negara ini.

Sekurang-kurangnya perlu ada kesepakatan dalam kalangan pemain industri sendiri supaya usaha dibuat tidak hanya membabitkan sebelah pihak, manakala pihak lain pula tidak menampakkan rasa tanggungjawab untuk menyelesaikan perkara ini.

190 dibaca
Berita Harian X