Ahad, 21 Julai 2019 | 11:00am
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas selesai sesi taklimat Anjakan Paradigma: Persepsi Rakyat Kepada Keadilan dan Kerajaan Malaysia pada Program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR Sesi 2018/2021 hari kedua di Lexis Hibiscus Port Dickson. - Foto Adzlan Sidek

Kena akur nasihat PM

Kepada pihak yang tidak sependapat dalam PKR, elok dengar baik-baik nasihat Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin iaitu supaya berhenti bertelagah dan berebut kuasa sehingga boleh menyebabkan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa.

Walaupun nasihat itu ditujukan kepada PH dan PKR, pihak lain juga perlu dengar, termasuk pegawai atasan di jabatan kerajaan kerana perebutan kuasa seperti mengintai untuk naik pangkat dalam jabatan kerajaan, wujud unsur sabotaj, pilih kasih dan sebagainya, demi kepentingan sendiri tetapi boleh merosakkan negara dan jabatan.

Cabaran pinda undi 18 tahun

Tahniah kepada semua Ahli Parlimen yang memberi sokongan penuh terhadap Pindaan Perlembagaan untuk menurunkan umur layak mengundi dan menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.

Tahniah juga kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bekerja keras meyakinkan banyak pihak termasuk menemui Ahli Parlimen pembangkang selain perbincangan awal pihak SPR dan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) diketuai Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bagi menjadikan reformasi pilihan raya ini, berjaya.

Selepas ini banyak perkara lagi perlu dilakukan SPR, Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terutama membabitkan pendaftaran automatik. Peringkat pelaksanaan inilah cabaran sebenar dan semua pihak perlu memberi kerjasama.

Usah diskriminasi ambil pekerja

Banyak sudah diperkatakan mengenai siswazah menganggur, termasuk isu lemah dalam bahasa Inggeris menyebabkan sukar mendapat kerja dan peluang pekerjaan semakin terhad dikatakan membantut usaha mereka.

Namun, satu lagi perkara yang perlu kerajaan Pakatan Harapan (PH) ambil perhatian ialah sikap majikan yang pilih kasih apabila membuat iklan jawatan kosong. Misalnya, pemohon mesti berpengalaman lima tahun, fasih berbahasa Mandarin dan sebagainya.

Perkara ini tidak adil untuk mereka yang mahu memulakan kerjaya, yang mahu menimba pengalaman bekerja. Kalau perlu pekerja berbahasa Mandarin, apa salah beri latihan dalam bahasa Mandarin begitu juga apabila lemah dalam bahasa Inggeris. Elakkan diskriminasi.

Berita Harian X