Selasa, 23 Julai 2019 | 11:00am

Usah sampai sungai 'putus asa' dengan kita

Generasi hari ini semakin tidak menghargai sungai. Berbeza dengan dahulu ketika sungai masih penting sebagai nadi kehidupan, fungsinya bukan setakat bekalkan sumber makanan, malah menjadi laluan utama perhubungan serta tumpuan segala bentuk aktiviti baik penempatan atau perdagangan.

Apa sudah jadi dengan generasi hari ini. Semakin hari semakin banyak sungai dicemari. Apakah sungai sudah hilang peranan dalam kehidupan manusia, sehingga fungsinya kini tidak ubah menjadi ‘tong sampah’ kepada dunia sekeliling? Ini harus segera dihenti sebelum sungai juga mula ‘berputus asa’ dengan sikap manusia yang zalim terhadap alam semesta.

Usaha harus digerakkan untuk memastikan sungai kembali segar bernafas. Bagi yang mendiami sepanjang sungai, golongan ini harus dididik agar tidak menjadikan sungai ‘tong sampah’ mereka. Sikap terhadap sungai perlu diperbetul. Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu bertegas dalam penguatkuasaan. Tidak salah jika komuniti tertentu diberi tanggungjawab bersama sebagai bapa angkat kepada sungai di kawasan masing-masing. Melaluinya tanggungjawab menjaga sungai dapat diagih. Gotong-royong secara berkala juga boleh dilakukan untuk membersihkan sungai.


Kolam takungan hiliran di Kampung Hang Tuah Bestari Jaya mengalami pencemaran ketika tinjauan Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari di kawasan tersebut, semalam. - Foto BERNAMA

Kita percaya fungsi sungai sebagai nadi kehidupan harus dikembalikan. Dengan ini mata dan minda generasi hari ini akan kembali melihat sungai sebagai elemen penting kehidupan, sekali gus memainkan peranan masing-masing untuk menentukan keseimbangan alam sekeliling.

Pastikan Taska di tempat kerja berkualiti

Percaya atau tidak, ramai sebenarnya ibu bapa mengikat perut setiap bulan, semata-mata memastikan anak masing-masing mendapat jagaan dan pendidikan awal terbaik. Dua perkara mendorong pemilihan pengasuh, pusat asuhan atau Taska dalam kalangan ibu bapa, iaitu faktor kos dan kualiti.

Bagi yang anak ramai, mereka tidak mampu membayar sehingga RM300 sebulan untuk kos jagaan seorang anak, lantas memilih menggunakan khidmat jiran atau kenalan sebagai pengasuh. Ibu bapa mengutamakan kualiti pula menghantar anak ke pusat asuhan swasta yang tinggi cajnya, walaupun majikan ada menyediakan kemudahan Taska di tempat kerja.

Pokok pangkalnya jalan penyelesaian harus dicari dan langkah menambah serta mempertingkat kemudahan Taska di jabatan kerajaan wajar disokong. Perlu ada kaedah mempertingkat kualiti servis Taska di jabatan kerajaan dengan kos dikenakan berpatutan serta mampu dibayar, agar ibu bapa kembali menghantar anak ke premis terbabit.

Kita tidak mahu ada lagi ibu bapa menghantar anak kepada pengasuh tidak berdaftar apatah lagi mengikat perut menghantar anak ke pusat asuhan mahal, hanya kerana kualiti Taska disediakan majikan menyedihkan. Majikan sektor swasta pun harus ambil inisiatif sama demi kebajikan pekerja. Sekurang-kurangnya jika tumpuan pekerja tidak lagi terganggu dengan masalah kewangan atau soal penjagaan anak, kualiti kerja serta hidup akan turut meningkat.

Berita Harian X