Rabu, 24 Julai 2019 | 11:12am

Tingkat kawalan aset air elak khianat

Gangguan bekalan air akibat pencemaran diesel di Sungai Selangor dianggap mimpi ngeri bagi lebih 1.6 juta pengguna terjejas. Namun, lebih mengejutkan apabila punca pencemaran yang menjejaskan lebih 1,000 kawasan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur itu didakwa disebabkan angkara khianat dan sabotaj.

Satu dakwaan cukup serius, hinggakan laporan polis dibuat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menggesa siasatan dilakukan terhadap kemungkinan wujud perbuatan sabotaj terhadap sumber bekalan air terbabit. Ini kerana, perbuatan sabotaj terhadap aset air bukan perkara kecil, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks keselamatan nasional.

Insiden pencemaran yang berlaku di kolam takungan hiliran Kampung Hang Tuah, Bestari Jaya, Kuala Selangor. - Foto ihsan Pejabat Menteri Besar Selangor

Kita percaya perbuatan khianat terhadap sumber air perlu dipandang serius. Lihat sahaja kes menimpa Sungai Selangor itu, berapa besar impaknya dan berapa ramai yang terjejas. Cuma kita sedikit bernasib baik dalam kes ini kerana pencemaran sekurang-kurangnya hanya membabitkan diesel. Bayangkan jika bahan beracun seperti sisa kimia yang ditumpahkan ke sungai berkenaan, berapa ramai penduduk akan menerima kesan termasuk mungkin turut membabitkan korban.

Berbalik kepada soal khianat, kita percaya aspek kawalan keselamatan ke atas sumber serta aset air perlu dipertingkatkan. Kes yang menimpa Sungai Selangor ini harus dipandang serius agar ia tidak lagi berulang. Kebimbangan kita bukan sekadar pada gangguan bekalan, tetapi lebih besar risaukan niat jahat pihak tertentu untuk khianat dan menganiaya.

Cari kaedah selamatkan Selat Johor

Persoalan sama ada Tambak Johor perlu dirobohkan bagi tujuan pemulihan semula Selat Johor yang diancam pencemaran kritikal, memerlukan ruang lingkup perbincangan sangat luas. Ini kerana kewujudan tambak sepanjang 1,056 meter itu, bukan sekadar membabitkan kepentingan Malaysia tetapi juga negara jiran iaitu Singapura.

Mengambil kira tahap pencemaran semakin kritikal, rasanya sudah sampai masanya cadangan itu dipertimbangkan. Isu air bertakung di Selat Johor disebabkan kewujudan tambak menghubungkan Johor Bahru di Malaysia dengan Woodlands di Singapura itu sekian lama mengundang keresahan, khususnya kepada tahap kesihatan di Johor.

Rasanya di pihak Malaysia pernah mencadangkan agar Tambak Johor diganti dengan jambatan untuk menyelesaikan masalah ini, namun persetujuan Singapura gagal diraih. Kita faham Singapura ada kebimbangan tersendiri jika senario di Selat Johor berubah, namun soal kelangsungan alam sekitar perlu juga diberi keutamaan.

Bagi Malaysia, kita tidak boleh hanya tunggu persetujuan Singapura semata-mata, sama ada untuk merobohkan Tambak Johor atau menggantikannya dengan jambatan untuk menyelamatkan selat yang tercemar. Perlu ada usaha alternatif digerakkan segera untuk mengurangkan impak pencemaran, yang pastinya tidak memerlukan persetujuan atau mengganggu kepentingan negara jiran itu.

Berita Harian X