Khamis, 25 Julai 2019 | 11:00am

'Bilis' atau 'jerung' jangan selektif

Penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pihak yang disyaki khianat dan mencemari Sungai Selangor wajar disokong. Kita setuju tindakan tegas harus diambil kepada pelaku, kerana jenayah yang dilakukan itu jelas membabitkan kepentingan awam.

Namun pada masa sama kita harap ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bersifat selektif. Jika kes di Sungai Selangor membabitkan kepentingan awam, apa pula takrifan terhadap insiden pencemaran yang tidak putus-putus berlaku di Pasir Gudang. Layakkah pelaku jenayah di Pasir Gudang juga dikenakan tindakan mengikut SOSMA?


Tinjauan pencemaran Sungai Selangor berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) iaitu LRA Sungai Selangor Fasa 2 dan 3 berikutan ada unsur pihak yang sabotaj dan mencemarkan Sungai Selangor. - Foto Zunnur Al Shafiq

Yang pasti, baik insiden di Sungai Selangor mahupun di Sungai Kim Kim, di Johor, kedua-duanya membabitkan kepentingan awam. Melupuskan sisa toksik ke dalam sungai sehingga merisikokan nyawa orang ramai juga berunsurkan khianat, seperti juga menumpahkan diesel sehingga mencemari sumber air penduduk. Kesan khianat di Pasir Gudang jelas lebih besar impak dan risiko, berbanding kes di Sungai Selangor.

Apa pun, kita sentiasa menyokong usaha dan pendirian PDRM yang tidak akan sekali-kali berkompromi dengan jenayah. Tidak kisahlah pelaku jenayah itu berstatus ‘bilis’ atau ‘jerung’, kita harap jangan ada unsur double standard atau pilih kasih dalam siasatan, tindakan atau pendakwaan.

Budaya berhutang perlu sihat

Budaya berhutang dalam kalangan orang kita perlu dilihat, mengambil kira hutang isi rumah di Malaysia masa kini yang dianggap tinggi pada kadar 82.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ia lebih tinggi berbanding pendapatan per kapita.

Agak pelik sikap sesetengah orang kita yang suka sangat meminjam, tetapi tidak gemar pula membayar balik. Lebih teruk ramai meminjam tanpa mengambil kira kemampuan masing-masing untuk membayar semula. Lihat apa berlaku terhadap Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tunggakan hutang peminjamnya mencecah RM40 bilion. Lebih 600,000 peminjam pula dilapor tidak pernah melunaskan walau sesen pinjaman masing-masing.

Kita percaya perlu ada usaha serius untuk mendidik masyarakat dengan budaya berhutang yang sihat. Didikan bukan sahaja mengenai kepentingan membayar hutang, tetapi lebih utama kesedaran awal mengenai amalan berhutang itu sendiri. Perlu diterap dalam minda jika tak perlu, janganlah berhutang. Begitu juga jika sedar diri sendiri tak mampu untuk membayar semula.

Kita sebenarnya khuatir kerana berapa peratus orang kita sebenarnya mampu menabung sekurang-kurangnya RM500 daripada gaji bulanan untuk keperluan masa hadapan. Yang banyak kita dengar, gaji bulanan hanya bertahan seminggu selepas ditolak semua komitmen bulanan, termasuk hutang seperti pembiayaan rumah, kereta dan kad kredit. Ini bukan budaya sihat. Jadi kita harap Akta Kredit Pengguna yang akan digubal kerajaan dapat disegerakan, supaya sasaran mewujudkan persekitaran kredit sihat berhasil demi kepentingan semua.

223 dibaca
Berita Harian X