Selasa, 30 Julai 2019 | 9:06am
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilantik Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Ke-16 berkuat kuasa 31 Januari lalu. Hari ini, baginda ditabal menduduki singgahsana Istana Negara. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Institusi Yang di-Pertuan Agong penawar mujarab

TAHUN 2019 mempunyai kepentingan tersendiri bagi negara mengamalkan sistem monarki.

Berlaku pertukaran di negara Matahari Terbit apabila Maharaja Akihito turun takhta dan diganti putera sulungnya, Maharaja Naruhito. Di negara Gajah Putih, Raja Maha Vajiralongkorn, ditabal menggantikan mendiang Raja Bhumibol Adulyadej.

Malaysia tidak terkecuali apabila Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilantik Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Ke-16 berkuat kuasa 31 Januari lalu. Hari ini, baginda ditabal menduduki singgahsana Istana Negara.

Sebelum merdeka, setiap negeri Tanah Melayu dinaungi Raja, Sultan atau Yang di-Pertuan Besar, kecuali Melaka dan Pulau Pinang, selepas terbentuk Malaysia, disusuli pula Sabah serta Sarawak.

Taat setia rakyat ketika itu tertumpu kepada Raja atau Sultan di negeri masing-masing. Pemencilan taat setia menyebabkan tiada tumpuan kesetiaan berpusat.

Jurutera sosial kemerdekaan dipelopori Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, merangka Perlembagaan merintis kepada kemerdekaan dengan mengambil konsep Persekutuan.

Melakukan reformasi dengan merekayasa konsep Raja Mutlak kepada Raja Berperlembagaan, lahirlah institusi Yang di-Pertuan Agong.

Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada British, dipersetujui semua pihak bahawa sistem pemerintahan Tanah Melayu adalah berkonsepkan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen melalui dua peringkat iaitu Persekutuan dan negeri.

Peringkat Persekutuan, ketua negara ialah YDPA, sementara ketua kerajaan Perdana Menteri.

Negeri pula diketuai Sultan, Raja, Yang di-Pertuan Besar atau Yang di-Pertua Negeri, manakala ketua kerajaan adalah Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Perlembagaan adalah sumber perundangan tertinggi. Sejajar konsep Persekutuan, tidak ada undang-undang lain boleh mengatasi Perlembagaan, hatta Parlimen sekalipun.

Perlembagaan Malaysia menetapkan YDPA sebagai ketua negara yang digilirkan dalam kalangan sembilan Raja-Raja Melayu yang dipilih melalui undian. Dalam konteks ini boleh dikatakan sebagai ‘pilihan raya diraja’ dikendalikan Majlis Raja-Raja.

Ini bermakna YDPA bersifat wakil kepada Raja-Raja Melayu daripada sembilan negeri yang mana terletaknya kedaulatan sebenar. Ia digabungkan dalam satu ikatan dinamakan Persekutuan.

Bagi negeri tidak beraja seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, selaku anggota dalam sebuah Persekutuan turut juga menerima kedaulatan YDPA melalui pelantikan Yang di-Pertua Negeri.

Yang di-Pertua Negeri menjadi ahli Majlis Raja-Raja, tetapi tidak boleh hadir dan mengambil bahagian dalam proses memilih YDPA.

Kedaulatan YDPA diperteguhkan apabila Rukun Negara yang menjadi falsafah nasional digubal, dengan meletak kedaulatan Raja sebagai prinsip kedua iaitu ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’.

Bukan itu sahaja, sebagai manifestasi kepada institusi terpenting dan ulung negara, institusi Raja-Raja dikanunkan sebagai Akta Parlimen [Akta 390]. Lagu kebangsaan iaitu Negaraku dimasukkan seni kata berikut, Rahmat bahagia, Tuhan Kurniakan, Raja kita selamat bertakhta.

YDPA bukan sekadar lambang keutuhan negara bangsa atau sebagai simbol semata-mata yang menjalankan tugas dan fungsi sebagai ketua negara yang berlunaskan nasihat Perdana Menteri.

Secara umum begitulah fahamannya, tetapi ia turut meliputi beberapa fungsi sebagai pelindung di bawah Perkara 153 yang dianggap ‘fasal terjamin’ kepada kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak.

Maka YDPA dan Majlis Raja-Raja mesti diperkenan terlebih dahulu sebelum pindaan ke atas Perkara 153 dilakukan.

Dari perspektif makro kehadiran Raja-Raja Melayu tidak ubah seperti penyemak dan pengimbang dalam demokrasi pemerintahan negara.

Baginda juga menaungi segala macam urusan pentadbiran negara, termasuk agama Islam, bahasa kebangsaan dan adat istiadat. Begitu juga urusan rasmi kerajaan melalui jabatan kerajaan bagi ketiga-tiga cabang iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman dilaksanakan atas nama baginda.

Perlembagaan juga mengangkat darjat dan martabat YDPA dengan meletak peranan cukup berat sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Ia berkait rapat aspek pertahanan dan kedaulatan negara.

Baginda juga diperuntukkan kuasa mengisytihar darurat bagi menjamin aspek ketenteraman awam negara.

Kebelakangan ini, peranan utama YDPA sebagai pendamai dan pengaman dalam meredakan situasi tegang, semakin jelas.

Sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) menyaksikan pergolakan politik tanah air yang menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat. Dalam konteks ini, rakyat melihat kepada YDPA dan Raja-Raja Melayu sebagai unsur pengaman.

Kebijaksanaan dan kearifan serta pengalaman menjadikan Baginda seorang pemerhati yang bijak dan cukup berhemah, serta bersederhana apabila menyampaikan titah nasihat kepada parti politik, kerajaan dan rakyat, tanpa mencampuri urusan pentadbiran seharian selaras dengan konsep Raja bertakhta tetapi tidak memerintah.

Keputusan PRU-14 tahun lalu mengejutkan banyak pihak dan menimbulkan keadaan tidak menentu dalam kalangan masyarakat, namun atas peranan dan kebijaksanaan YDPA, Malaysia berjaya melalui saat genting pertukaran kerajaan dalam keadaan aman dan lancar.

Dalam hubungan ini, institusi YDPA boleh dianggap penawar mujarab di kala memerlukan. Justeru institusi Raja Berperlembagaan yang bersifat lebih kekal yang memberikan kesinambungan kedaulatan, kestabilan dan perpaduan terus subur, walaupun berlaku pertukaran kerajaan.

Sesungguhnya peranan sedemikian yang dihasratkan Perlembagaan dimainkan YDPA dan Raja-Raja.

Sejak merdeka, Malaysia adalah salah sebuah negara berdaulat yang aman dan berupaya merealisasikan aspirasi Perlembagaan serta kehendak dan keperluan seluruh masyarakat yang sebati dengan kemajmukannya dalam banyak hal.

Kekuatan institusi beraja yang sememangnya diakui unik amat bergantung kepada persepsi rakyat serta individu khasnya pada era teknologi maklumat.

Yang teramat penting segala-galanya bergantung kepada kita yang arif membezakan antara personaliti Raja dengan institusi beraja. Justeru institusi beraja tidak wajar digugat.

Secara umumnya setiap rakyat negara ini tentu sekali bersyukur serta menghargai kemajuan dan tahap perpaduan dicapai Malaysia di bawah naungan pemerintahan YDPA.

Penulis adalah bekas Pengarah Kastam

Berita Harian X