Rabu, 31 Julai 2019 | 11:00am
Satu Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTACP) digubal dengan sasaran 1,000 harimau menjelang 2020. - Arkib NSTP

Melindungi harimau sebagai warganegara

KEMUNCULAN dua harimau di Kampung Besul di Dungun, Terengganu dan kematian seekor daripadanya, menarik perhatian besar rakyat negara ini.

Harimau mempunyai tempat istimewa dalam psikologi orang Melayu. Terdapat kisah mistik mengenainya.

Ahli antropologi kolonial, Walter William Skeat menulis perkara ini dalam bukunya, Malay Magic, yang diterbitkan pada 1900. Beliau juga menceritakan mengenai harimau jadian. Kisah mengenainya pernah dijadikan filem oleh P Ramlee dengan tajuk Si-Tora, Harimau Jadian pada 1964 dan disiarkan di televisyen Malaysia.

Kematian seekor daripada harimau Kampung Besul di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak selepas dikesan positif virus Canine Distemper menimbulkan reaksi besar dalam media sosial.

Harimau dinamakan Awang Besul ini dibahasakan seperti manusia. Antara kata itu adalah: ‘Awang meninggal dunia’ dan ‘Awang sudah tiada’.

Malaysia adalah negara tropika yang memiliki khazanah hutan hujan berharga bagi dunia. Kehadiran hidupan liar dalam hutan itu adalah suatu warisan bernyawa yang perlu dilindungi.

Mungkin sudah sampai masa haiwan di hutan setiap negara juga diberi taraf warganegara seperti manusia, walaupun pada kategori lain.

Tidak lama dahulu, robot bernama Sophia diberikan taraf warganegara Arab Saudi. Adalah wajar juga harimau diberi taraf warganegara yang mempunyai hak dan pembelaan.

Harimau diisytiharkan haiwan kebangsaan dan ia berada di kiri dan kanan jata negara. Ia juga menjadi lambang Rejimen Askar Melayu Diraja, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Filem Negara Malaysia, Maybank dan PROTON.

Antara tempat untuk melihat harimau liar adalah di Taman Negara, Kuala Tahan melalui program pelancongan. Namun, penulis diberitahu, kebanyakan pelancong adalah dari luar.

Penduduk Malaysia mempunyai hubungan rapat dengan hutan. Orang Asli sememangnya sebahagian daripada hutan. Namun, ramai rakyat negara ini juga tinggal di kampung di pinggiran hutan.

Kalau mereka tidak melihat harimau pun, dari semasa ke semasa akan kedengaran ngaumannya. Tetapi, tentu kini bunyi ngauman itu semakin jarang didengar.

Paling akhir harimau dilihat di kawasan yang dekat dengan Kuala Lumpur, tidak jauh dari Genting Highlands beberapa puluh tahun lalu. Ia dilihat sedang minum di sebuah lopak.

Apabila disebut harimau, rujukannya ialah pada spesies Panthera Tigris Jacksoni dengan Harimau Malaya sebagai subspesies yang berada di Semenanjung. Tidak ada harimau di pulau Borneo.

Harimau Sumatera berbeza daripada Harimau Malaya, tetapi serupa dengan harimau Jawa dan harimau Bali yang sudah lama pupus.

Harimau Malaya dari segi subspesies adalah serupa dengan harimau Benggala atau Bengal Tiger dan harimau di Thailand, Indochina serta China Selatan.

Pihak yang menamakan Harimau Malaya atau Malayan Tiger adalah pegawai kolonial British. Kali pertama mereka melihat harimau ketika menjajah di India, iaitu di Benggala, kini adalah Bangladesh dan West Bengal di India.

Apabila berjumpa harimau di Perak, mereka membezakannya dengan yang mereka lihat di India. Maka di sana, mereka menamakannya Malayan Tiger dan di India, dinamakan Bengal Tiger.

Antara sukan penjajah British adalah memburu harimau, yang mana kulit, bulu dan kepalanya dijadikan hamparan hiasan dalam rumah.

Kini harimau terancam dengan Harimau Malaya dianggarkan hanya tinggal 250 ekor. Satu Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTACP) digubal dengan sasaran 1,000 harimau menjelang 2020. Bagaimanapun, ada laporan menyatakan sasaran itu tidak dapat dicapai kerana habitat harimau semakin mengecil.

Pada suatu masa dahulu, harimau ada di seluruh Semenanjung termasuk Singapura. Harimau Singapura terakhir ditembak pada 1932, tetapi kemudian ada yang melihat harimau berenang menyeberangi Selat Johor.

Ia dipercayai harimau Johor yang bersiar-siar ke Singapura sebelum kembali ke tempat asalnya.

Johor satu-satunya negeri yang jata rasminya memperagakan dua harimau. Singapura mempunyai seekor harimau di kanan jata negaranya. Di kirinya pula seekor singa.

Tetapi ketika Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMS) ditubuhkan pada 1895, jata negaranya juga memperagakan dua harimau. Ia juga dipaparkan pada benderanya, Malayan Railway dan setem.

Apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan, ia mewarisi dua harimau itu. Begitu juga apabila Malayan Airways diwujudkan sebagai syarikat penerbangan rasmi Malaya. Ia memaparkan logo Flying Tiger atau harimau terbang.

Kemunculan harimau hidup di tengah kehadiran ramai orang menimbulkan sensasi besar. Dipercayai inilah kali pertama harimau liar dilihat berjalan bebas, dapat dirakam dan disebar meluas.

Malangnya, hutan semakin menyempit dan sukar untuk memelihara khazanah hidupan liar negara ini dalam sistem yang memberi ruang pada kerakusan manusia, tetapi harimau dan penghuni hutan itu sebahagian daripada warga Malaysia yang wajar juga dilindungi.

Penulis adalah bekas Pengarang Kanan Utusan Malaysia

Berita Harian X