Isnin, 12 Ogos 2019 | 11:00am
ANGGOTA bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja warga Ireland, Nora Anne di sebuah resort di Seremban. - Foto Adzlan Sidek

Pangkalan data atasi kemalangan rekreasi luar

PELANCONGAN adalah sumber ekonomi utama di Malaysia. Pada 2018, industri pelancongan negara menjana pulangan RM84.1 bilion dan menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 3.4 juta rakyat.

Antara bidang utama dalam industri pelancongan di negara kita ialah berteraskan alam sekitar dan rekreasi luar.

Ia dipengaruhi sensitiviti pasaran seperti promosi, tahap keselamatan, isu pencemaran, harga dan kepuasan pengguna.

Pelbagai insiden berlaku dalam industri pelancongan rekreasi luar baru-baru ini, menggusarkan.

Belum reda insiden bom ikan yang mengorbankan jurulatih dan penyelam di Sabah, seluruh negara dikejutkan pula dengan kehilangan misteri Nora Anne, seorang remaja Ireland di lokasi pelancongan terkemuka di Malaysia.

Misteri kehilangan Acap ketika menyertai pertandingan rekreasi lasak kira-kira empat bulan lalu, juga masih belum terungkai.

Kajian Nik Jazwiri Johannis dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mendapati, antara 1996 hingga 2014, lebih 663 pelancong rekreasi luar terbabit pelbagai insiden mendaki gunung yang mengakibatkan 46 kematian, 64 orang cedera parah dan 553 cedera.

Insiden di atas satu amaran serius terhadap industri pelancongan dan rekreasi luar di negara kita. Sekiranya kejadian ini berterusan, tidak mustahil industri ini bakal menerima impak negatif sekali gus mengancam ekonomi negara.

Rekreasi luar adalah bidang kesenggangan yang menyeronokkan kerana meningkatkan kecergasan fizikal, dilaksanakan di alam semula jadi dan memberikan ketenangan kepada penggiatnya.

Namun, ramai terlupa elemen utama dalam rekreasi luar ialah risiko alam persekitaran yang dinamik.

Perubahan cuaca, kesukaran bentuk muka bumi, ancaman haiwan mahupun tahap kemahiran dan kecergasan, boleh mendorong pelbagai insiden tidak diingini.

Sehubungan itu, kesedaran dan kemahiran mengatasi risiko aktiviti rekreasi luar perlu dipertingkatkan, dalam kalangan pelancong yang terbabit aktiviti rekreasi luar.

Lantaran itu, saya ingin mencadangkan lima strategi utama bagi meminimumkan kemalangan dalam aktiviti rekreasi luar di Malaysia.

Di Malaysia, bilangan ahli akademik dan pakar rujuk dalam bidang rekreasi luar semakin meningkat. Pakar rujuk ini boleh memainkan peranan penting dalam mewujudkan amalan aktiviti rekreasi luar yang selamat. Antara inisiatif ialah menerbitkan buku, jurnal dan menganjurkan pelbagai kursus penggalakan aktiviti rekreasi luar yang selamat, seronok dan sistematik.

Secara tidak langsung, inisiatif ini dapat mempertingkatkan mutu aktiviti, menarik minat dan menjana pulangan lumayan kepada industri rekreasi luar dan pelancongan di Malaysia. Isu kekurangan kajian dalam bidang keselamatan rekreasi luar di Malaysia haruslah diatasi segera.

Kesulitan untuk mendapatkan data insiden daripada agensi penyelamat dan pihak industri boleh diminimumkan dengan pertemuan berkala, bekerjasama erat bersama Jabatan Perangkaan Malaysia dan membina pangkalan data insiden kemalangan rekreasi luar di Malaysia.

Bagi menggalakkan amalan yang mapan, pangkalan data insiden rekreasi luar perlulah diwujudkan.

Kewujudan pangkalan data ini membolehkan pengkaji dan pembuat dasar merancang langkah pencegahan terbaik.

Saya berpendapat, ketiadaan pangkalan data mengakibatkan pola kemalangan berulang di lokasi dan punca yang sama.

Bagi mengelak insiden ini berterusan, satu langkah bersepadu harus digembleng, untuk mewujudkan pangkalan data insiden aktiviti rekreasi luar.

Data ini boleh digunakan pelbagai agensi dan penyelidik, dalam merangka langkah pencegah kemalangan aktiviti rekreasi luar.

Bagi merealisasikan hasrat ini, setiap agensi penyelamat dan pemain industri rekreasi luar harus mengetepikan birokrasi dalam perkongsian data insiden yang mereka miliki.

Di New Zealand, pangkalan data dibangunkan New Zealand Mountain Safety Council ternyata mengurangkan insiden kemalangan di pergunungan.

Pelbagai kajian di luar dan dalam negara mendapati, salah satu faktor penyebab kemalangan dalam aktiviti rekreasi luar ialah ketiadaan standard mahupun prosedur operasi seragam, dalam industri rekreasi luar.

Sudah tiba masanya standard yang seragam diperkenal dan dikuatkuasakan di Malaysia. Persatuan rekreasi luar, Pusat Kokurikulum Kementerian Pendidikan, Outward Bound School, pihak industri, Kementerian Belia dan Sukan, serta pelbagai agensi lagi perlu duduk semeja merangka dan membina standard rekreasi luar di Malaysia, agar industri besar ini kekal relevan dan selamat.

Pengenalan standard harus dikembarkan dengan penguatkuasaan undang-undang. Bukan untuk menghukum, sebaliknya memastikan pematuhan peraturan.

Sehingga hari ini, penguatkuasaan undang-undang berkaitan aktiviti rekreasi luar di Malaysia agak kabur. Standard kompetensi jurulatih, keselamatan aktiviti, pelesenan, audit fasiliti, audit peralatan dan lokasi aktiviti terletak dalam bidang kuasa agensi yang pelbagai.

Agensi seperti Kementerian Pelancongan, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, Jabatan Hutan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), perlu duduk semeja bagi menyelaraskan undang-undang efisien dan tidak membebankan, sekali gus mewujudkan industri rekreasi luar yang selamat dan memakmurkan ekonomi negara.

Penulis ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris (Pakar rujuk rekreasi luar di Malaysia).

123 dibaca
Berita Harian X